OIC Minta Malaysia Main Peranan Utama Bantu Selesai Konflik Islam di Asia Tenggara


2015.04.15
150415-MY-OIC620 Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Iyad Ameen Madani bercakap pada sidang media selepas mesyuarat delegasi menteri OIC di Palestin dan Timur Jerusalem di Moscow pada 26 Februari 2015.
AFP

Malaysia mempunyai "peranan penting" dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) untuk membantu mengurangkan isu-isu yang melibatkan orang Islam di negara rantau itu, kata Setiausaha Agung kepada 57 buah negara anggota OIC, Iyad Ameen Madani.

"Oleh kerana Malaysia kini Pengerusi Asean, kami berharap dapat memainkan peranan yang lebih aktif, dalam pembabitan dan penglibatan. Kita perlu Malaysia," katanya dalam temubual dengan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Kuala Lumpur.

Iyad yang berada di Malaysia selama tiga hari untuk lawatan rasmi pertama beliau sejak dilantik sebagai Setiausaha Agung pertubuhan itu, Januari tahun lepas, turut mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Najib Razak pada Rabu.

“Asean adalah kunci terdekat dalam usaha penyelesaian. Kita tidak boleh melakukannya tanpa bantuan Asean,” katanya.

Selain daripada Malaysia anggota negara Asean yang lain ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Di bahagian selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia , di mana terdapatnya sebahagian besar penduduk minoriti Muslim, OIC bimbang dengan beberapa siri insiden keganasan di kawasan itu sejak tahun 1960-an di antara pihak berkuasa Thailand dan kumpulan pemberontak, menurut laporan Bernama.

Selain itu Iyad berkata antara komitmen semasa OIC adalah untuk menyelesaikan isu Rohingya, dan pertubuhan itu telah melantik bekas menteri luar Malaysia, Syed Hamid Albar sebagai duta khas OIC ke Myanmar tahun lepas dalam usaha mewujudkan peluang untuk berdialog.

Cara terbaik melibatkan diri adalah melalui keluarga Asean

"Cara terbaik untuk melibatkan diri dengan kerajaan Myanmar, yang juga anggota Asean, adalah melalui keluarga Asean," katanya.

Beberapa laporan menyatakan bahawa sebahagian besar 1.1 juta Rohingya dinafikan kerakyatan oleh kerajaan Myanmar, dengan ramai daripada mereka yang tinggal di kem-kem pelarian dan tidak dibenarkan keluar, diberi pendidikan dan pekerjaan.

Satu siri insiden keganasan telah dilaporkan antara etnik Rakhine Buddha dan Rohingya Islam sehingga menyebabkan ramai mati, kejadian yang paling terkenal sebagai '2012 Rakhine Negeri Rusuhan'.

Mengenai proses damai di selatan Filipina, Iyad berkata OIC akan mendapatkan nasihat Malaysia berhubung status perjanjian damai mengenai isu itu yang difasilitasikan oleh Malaysia.

“Sebelum OIC mengambil sebarang langkah selanjutnya, dan kami fikir proses itu kini berjalan sedikit perlahan dan kerana itu kami melibatkan diri dengan lebih aktif supaya barangkali kami dapat membantu menggerakkan proses lebih pantas,” katanya

"Oleh kerana perdana menteri Malaysia menerajui perjanjian damai itu, kami mahu mendengar daripadanya - tentang status perjanjian itu sekarang dan dimana beliau fikir kami dapat mainkan peranan," katanya.

Malaysia telah bertindak sebagai orang tengah bagi rundingan damai antara Manila dan MILF sejak 2001.

Pada tahun 2012, OIC telah diberikan 'status pemerhati "dalam rundingan damai dengan MILF selepas kedua-dua kerajaan Filipina dan MILF mengakui penglibatannya dalam usaha-usaha untuk memulihkan keamanan di selatan negara itu, menurut laporan akhbar harian Filipina Inquirer.

OIC juga menaja perjanjian pada 1996 antara kerajaan Ramos dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro. Perjanjian damai itu mendorong kepada penubuhan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).

Perjanjian damai antara kerajaan Presiden Benigno Aquino III dan MILF akhirnya ditandatangani dengan wujudnya Undang-undang Asas Bangsamoro, yang mendapat tentangan hebat oleh penggubal undang-undang di negara itu, kerana pembunuhan beramai-ramai di Mamasapano .

Kejadian berdarah di Mamasapano menyaksikan 44 anggota polis, 18 pejuang MILF dan lima orang awam terbunuh dan menggugat usaha menamatkan pergolakan bersenjata di selatan Filipina yang masuk tahun ke-18.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.