Follow us

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak Saman Ambank

Noah Lee
Kuala Lumpur
2019-12-10
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba untuk perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 11 Nov 2019.
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba untuk perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 11 Nov 2019.
AFP

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah memulakan tindakan undang-undang terhadap kumpulan perbankan Ambank Group dan seorang bekas eksekutifnya yang didakwa mendedahkan maklumat perbankan Najib secara salah kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee, berkata ahli politik itu memfailkan saman tersebut kerana Ambank dan bekas pengurus perhubungannya, Joanna Yu Ging Ping, telah mematuhi arahan Jho Low dalam menjalankan urusan berkaitan tiga akaun bank Najib di Ambank.

Farhan berkata saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin dan menamakan AMMB Holdings Bhd, AmBank Islamic Bhd dan Yu sebagai defendan.

Difahamkan, Najib yang merupakan ahli Parlimen Pekan, menuntut ganti rugi daripada ketiga-tiga defendan. Bagaimanapun, jumlah ganti rugi itu akan ditentukan kemudian.

“Saman yang difailkan ini adalah berkenaan pelanggaran tanggungjawab oleh pihak bank dan Puan Yu yang bertindak di luar skop amalan perbankan standard dengan mengambil arahan daripada orang yang tidak dibenarkan seperti Jho Low, serta mendedahkan maklumat perbankan kepadanya.

“Daripada mesej Blackberry Messenger yang telah dilihat semasa perbicaraan kes SRC, sesetengah daripada arahan Jho Low yang dilaksanakan telah menghalang ‘red flags’ daripada dikeluarkan Bank Negara Malaysia serta Akta Anti-Pengubahan Wang Haram (Amla).

“Sekiranya amaran-amaran ini dikeluarkan, Datuk Seri Najib pastinya akan dimaklumkan secepat mungkin mengenai status akaun-akaun beliau dan seterusnya mengambil tindakan campur tangan.

“Sebaliknya, perkara ini telah dirahsiakan daripada beliau,” kata Farhan.

Tambahnya, institusi kewangan dan pegawai itu tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana Jho Low bukanlah orang yang diberi kuasa oleh Najib untuk menguruskan akaunnya di Ambank, oleh itu, mereka telah melanggar tanggungjawab di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Farhan merujuk kepada keterangan Yu semasa menjadi saksi dalam perbicaraan kes membabitkan SRC International, yang menyaksikan bekas Presiden Umno itu berdepan tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta (AS$10 juta) yang didakwa telah diseleweng daripada anak syarikat 1MDB (1Malaysia Development Berhad) itu.

Kesemua wang didakwa telah dimasukkan ke dalam tiga akaun bank Najib yang dibuka dengan Ambank Islamic Bhd pada Ogos 2013.

Semasa Yu tampil memberi keterangan dalam perbicaraan kes membabitkan SRC International sebagai saksi ke-54 pendakwaan, mahkamah dimaklumkan bahawa beliau ada berkomunikasi dengan Jho Low dan menerima arahan daripada ahli perniagaan itu.

Ini termasuk tindakan membetulkan jumlah baki dalam akaun Najib untuk mengelak cek yang dikeluarkan bekas perdana menteri itu tidak ditendang oleh Ambank.

Sementara itu, dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, AMMB Holdings berkata syarikat tersebut dan Ambank Islamic Berhad, yang merupakan anak syarikat milik penuhnya, akan menentang saman berkenaan.

Syarikat itu juga mendakwa mereka telah melantik peguam untuk mempertahankan Ambank daripada semua dakwaan yang terdapat dalam saman terhadap mereka.

Najib nafi halang SRC kemuka maklumat kepada KWAP

Sementara itu, perbicaraan kes SRC yang masuk hari ke-62 pada Selasa menyaksikan Najib, yang juga bekas Menteri Kewangan Malaysia, buat pertama kalinya disoal oleh pihak pendakwaan.

Memulakan keterangan dari kandang saksi pada minggu lalu dengan membacakan kenyataan bertulis, Najib telah menjawab soalan tambahan ketua pasukan pembelaannya, Muhammad Shafee Abdullah, sebelum sesi pemeriksaan diambil alih oleh Peguam Negara Tommy Thomas pada pagi Selasa.

Ketika menjawab soalan Thomas, Najib menafikan bahawa beliau telah menolak permohonan SRC International untuk mengemukakan maklumat lanjut berkaitan syarikat itu kepada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) pada 2011.

KWAP telah meminta Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, mengemukakan beberapa maklumat yang diperlukan bagi memproses permohonan pinjaman sebanyak RM2 bilion oleh SRC.

Dalam sesi perbicaraan sebelum ini, pihak pendakwaan telah mengemukakan satu siri e-mel antara Nik Faisal dan pegawai KWAP yang menyaksikan Nik Faisal mendakwa beliau tidak dibenarkan untuk berkongsi maklumat tanpa kebenaran Pengerusi Lembaga Penasihat SRC iaitu perdana menteri.

Bagaimanapun, Najib berkata Nik Faisal tidak pernah merujuk perkara itu kepadanya.

“Kalau dia rujuk pada saya, sebenarnya saya akan minta dia berikan semua maklumat yang diperlukan oleh KWAP,” kata beliau.

“Kalau dia (Nik Faisal) gunakan nama saya, apa yang saya boleh buat? Saya tidak setuju cara begini,” tambahnya ketika diasak Thomas.

Selain itu, mahkamah dimaklumkan bahawa Najib telah menggunakan kad kredit peribadi untuk membeli seutas jam tangan bernilai lebih RM466,000 (AS$107,172) untuk isterinya, Rosmah Mansor, pada 2014.

Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau membuat pembelian itu di Hawaii sebagai hadiah hari lahir Rosmah kerana terpaksa memendekkan percutian mereka di Honolulu untuk pulang ke Malaysia bagi melawat mangsa yang dilanda banjir teruk ketika itu.

Selain tujuh pertuduhan membabitkan SRC International, Najib berdepan 35 pertuduhan jenayah lain yang berkaitan dengan 1MDB.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara dan denda berjumlah jutaan ringgit.

Lihat Laman Penuh