PM Malaysia Gesa Pemberontak Mindanao Hayati Keamanan dan Tolak Radikalisme
2016.02.26
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, yang menjadi perantara bagi rundingan menamatkan pemberontakan yang sekian lama berlaku di selatan Filipina, bertemu dengan ketua pemberontak itu minggu ini untuk menyatakan komitmennya kepada usaha damai itu walaupun ada halangan baru-baru ini serta perubahan kepimpinan yang bakal berlaku di Manila.
Najib, yang bertemu dengan pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Murad Ebrahim pada Khamis, berkata beliau tetap yakin dengan proses damai itu.
"Saya secara peribadi berharap keamanan berkekalan dapat diwujudkan. Saya menganggap proses damai Filipina-MILF sebagai model untuk menyelesaikan konflik yang sudah lama berlarutan, " kata Najib dalam kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar Malay Mail pada Jumaat. Perdana Menteri tidak menyatakan di mana mesyuarat itu diadakan, lapor agensi Berita Nasional Malaysia, Bernama.
Najib berperanan sebagai perantara bagi rundingan antara kerajaan Presiden Filipina Benigno Aquino III dan pertubuhan MILF. Malaysia telah menjadi tuan rumah bagi rundingan damai itu dan perdana menterinya kemudian menyaksikan majlis tandatangan Perjanjian Komprehensif Bangsamoro (CAB) di Manila pada 2014.
Bagaimanapun, awal bulan ini, kongres Filipina menangguhkan usaha untuk meluluskan Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL) yang bakal membangunkan wilayah autonomi di pulau Mindanao di selatan Filipina, di mana terdapat majoriti penduduk yang beragama Islam.
Undang-undang tersebut perlu diluluskan untuk sebahagian daripada CAB, termasuk pelucutan senjata dan jawatan pejuang MILF, berkuatkuasa.
Media melaporkan bahawa ahli parlimen gagal meluluskan rang undang-undang itu berikutan perasaan marah terhadap kematian lebih 44 komando polis pada Januari 2015 semasa pertempuran yang melibatkan gerila MILF.
Beberapa hari selepas kongres menamatkan sesinya, kerajaan Aquino dan pertubuhan Ebrahim telah bersetuju untuk menambah setahun lagi bagi gencatan senjata mereka, dengan melanjutkannya sehingga 31 Mac 2017.
"Saya yakinkan (kepada) ... Ebrahim walaupun adanya halangan semasa, MILF mesti tetap setia kepada proses damai ini kerana ia adalah pilihan yang praktikal untuk menyelesaikan isu Bangsamoro. Saya juga menyatakan kepada beliau bahawa proses telah berjaya membawa keamanan dan kestabilan di selatan Filipina setakat ini," kata Najib.
"Kembali kepada perjuangan bersenjata, pasti ini bukan satu pilihan, dan pertumpahan darah harus dielakkan dalam apa keadaan sekalipun," kata beliau.
Lebih daripada 120,000 orang telah terkorban sejak konflik itu tercetus di selatan Filipina lebih empat dekad yang lalu, menurut laporan.
Pemimpin Malaysia itu berkata, beliau telah mencapai persefahaman dengan Ebrahim bahawa MILF perlu memelihara CAB, dengan baik kerana ia telah membawa manfaat yang yang besar dalam proses damai itu. "Ebrahim telah mengikrarkan komitmen utama untuk mengekalkan keamanan serta manfaatnya."
Najib juga mengulangi bahawa Malaysia sedia bekerjasama dengan Presiden Filipina yang baharu. Di bawah perlembagaan Filipina, Aquino hanya boleh memegang jawatannya sebagai presiden untuk satu penggal. Penggantinya akan memulakan tugasnya mulai Mei tahun ini.
Tentera Filipina bertempur dengan militan
Walaupun Najib dan Ebrahim mengadakan mesyuarat, pasukan keselamatan Filipina terus bertempur dengan militan Islam di selatan Filipina. Militan itu adalah pengikut warga Indonesia Ustaz Sanusi, ahli Jemaah Islamiyah yang terbunuh di Filipina pada 2012, lapor agensi berita Agence France-Presse.
Pegawai-pegawai tentera memberitahu AFP bahawa anggota MILF tidak mengambil bahagian dalam pertempuran yang sedang berlaku, yang setakat ini telah menyebabkan lebih daripada 20,000 orang kehilangan tempat tinggal. Tiga anggota tentera dan tiga militan telah disahkan terbunuh dalam pertempuran selama seminggu tetapi pegawai-pegawai tentera mendakwa bahawa 58 anggota tempurnya juga terbunuh, lapor AFP.
Reuters pula melaporkan bahawa seramai 42 pemberontak Islam yang ‘mendakwa adanya hubungan dengan kumpulan ekstremis Negara Islam’ terbunuh semasa pertempuran lima hari itu, dengan tentera kerajaan Filipina berjaya menawan kubu kuat mereka.
Najib berkata, beliau menggalakkan Ebrahim untuk memupuk perpaduan dengan kumpulan-kumpulan lain di selatan Filipina untuk memastikan kumpulan-kumpulan itu turut serta di dalam proses damai.
"Saya menyeru semua kumpulan di Mindanao supaya menolak fahaman radikal dan ekstremisme. Sebagai umat Islam, kita mesti menegakkan dan melaksanakan wasatiyyah yang menggalakkan cara hidup sederhana, adil dan seimbang," kata Najib.