Bekas Perdana Menteri Najib Mahu Lantik Peguam Kanan Luar Negara Kendali Rayuan

Menurut dokumen yang dilihat BenarNews, Najib melalui firma peguamnya mahukan khidmat profesional peguam kanan Jonathan Laidlaw kerana kepakaran beliau.
Noah Lee
2022.05.31
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Bekas Perdana Menteri Najib Mahu Lantik Peguam Kanan Luar Negara Kendali Rayuan Bekas perdana menteri Najib Razak berhujah pada sesi Debat Perdana di Kuala Lumpur pada 12 Mei, 2022.
[S.Mahfuz/BenarNews]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang berdepan pelbagai pertuduhan jenayah kini cuba mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menggunakan khidmat seorang peguam kanan dari Britain dalam pasukan peguambelanya. Menurut dokumen permohonan yang difailkan pada Selasa, Najib mahukan peguam tersebut mengendalikan rayuannya terhadap sabitan jenayah dan hukuman penjara 12 tahun dalam kes berkait 1MDB yang akan didengar pada Ogos depan.

Dalam permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut, khidmat ‘Queen Counsel’ atau Peguam Diraja dari United Kingdom itu dikatakan diperlukan oleh Najib kerana rayuan kes SRC International membabitkan perkara kompleks dan memerlukan kepakaran yang tidak ada pada peguam yang berkhidmat di Malaysia.

“Peguamcara Jonathan Laidlaw QC sebagai pemohon yang dinamakan memohon perintah supaya diterima masuk untuk menjalankan amalan sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya sepertimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 18(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk mewakili pihak perayu, Mohd Najib Razak dalam Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Rayuan Jenayah...,” kata dokumen itu.

Menurut permohonan oleh Laidlaw yang difailkan oleh firma Tetuan Shafee & Co, Najib selaku perayu dalam kes yang kini berada di Mahkamah Persekutuan Malaysia ingin melantik servis peguam British itu “untuk menjadi peguam utama di dalam rayuan tersebut”.

“Rayuan tersebut akan melibatkan isu-isu yang serius, kompleks dan novel yang melibatkan cabang undang-undang jenayah dan sivil, amalan serta keterangan, hak-hak perlembangaan perayu, cara pendakwaan dijalankan oleh pihak Pendakwa Raya, penghakiman kes kes mahkamah jenayah oleh mahkamah perbicaraan dan pentadbiran sistem Keadilan Jenayah.

Bagi tujuan Rayuan tersebut, pemohon mempunyai kelayakan khas, pengalaman dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguambela dan peguamcara Malaysia.”

Pada Julai 2020, Najib telah disabitkan bersalah oleh sebuah mahkamah tinggi di Malaysia bagi pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes membabitkan SRC International, yang merupakan sebuah anak syarikat 1MDB, dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun. Beliau kemudiannya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia untuk mengenepikan sabitan dan hukuman itu, namun mahkamah tersebut telah menolak rayuan Najib dan mengekalkan hukuman terhadapnya.

Susulan daripada keputusan Mahkamah Rayuan, bekas perdana menteri itu telah memfailkan rayuan sekali lagi terhadap sabitan dan hukumannya di Mahkamah Persekutuan. Mahkamah telah menjadualkan supaya rayuan Najib didengar pada Ogos depan.

Selain itu, Najib juga sedang berhadapan dengan perbicaraan dalam beberapa lagi kes lain membabitkan 1MDB.

Menurut laporan media tempatan, peguam Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib telah terbang ke London pada Mac lepas untuk mendapatkan khidmat seorang Queen Counsel bagi membantu dalam rayuan kes bekas perdana menteri itu.

Shafee sebelum itu pernah memberitahu Ketua Hakim Negara pada Januari mengenai hasrat Najib untuk mendapatkan khidmat peguam diraja dari UK kerana ia membabitkan isu dan persoalan perundangan yang kompleks, dan memohon supaya mereka diberikan masa untuk membuat persediaan secukupnya.

Kebenaran Mahkamah Tinggi

Sementara itu, peguam jenayah Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu BenarNews bahawa permohonan oleh Laidlaw itu merupakan satu prosedur yang perlu dilakukan kerana hanya peguam yang layak dan mempunyai kebenaran sahaja boleh menjadi pengamal undang-undang di Semenanjung Malaysia.

“Oleh itu, sekiranya individu lain mahu menjadi pengamal undang-undang (di Semenanjung Malaysia), mereka perlu mendapatkan kebenaran secara ad hoc melalui petisyen kepada Mahkamah Tinggi serta menyerahkan dokumen kepada Majlis Peguam, Peguam Negara, serta Badan Guaman Negeri di mana perkara itu didengar,” kata beliau.

Rafique bagaimanapun berpandangan bahawa cubaan untuk membawa masuk Peguam Diraja dari UK itu sebagai satu bentuk penghinaan kepada peguam tempatan, yang mempunyai ramai ahli yang berkebolehan.

“Undang-undang di Malaysia mengenai salahguna kuasa, rasuah, salahguna jawatan, pecah amanah serta jenayah komersil telah berkembang dengan baik.

“Badan peguam juga mempunyai lebih daripada cukup ahli yang mampu untuk mengendalikan kes, jadi kebolehan bukanlah satu isu. Tiada apa yang luar biasa di dalam kes Najib Razak, kerana fakta kesnya adalah ‘straight forward’ dan tidak ada apa yang baru/unik,” kata beliau.

Seorang lagi peguam jenayah Salim Bashir Baskaran, yang merupakan ahli jawatankuasa Majlis Peguam, berkata permohonan oleh Laidlaw itu masih perlu didengar dan didebatkan di mahkamah, yang akan membuat keputusan sama ada untuk membenarkan atau sebaliknya.

Menurut beliau, permohonan seperti itu pernah dibuat dua kali sebelum ini, termasuk pada tahun 2006 apabila Peguam Diraja Cherie Blair memohon untuk mewakili seorang bekas menteri kewangan.

“Permohonan oleh Peguam Diraja untuk masuk secara ad hoc adalah termaktub di bawah Seksyen 18(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976, di mana pertimbangan diberikan untuk seseorang yang mempunyai kelayakan atau pengalaman berkualiti serta kepakaran yang tidak dimiliki oleh peguamcara dan peguambela di Malaysia.

“Kelayakan Khas merujuk kepada bidang perundangan dan bukannya fakta kes. Pemohon biasanya adalah seseorang yang diperakui hebat dan merupakan peneraju dalam dunia undang-undang.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.