Malaysia, Indonesia Dilanda Krisis Pendatang Asing

Oleh staf Berita Benar
2015.05.11
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
150511-TH-MY-PATI620 Pendatang tanpa izin Bangladesh menunggu di ibu pejabat polis di Langkawi, Malaysia, selepas mendarat di pantai pulau peranginan itu pada 11 Mei 2015
AFP

Hampir 1,600 pendatang tanpa izin telah mendarat di Malaysia dan Indonesia dalam tempoh dua hari lepas, dan beribu-ribu lagi mungkin berada di lautan selepas Thailand melancarkan tindakan tegas terhadap pemerdagangan manusia.

Pada awal Isnin, pihak berkuasa Malaysia menahan seramai 1,018 orang di pulau Langkawi, di luar pantai barat laut Malaysia, sehari selepas nelayan-nelayan di wilayah Aceh, Indonesia menyelamatkan 573 orang yang lain.

Dua bot lain mengelak daripada ditahan, kata para pegawai Malaysia.

Sementara itu, Tentera Laut Indonesia pada Isnin mengarahkan sebuah bot yang sarat dengan pendatang asing  supaya berpatah keluar dari perairannya, lapor Associated Press.

Para nelayan memberikan air dan makanan kepada pendatang berkenaan,  jurucakap Tentera Laut Laksamana Pertama  Manahan Simorangkir dipetik sebagai berkata.

"Kami tidak berniat menghalang mereka memasuki wilayah kita, tetapi kerana negara destinasi mereka bukanlah Indonesia, kami meminta mereka terus ke negara yang mereka mahu pergi," katanya.

Peningkatan perjalanan laut haram berlaku 11 hari selepas penemuan mengerikan puluhan kubur di selatan Thailand, disusuli tindakan tegas terhadap pemerdagangan manusia beberapa hari kemudian.

"Ya, tindakan keras kami memberi kesan kepada bot-bot berkenaan," kata jurucakap polis Thaialnd, Leftenan Jeneral Prawut Thawornsiri kepada Reuters di Bangkok. "Mereka akan ke Indonesia. Mengapa  mereka mahu ke Indonesia? Ia sangat jauh ... Tugas kami ialah untuk menyekat kemasukan bot-bot itu dan tidak membiarkan mereka mendarat di pantai kami."

41 kanak-kanak

Para pegawai Malaysia berkata mereka sedang mengesan kebanjiran  pendatang-pendatang tanpa izin selepas tangkapan di Langkawi, Bernama melaporkan.

"Kami sedang berwaspada  kerana kami mempunyai maklumat bahawa pendatang-pendatang tanpa izin mungkin  cuba mendarat di Langkawi," kata ketua polis tempatan Harrith Kam Abdullah kepada pemberita.

Menurutnya seramai 555 daripada pendatang tanpa izin yang ditahan itu, adalah dari Bangladesh dan 463 adalah etnik Rohingya dari Myanmar.

Di Aceh, pendatang tanpa izin berkenaan memberitahu para penyelamat bahawa tiga buah bot besar meninggalkan Thailand kira-kira lima hari sebelum ini untuk ke Malaysia.

Nelayan menemui satu daripada bot itu di Selat Melaka sebelum subuh Ahad dan menariknya ke darat, kata Darsa, seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Utara Aceh.

Darsa membantu mengeluarkan pendatang-pendatang tanpa izin itu daripada bot, dan berkata sebahagian daripada mereka bertutur bahasa Melayu.

“Mereka menberitahu saya bahawa mereka dipukul dan diseksa oleh pasukan keselamatan di negara mereka. Ada yang disimbah dengan air panas. Sebahagian daripada saudara-mara mereka ditembak mati selepas diseksa, "katanya.

Beliau berkata antara yang diselamatkan ialah 83 wanita dan 41 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Empat daripada mereka adalah wanita hamil.

"Sesetengah daripada mereka adalah sangat lemah ketika diselamatkan, dan kini menerima rawatan perubatan," katanya.

Melarikan diri dengan sebuah bot laju

Muhammad Juned, 35, seorang etnik Rohingya, berkata beliau meninggalkan Myanmar kira-kira sebulan lepas sebagai  sebahagian daripada kumpulan yang menaiki sepuluh bot kecil dan menghabiskan masa di Thailand.

Di Thailand, seorang ejen menyuruh mereka menaiki  tiga buah bot untuk meneruskan perjalanan ke Malaysia.

"Sebaik sahaja kami tiba di perairan sempadan antara Malaysia dan Indonesia, agensi pelancongan yang membawa kami termasuk kapten kapal itu, melarikan diri dengan sebuah bot laju. Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka mempunyai senjata api, "kata lelaki itu, yang memberitahu bahawa beliau mempunyai kad pelarian daripada pejabat UNHCR Malaysia.

Jahangir Hossin, 37, turut memberi keterangan yang sama.

"Kapten melarikan diri dengan sebuah bot laju. Kami terapung empat hari di laut, empat hari tanpa makanan. Kami hanya minum, " katanya kepada pemberita tempatan.

Mutaris, 26, dari Bangladesh, berkata beliau meninggalkan negaranya dengan berpuluh-puluh orang yang lain kira-kira dua bulan lepas.

"Semasa perjalanan itu,  beberapa rakan saya meninggal dunia akibat kelaparan. Kami terpaksa membuang mayat mereka di laut,"katanya.

Penumpang-penumpang bot itu ditempatkan sementara waktu di sebuah premis sukan di Lhohsukon, ibu kota Kabupaten Aceh Utara, menurut ketua polisnya.

Menuding Jari

Myanmar,  yang kononnya punca krisis pelarian yang mencengkam seluruh rantau ini, pada Isnin menuding jari ke Bangladesh.

"Daripada perspektif kemanusiaan, bantuan yang diberikan oleh rakyat Malaysia dan Indonesia adalah sangat baik ... tetapi isunya ialah sama ada mereka - yang mengatakan mereka adalah dari Myanmar - benar-benar datang dari Myanmar," Zaw Htay, pengarah di pejabat Presiden Myanmar memberitahu Agence France-Presse.

"Punca masalah ini ialah Bangladesh. Bangladesh yang membawa tanggungjawab utama bagi perkara ini," kata beliau.

Bangladesh pada Isnin berkata bahawa ia telah meningkatkan lagi tindakan terhadap para penyeludup manusia, menahan tiga suspek dari daerah Teknaf yang bersempadan dengan Myanmar. Empat lagi suspek penyeludup manusia ditembak mati di Bangladesh sejak Jumaat.

“Kejadian seperti ini mencemarkan imej Bangladesh di luar negara dan kami telah mengambil beberapa langkah  dalam beberapa hari ini untuk membendung pemerdagangan  manusia," Khandker Iftekar Haider Chowdhury, Setiausaha Kementerian Kebajikan Ekspatriat, memberitahu Berita Benar.

Di Thailand, polis mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan penangkapan 17 daripada 50 suspek yang berkaitan dengan pemerdagangan etnik  Rohingya dan warga Bangladesh.

Ini termasuklah "suspek utama" Suwan Saengthong, pemilik sebuah syarikat memancing di Wilayah Ranong yang bersempadan dengan Myanmar.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Malaysia mengumumkan bahawa penyiasatan oleh Polis Diraja Malaysia tidak menemui sebarang kem atau kubur pemerdagangan manusia di sebelah sempadan Malaysia.

Mesyuarat krisis

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), kerajaan asing dan pertubuhan antarabangsa telah mengadakan mesyuarat kecemasan bagi menangani krisis di selatan Asia, lapor AP.

Satu daripada masalah itu ialah untuk menentukan apa yang perlu dilakukan dengan etnik Rohingya jika langkah menyelamat  dilancarkan, kata pihak yang menyertai mesyuarat itu dengan  syarat mereka tidak dinamakan.

"Pada saat ini, saya tidak pasti apakah langkah konkrit seterusnya atau yang sepatutnya," kata Vivian Tan, pegawai akhbar serantau UNHCR di Bangkok, Thailand. "Ada rasa mendesak, tetapi nampaknya tidak ada mekanisme yang jelas di rantau ini untuk bertindak balas terhadap sesuatu seperti ini."

Seorang aktivis Rohingya berkata ramai pendatang asing mungkin telah melarikan diri untuk bersembunyi akibat daripada tindakan keras di Thailand.

"Mereka takut kepada polis kerana para broker memberitahu mereka supaya melarikan diri sekiranya ternampak polis," Nu Islam Ameen dari Persatuan Rohingya Muslim di Thailand memberitahu Berita Benar

"Kebanyakan pendatang yang keluar meminta bantuan adalah mereka yang amat lesu dan sakit. Di manakah mereka yang masih kuat? "

Nordin Hasan di Aceh, Hata Wahari di Kuala Lumpur, Jesmin Papri di Dhaka, Nasueroh di selatan Thailand yang menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.