Follow us

Malaysia, Pakistan Meterai MOU Penghapusan Visa

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2018-11-21
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad(kanan) dan rakan sekerja Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di Putrajaya dalam sesi lawatan beliau ke Malaysia, 22 November, 2018.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad(kanan) dan rakan sekerja Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di Putrajaya dalam sesi lawatan beliau ke Malaysia, 22 November, 2018.
BeritaBenar/ihsan Pejabat Perdana Menteri

Malaysia dan Pakistan pada Rabu menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai penghapusan visa dalam usaha Islamabad meningkatkan kemasukan pelancong dari Malaysia serta belajar daripada kejayaan program pelancongan negara tersebut.

Ketika ini, Pakistan hanya membenarkan kemasukan tanpa visa bagi pemegang pasport Iceland, Maldives, Nepal dan Trinidad and Tobago manakala Malaysia dan negara-negara lain perlu memohon visa.

Ketika berucap di hadapan media di Putrajaya, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan berkata negaranya itu mempunyai potensi pelancongan yang tinggi namun tidak digunakan sepenuhnya.

“Malaysia telah membangunkan resort pelancongan dan kami mahukan tempat-tempat seperti itu di Pakistan. Kami ada lokasi pelancongan tetapi tiada tempat peranginan,” kata Khan yang tiba di Malaysia pada Selasa dalam lawatan rasmi dua hari ke negara itu.

Sehubungan itu, Pejabat Kementerian Luar Pakistan melalui wakilnya, Mohammad Faisal mengeluarkan kenyataan di laman Twitter yang memaklumkan satu MoU telah ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara.

“Menteri Luar Shah Mahmood Qureshi dan Menteri Dalam Negeri Malaysia Muhyiddin Yassin menandatangani memorandum persefahaman untuk Penghapusan Separa bagi Visa dan disaksikan oleh PM Imran Khan dan PM Mahathir Mohamad,” kata Faisal.

Kementerian Luar Malaysia pula ketika dihubungi Berita Benar berkata maklumat terperinci mengenai proses visa yang baru akan dibincangkan oleh kedua-kedua negara sebelum diumumkan pada satu tarikh kelak.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada petang Rabu, Kuala Lumpur dan Islamabad maklum akan kepentingan industri pelancongan dan kerjasama antara orang-orang muda dalam mempromosikan hubungan sesama individu bagi memupuk persefahaman antara kedua-dua negara.

Pakar dasar politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Azmi Hassan berkata dasar baru ini boleh dilihat sebagai satu dasar yang menguntungkan bagi Malaysia dan Pakistan dari sudut kemasukan pelancong.

“Kita pernah menandatangani perjanjian yang sama dengan Poland dan Maghribi satu masa dahulu,” kata Azmi.

Mengikut data daripada agensi pelancongan milik kerajaan Pakistan, Pakistan Tourism Development Corporation (PTDC), seramai 1.75 juta pelancong tiba di negara itu sepanjang tahun 2017. Manakala Kementerian Pelancongan Malaysia berkata negara itu mencatatkan kemasukan pelancong hampir 26 juta pada 2017.

Bagi tahun ini, kementerian mensasarkan 33.1 juta kemasukan pelancong. Kementerian itu juga merekodkan seramai 34,773 orang pelancong dari Pakistan melawat Malaysia dalam tempoh 6 bulan pertama. Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan juga dapat dilihat secara menyeluruh di Pakistan di mana jumlah yang dilaporkan PTDC itu menunjukkan peningkatan mendadak tiga kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Dalam laporan Nikkei Asian Review pada 11 Ogos, peningkatan itu dikaitkan dengan penambahbaikan keselamatan dalam negara, sekali gus meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Pakistan daripada sumber pelancongan kepada 7.4 peratus sepanjang tahun 2017.

“Kemenangan bekas bintang kriket Imran Khan dalam pilihan raya pada Julai juga menaikkan harapan bagi industri pelancongan Pakistan bahawa proses reformasi dan kestabilan baru dapat mengubah persepsi negatif terhadap negara itu,” laporan itu menyebut.

Menentang korupsi agenda utama Pakistan

Imran yang memenangi mandat rakyat negaranya kerana bertanding atas platform anti rasuah turut berpesan kepada rakyat Pakistan di Malaysia supaya menggunakan cara yang sah dari segi undang-undang untuk menghantar pulang wang dari Malaysia dan menegaskan ia merupakan antara langkah-langkahnya untuk mencegah penyelewengan.

“Kita akan buat supaya pengubahan wang haram menjadi satu perkara yang begitu susah untuk rakyat Pakistan,” kata Imran dalam satu majlis khas bersama rakyat Pakistan yang bermastautin di negara ini di hotel Mariott Putrajaya.

Imran sebelum itu meluangkan masa untuk melawat ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk satu taklimat.

Dalam majlis tersebut, beliau turut melahirkan rasa hormat dan kagum terhadap Mahathir dan memanjangkan jemputan rasmi daripada kerajaan Pakistan kepada perdana menteri Malaysia itu untuk menghadiri majlis sambutan Hari Pakistan pada 23 Mac tahun depan sebagai ‘tetamu utama’.

Perdana Menteri Pakistan yang baru dilantik itu berada di Malaysia dalam rangka kerja lawatan dua harinya ke Malaysia.

Beliau berlepas pulang ke Pakistan pada malam Rabu.

Komen (0)
Share
Lihat Laman Penuh