Malaysia, Thailand dan Indonesia Bincang Krisis Pendatang

Oleh staf Berita Benar
2015.05.18
150518-MY-BOAT620 Pendatang asing Myanmar yang diselamatkan bawa anak dapatkan rawatan perubatan di Kuala Langsa, Indonesia, 18 Mei 2015.
AFP

Menteri-menteri luar Malaysia, Indonesia dan Thailand akan bertemu di Kuala Lumpur pada Rabu untuk membincangkan peningkatan krisis beribu-ribu orang dari Myanmar dan Bangladesh yang cuba berhijrah ke selatan dengan menaiki bot.

Rundingan tiga pihak itu mendahului sidang kemuncak serantau mengenai isu itu, yang akan diadakan di Bangkok pada 29 Mei ini.

"Malaysia akan terus mencari penyelesaian mengenai isu ini melalui ... usaha bersepadu dan diselaraskan di kalangan negara-negara asal, transit dan destinasi," kata Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan, menurut agensi berita Reuters.

Padai Ahad lepas, Menteri Luar Malaysia Luar Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Bangladesh bertemu di Sabah, negeri di Malaysia Timur, di mana mereka membincangkan masalah itu  dan isu dua hala lain.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama mencari penyelesaian berkesan bagi memerangi isu ini, dan mengakui pentingnya kerjasama berterusan dengan negara-negara di rantau ini dalam mencari maklum balasan yang selaras terhadap krisis itu," lapor agensi berita Bernama milik Malaysia mengenai pertemuan Anifah dengan Menteri Luar Bangladesh Abul Hassan Mahmood.

Penangkapan lelaki didakwa ketua penyeludup

Sejak 10 Mei lepas, hampir 2,500 pendatang Bangladesh dan Rohingya Islam dari Myanmar mendarat di pantai Malaysia dan Indonesia, di tengah-tengah tindakan tegas Thailand terhadap sindiket pemerdagangan manusia.

Pada Isnin, kerajaan Thailand mengumumkan penangkapan lelaki yang didakwa ketua pemerdagangan manusia, Pajjubun Ung-chotipun, bekas anggota majlis pentadbiran di wilayah Satun selatan.

Pajjubun menyerah diri kepada pihak berkuasa di Bangkok, tetapi menafikan, dakwaan beliau terlibat dalam pemerdagangan manusia. Isteri Pajjubun, Tassaneem turut ditangkap atas tuduhan  sama, kata Ketua Polis Negara Jeneral Somyos Poompanmouang kepada pemberita.

'Mereka adalah manusia'

Beribu-ribu lagi pendatang Bangladesh dan Rohingya dikatakan terkandas dalam bot penyeludup usang di lautan. Thailand, Malaysia dan Indonesia menolak pendaratan bot-bot itu di pantai  negara masing-masing selepas membekalkan  mereka dengan makanan, air, dan bahan api.

Pada Ahad lepas, Malaysia - destinasi utama bagi kebanyakan pendatang Rohingya - menggesa Myanmar untuk mengambil bahagian dalam usaha-usaha serantau untuk membendung krisis itu.

Pegawai-pegawai di Myanmar menafikan negara mereka sebagai sumber penghijrahan beramai-ramai Rohingya ke bahagian lain di Asia Tenggara, dan kerajaan Myanmar juga tidak pasti sama ada ia akan menghantar delegasinya menghadiri sidang kemuncak di Bangkok.

"Jika perlu, kami akan memanggil mesyuarat tergempar [ASEAN]," Reuters memetik Anifah sebagai berkata dalam pertemuannya dengan Menteri Luar Bangladesh.

Malaysia kini menjadi pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang anggotanya termasuk Thailand, Indonesia dan Myanmar.

"Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia akan membincangkan isu ini secara mendalam, dan berharap Myanmar boleh turut bersama-sama mencari penyelesaiannya sebelum ia dibawa ke peringkat antarabangsa," katanya.

Pada Isnin, ketua pembangkang Myanmar Aung San Suu Kyi akhirnya mengulas mengenai isu itu bagi pihak partinya. Jurucakap Nyan Win memberitahu pemberita di Yangon bahawa umat Islam yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar sepatutnya layak mendapat hak asasi manusia.

"Jika mereka tidak diterima [sebagai warganegara], mereka tidak boleh dihantar ke laut. Tidak boleh ditolak keluar ke laut, "Agence France-Presse memetik beliau sebagai berkata. "Mereka adalah manusia. Saya hanya melihat mereka sebagai manusia yang layak mendapatkan hak asasi manusia. "

'Kita tidak boleh jadi hipokrit’

Pada Ahad, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) iaitu badan antara kerajaan terbesar dalam dunia Islam, berkata ia sedang memantau keadaan di Teluk Bengal, Laut Andaman dan Selat Melaka.

Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani berhubung dengan negara-negara di rantau itu untuk membincangkan "cara untuk meringankan penderitaan mereka yang terdampar di lautan," kata badan dunia itu dalam satu kenyataan.

"Setiausaha Agung seterusnya menggesa supaya diperbaharui usaha bagi menangani punca tragedi manusia itu dalam usaha membendung situasi berkenaan," kata OIC.

Di Jakarta, Ahli Parlimen Mahfudz Siddiq menggesa kerajaan Indonesia untuk bertindak segera  menangani isu itu.

"Ini adalah tanggungjawab kerajaan terhadap kemanusiaan. Kita sering mengkritik negara-negara lain yang tidak membantu dalam usaha-usaha kemanusiaan, "kata anggota Dewan Perwakilan itu kepada Berita Benar.

"Tetapi sekarang kita melakukan perkara yang sama. Kita tidak boleh jadi hipokrit, dan kita perlu membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Di Malaysia, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik umat Islam negara itu kerana tidak melakukan secukupnya untuk membantu pendatang tanpa izin yang kesemuanya beragama Islam.

"Kita masih mencari mereka yang hampir pastinya mati dalam pesawat yang terhempas ke dalam lautan, tetapi mereka yang masih hidup ini kita tinggalkan untuk mati di lautan. Di manakah kemanusiaan kita? "Malay Mail Online memetik mufti itu sebagai berkata sambil merujuk kepada kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan 370 pada Mac 2014.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.