Anggota PGA Maut Ditembak Penyeludup Di Sempadan Malaysia-Thailand

Noah Lee, Nisha David dan Mariyam Ahmad
Kuala Lumpur dan Pattani, Thailand
2020-11-24
Share
MY_10001.jpg Anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Judin Awi, 43, menunjukkan jalan tikus yang digunakan penyeludup berhampiran lokasi tembak-menembak antara PGA dan penyeludup di Padang Besar, Perlis pada 24 Nov 2020.
A.Ammaruddin/BeritaBenar

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut manakala rakannya cedera parah selepas terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Selasa.

Tindakan pantas pihak berkuasa Malaysia dan Thailand berjaya memberkas enam lelaki termasuk tiga yang tercedera dalam insiden berbalas tembakan pada 2.30 pagi itu, kata jurucakap polis dan tentera dari kedua-dua negara kepada BeritaBenar.

“Ketika mereka berjalan kaki ikut denai dalam tugas pemantauan, mereka terserempak dengan sekumpulan lelaki berbelas orang dan serta-merta berlaku tembak-menembak. Koperal Baharuddin (Ramli) telah cedera dan sempat mengarahkan kawannya Koperal Norihan (Tari) untuk segera meminta bantuan. Pada waktu yang sama, senjata mendiang kehabisan peluru. Mendiang ditemukan dalam keadaan terlentang, pistolnya di dada telah kosong. Pada pukul 4 pagi, beliau telah menghembuskan nafas terakhir,” kata Abdul Hamid dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Mereka bertugas di unit khas Senoi Praaq di bawah PGA yang majoriti anggotanya terdiri daripada Orang Asli dan dikenali kerana keupayaan mereka menjejaki musuh dalam hutan tebal.

Koperal Norihan yang mengalami kecederaan di bahagian perut dan rusuk kini menjalani rawatan di sebuah hospital di Perlis, menurut pihak berkuasa.

Abdul Hamid berkata kedua-duanya mempunyai rekod yang cemerlang dalam perkhidmatan dan beliau turut memuji semangat yang ditunjukkan mendiang Baharuddin ketika berhadapan dengan penyeludup terbabit.

Siasatan awal polis menunjukkan bahawa kumpulan yang terlibat dalam insiden tembak-menembak dengan PGA itu merupakan penyeludup rakyat Thailand yang menyeberang sempadan untuk mengambil stok daun ketum serta ubat batuk yang ditinggalkan rakan sekongkol mereka dari Malaysia.

Menurut Abdul Hamid, barangan terlarang itu popular dalam kalangan rakyat di negara itu dan penyeludup menjalankan sistem barter dengan menghantar dadah jenis heroin, ganja dan metamfetamin untuk ditukarkan dengan daun ketam serta lain-lain.

Tangkapan

Pihak tentera Thailand berjaya menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden itu apabila mereka cuba mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Songkhla. Seorang daripada mereka cedera parah manakala dua lagi cedera ringan.

Abdul Hamid berkata pihak berkuasa Thailand juga memberkas seorang lagi rakyat negara tersebut hasil soal-siasat terhadap tiga suspek yang ditahan sebelum itu. Di Malaysia, pihak berkuasa tempatan berjaya menahan dua penyeludup rakyat Thailand yang dipercayai terlibat dalam insiden itu.

“Suspek telah mengaku bahawa mereka adalah ahli kumpulan itu dan sedang membawa bungkusan daun ketum serta ubat batuk dalam karung guni semasa terserempak dengan pihak polis. Mereka kata mereka terkejut dan berlari meninggalkan tempat kejadian sejurus selepas kejadian tembak-menembak bermula,” katanya.

Ketua Polis Perlis Surina Saad pula memaklumkan pemberita bahawa pihaknya telah merampas daun ketum seberat 500 kilogram dan satu karung guni mengandungi ubat batuk di tempat kejadian.

Pegawai tentera Thailand yang tidak mempunyai kebenaran untuk bercakap dengan media mengenal pasti tiga suspek yang cedera sebagai Sanchai Madsuwan, 42, (cedera parah) Arun Madsuwan, 48, (cedera di kedua-dua paha) dan Rachen Hanuman, 19, (cedera di bahagian tangan).

Komander Infantri Divisyen 5 dan Pasukan Petugas Khas Thep Satree Mejar Jeneral Santi Sakuntanak mengesahkan penahanan tiga rakyat Thailand untuk disoal-siasat.

“Jika mereka didapati bersalah, kita akan bekerjasama dengan Malaysia,” katanya.

Komander Tentera Wilayah 4 Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak memberitahu BeritaBenar bahawa pihaknya sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Saya ambil maklum berkenaan insiden tembak-menembak yang berlaku di Malaysia, jadi saya telah mengarahkan Komander Pasukan Khas Thep Satree untuk berhubung dengan Malaysia melalui Pejabat Koordinasi Sempadan Malaysia-Thailand kerana kejadian ini berlaku di luar bidang kuasa Thailand,” katanya.

Serangan bukan pertama kali

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berjanji bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan berhubung insiden itu dan berkata pihak kerajaan memandang serius perkara itu serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama mereka yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan.

“Pihak polis telah diarahkan untuk menyiasat secara menyeluruh dan mengenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan itu,” katanya

Abdul Hamid berkata insiden pada Selasa bukanlah yang pertama menyaksikan penyeludup melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.

Beliau berkata pada 12 Nov lepas, beberapa tembakan dilepaskan ke arah anggota keselamatan daripada batalion sama tetapi tidak ada yang cedera. Insiden sama berlaku lagi tiga hari kemudian.

Abdul Hamid berkata polis sudah mengenal pasti tujuh kumpulan penyeludup yang aktif di kawasan itu dan baru-baru ini, pihaknya menerima maklumat bahawa aktiviti penyeludupan di situ kembali aktif.

Wilawan Watcharasakwet di Bangkok, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh