Pembangkang Jamin Laluan Mudah Luluskan Belanjawan Jika Kerajaan Patuhi MoU

Jaminan itu terpakai jika pembangkang dilibatkan dalam proses penggubalan rang undang-undang tersebut sebelum ia dibentangkan pada akhir Oktober.
S. Adie Zul & Nisha David
2021.09.14
Kuala Lumpur
Pembangkang Jamin Laluan Mudah Luluskan Belanjawan Jika Kerajaan Patuhi MoU Pemimpin Pakatan Harapan Anwar Ibrahim bercakap semasa persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada 14 Sept 2021.
[Ihsan Parlimen Malaysia]

Perdana Menteri Malaysia mendapat jaminan bahawa blok pembangkang terbesar iaitu Pakatan Harapan akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan rang undang-undang berkaitan di Parlimen, yang dilihat sebagai undi percaya terhadap pemimpin negara itu, demikian menurut memorandum persefahaman (MoU) bersejarah antara kedua-dua pihak yang dipaparkan secara dalam talian pada Selasa.

Menurut dokumen itu, proses tersebut hanya akan berlaku jika kerajaan memenuhi perkara yang telah dipersetujui dalam MoU yang ditandatangani pada Isnin selain melibatkan Pakatan Harapan di meja rundingan berkaitan belanjawan sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada akhir Oktober depan.

“Persefahaman ini menekankan peranan kita sebagai pembangkang dan kita boleh menolak jika tidak ada rundingan,” kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semasa persidangan di Parlimen pada Selasa.

Perkara lain yang turut dipersetujui ialah memperkasa pelan COVID-19 melibatkan suntikan dana tambahan RM45 bilion (AS$10.81 bilion) ke dalam Dana COVID-19;  transformasi pentadbiran dengan membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti dan undang-undang berkaitan, mempercepat pelaksanaan pendaftaran pengundi 18 tahun serta mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan beberapa pembaharuan antaranya agihan sama rata peruntukan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, reformasi kehakiman, mengkaji semula pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 serta penubuhan sebuah jawatankuasa pemandu melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang bagi menggerakkan semua inisiatif di bawah MoU yang dipersetujui.

“Tidak ada syarat dalam MoU di mana Pakatan mesti menyokong Ismail Sabri sekiranya berlaku undi percaya. Pakatan tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa tidak ada lagi keperluan untuk undi percaya.

“Kami tidak ingin isu keabsahan membayangi usaha menentang pandemik COVID-19 yang harus diutamakan. Jadi, walaupun kami tidak setuju untuk tidak meneruskan undi percaya, kami tetap bekerjasama membincangkan memorandum itu," kata Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Ismail Sabri supaya mengadakan undi percaya di Parlimen apabila persidangan bersambung bagi menentukan keabsahannya.

Bagaimanapun, pada Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendakwa baginda telah memberi perkenan bahawa usul undi percaya itu tidak perlu diadakan.

“Kami telah mendapat perkenan baginda supaya ia tidak perlu diadakan kerana pelantikan beliau masih baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO] Sahril Hamdan berkata pendirian parti kekal tidak berubah untuk menolak sebarang kerjasama dengan Anwar dan Parti Tindakan Demokratik [DAP] meskipun wujud MoU antara kerajaan dan pembangkang.

UMNO pada perhimpunan agung perwakilan pada Mac lepas telah memutuskan bahawa parti itu menolak sebarang kerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Apa yang disebut di PAU [Perhimpunan Agung UMNO] bukan sekadar No DAP, No Anwar untuk PRU15. Malah juga disebut No PPBM [Parti Pribumi Bersatu Malaysia]. Jika ada sebarang perubahan dasar, ia hanya boleh dibuat oleh PAU atau MKT [Majlis Kepimpinan Tertinggi].

“Seperti disebut di atas, persefahaman ini bukan kerjasama untuk berkongsi kuasa dengan PH, jauh sekali untuk mengangkat mereka menerajui negara. Ia untuk kestabilan politik dalam situasi unik sekarang, buat masa sekarang, tidak lebih tidak kurang daripada itu,” menurutnya dalam kenyataan yang dikongsi di laman Facebook pada hari sama.

Langkah kekang kleptokrat daripada kembali

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengakui keadaan politik semasa bukanlah ideal untuk bersetuju kepada kerjasama dwipartisan tetapi berkata ia perlu dilakukan bagi menamatkan ketidakstabilan politik.

“Bagaimanapun, perlu ada gencatan kepada permainan politik berasaskan angka yang tiada kesudahan, amalan jual-beli Ahli Parlimen seperti haiwan ternakan yang hanya menguntungkan ahli politik yang tidak jujur yang hanya memburu kuasa dan jawatan di samping mengabaikan tumpuan menangani krisis COVID-19 dan kegawatan ekonomi yang menjadi krisis sebenar negara,” menurut Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua pula berkata kerjasama itu membolehkan Ismail Sabri mengetepikan tekanan untuk membawa pemimpin UMNO yang berdepan perbicaraan bagi pertuduhan rasuah kembali ke dalam kerajaan.

“Dengan mengukuhkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri menerusi MoU itu, Ismail Sabri sekarang berada dalam kedudukan yang kuat untuk menolak sebarang ugutan dan dakwaan daripada kumpulan kleptokrat yang diketuai oleh Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi, yang juga presiden UMNO.

“Yang paling penting, Ismail Sabri tidak lagi berada di bawah tekanan untuk mempengaruhi prosiding perundangan atau Pejabat Peguam Negara untuk menarik balik dakwaan yang masih belum dituduh ke atas kluster mahkamah, termasuk perbicaraan rasuah melibatkan Najib Razak dan Ahmad Zahid,” menurut Ahli Parlimen Damansara itu dalam kenyataan di laman Facebook pada Isnin.

Kawasan yang belum diterokai pembangkang

Pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Rabi’ah Aminudin berkata meskipun MoU itu membuka jalan kepada pelaksanaan reformasi yang diperjuang oleh pembangkang, pemimpin Pakatan pada masa yang sama memasuki kawasan yang belum pernah diterokainya.

“Pakatan berada dalam situasi yang sukar, penyokong mahu mereka terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang agresif, tetapi pada masa yang sama, rakyat sudah muak dengan kegawatan politik.

“Pakatan perlu pastikan mereka kekal bersuara kritikal sebagai ejen semak dan imbang biarpun mempunyai peranan yang lebih besar dalam proses membuat keputusan. Jika tidak, adalah sukar untuk mereka membuktikan kredibiliti, khususnya kepada penyokong mereka,” katanya kepada BenarNews.

Pendapat beliau disokong oleh Oh Ei Sun, seorang lagi penganalisis politik, yang memberi amaran langkah kerjasama itu boleh menjejaskan demokrasi berparlimen dalam jangka panjang.

“Saya fikir sekurang-kurangnya ia akan menimbulkan kekeliruan dalam pilihan raya umum akan datang, sekiranya kerajaan ini gagal dalam polisi pandemik, polisi ekonomi dan sebagainya, bagaimana Pakatan akan mengkritik kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang?

“Jadi, para pengundi akan berasa keliru, maksud saya anda memberi gambaran yang seolah-olah tidak ada alternatif yang lebih baik kepada kerajaan yang ada sekarang,” katanya kepada BenarNews.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.