Follow us

Malaysia Dijangka Hantar Semula 3,000 Tan Sisa Plastik Tercemar ke Negara Asal

Vathani Panirchellvum
Kuala Lumpur
2019-05-28
E-mel
Komen
Share
Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menunjukkan sisa plastik pelbagai jenis di West Port, Pelabuhan Klang, 28 Mei 2019.
Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menunjukkan sisa plastik pelbagai jenis di West Port, Pelabuhan Klang, 28 Mei 2019.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Malaysia akan menghantar semula 3,000 tan sisa plastik tercemar yang dibawa masuk secara haram ke negara ini dengan 450 tan daripadanya dijangka dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh 2 minggu seperti yang diumumkan menteri berkenaan pada Selasa.

Antara sisa tersebut ialah kabel dari United Kingdom (UK), bekas susu tercemar dari Australia dan cakera padat dari Bangladesh selain sisa elektronik serta barangan rumah dari Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Arab Saudi dan China.

Negara di Asia Tenggara menjadi tempat pembuangan sampah global susulan tindakan China menutup pintu kepada pengimportan plastik ke republik itu dalam usaha mengurangkan pencemaran.

“Kontena-kontena tersebut dipenuhi dengan sisa plastik yang tercemar, tidak homogen, berkualiti rendah, tidak boleh dikitar semula dan akan diproses di kilang-kilang yang tidak mempunyai teknologi kitar semula yang mesra alam. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974,” kata Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim(MESTECC) dalam satu sidang akhbar di West Port, Pelabuhan Klang di luar Kuala Lumpur pada pagi Selasa.

Beliau berkata pengimportan sisa plastik tercemar dan sampah itu jelas melanggar undang-undang alam sekitar negara.

“Saya sangat terkejut. Di depan ada sisa yang dibenarkan manakala sisa yang tidak dibenarkan diletakkan di bahagian belakang. Saya berharap perkara begini tidak akan berlaku lagi,” kata Yeo kepada pemberita.

Sejumlah 450 tan daripada sisa plastik tercemar itu, yang akan dihantar semula ke negara asal dalam masa dua minggu, adalah tambahan kepada lima kontena yang dihantar semula ke Sepanyol pada 29 April.

“Jumlah selebihnya sebanyak 50 kontena akan diperiksa secara menyeluruh sebelum dihantar ke negara asal. Ini mungkin hanyalah permulaan.”

Yeo turut menyifatkan syarikat Malaysia yang mengimport sisa plastik tercemar, termasuk sampah dan sisa lain, sebagai pengkhianat terhadap kelestarian negara dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mereka.

“Kami turut menemui sebuah kilang kitar semula di UK yang menjadi pengeksport tegar sisa plastik tercemar ke Malaysia dalam tempoh dua tahun ini. Mereka telah mengeksport lebih 1,000 kontena yang mengandungi 50,000 tan metrik dan ini hanyalah dari sebuah negara.

“Syarikat ini melambakkan apa yang rakyat UK hantar kepada mereka untuk dikitar semula. Ini adalah contoh dari sebuah syarikat. Kami sedang mengumpulkan senarai syarikat kitar semula dari pelbagai negara yang akan kita hantar kepada negara yang terlibat untuk tindakan lanjut kerajaan mereka,” kata Yeo.

Yeo juga berkata kesalahan itu perlu ditanggung oleh pengeksport dan rakan niaga mereka di Malaysia.

“Setiap kontena mempunyai rakan dagang di Malaysia, jika tidak, mereka tidak boleh eksport ke sini, sebab itu saya katakan ada pengkhianat,” kata Yeo sambil menambah bahawa beliau tidak boleh menyatakan jumlah syarikat tempatan yang terlibat dalam perkara ini kerana ia masih disiasat.

Yeo turut menerangkan bahawa sisa sampah dagangan yang dikatakan sisa kitar semula itu menjadikan Malaysia terpaksa berdepan kualiti udara rendah kerana pembakaran terbuka plastik mendatangkan bahaya kepada kesihatan, sungai tercemar, tapak pelupusan sampah haram dan masalah lain yang berkaitan.

Beliau turut berkata  masyarakat negara maju begitu tekun mengasingkan sisa untuk dikitar semula namun ia dilambak ke negara membangun yang menyaksikan sisa itu dikitar semula secara haram sehingga menimbulkan bahaya kepada alam sekitar dan kesihatan.

“Kami memohon supaya negara maju mengkaji semula pengurusan sisa plastik dan memberhentikan penghantaran sisa keluar dari negara mereka. Ini adalah tidak adil dan tidak bertamadun.

“Malaysia bukanlah tempat pembuangan sampah bagi negara membangun. Kita mungkin kecil tetapi kita akan melawan semula,” tambah Yeo.

Sehingga kini sebanyak 123 kontena dari 15 negara telah diperiksa melalui operasi bersepadu antara agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar, Kastam , Polis Diraja Malaysia, Pihak Pengurusan Pelabuhan Klang dan juga Jabatan Pengurusan Sisa Kekal Kebangsaan.

Bukan Masalah Baharu

Ahmad Ismail, Presiden Malaysian Nature Society (MNS) berkata ia bukanlah satu masalah baharu dan bermula selepas China memberhentikan pengimportan sisa ke negara itu.

“Sebab itu semuanya menuju ke Malaysia,” kata Ahmad kepada BeritaBenar.

Beliau berkata Malaysia mempunyai peraturan dan undang-undang tentang isu itu di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar bagi melindungi alam sekitar. Beliau berkata kerajaan sekarang hanya perlu mengimplementasikan undang-undang itu.

Beliau turut menambah usaha kerajaan akan lebih efektif jika Malaysia dididik tentang bahaya pencemaran plastik kerana masyarakat seolah-olah masih belum sedar.

“Plastik sudah berada dalam cara hidup dan budaya kita. Kita perlu mendidik masyarakat dan membuatkan mereka faham kenapa pencemaran plastik perlu dielakkan. Masyarakat perlu dididik bagaimana untuk mengawal penggunaan plastik,” kata beliau lagi.

Berdekad lamanya China menjadi pengimport terbesar sisa dunia tetapi Beijing telah menutup pintunya ke atas 24 jenis sekerap dari memasuki negara itu sejak tahun lepas.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Greenpeace, ketika kemuncak aktiviti di China, negara itu mengimport hampir 9 juta tan sisa plastik setiap tahun.

Menurut NGO itu lagi, antara negara Asia Tenggara, Malaysia merupakan salah satu negara utama yang menjadi tempat lambakan sisa plastik yang digunakan dalam perdagangan sisa plastik.

Jurucakap Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun memuji usaha menteri berkenaan dalam membenteras pengimportan sisa plastik ke negara ini, yang menyalahi Pindaan Konvensyen Basel yang berkuat kuasa pada Mei 2019.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan memang mengambil serius tentang isu ini. Kami mengiktiraf usaha kerajaan Malaysia dalam perkara ini termasuklah mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas sisa ini,” kata Heng lagi.

Lihat Laman Penuh