Follow us

Perdana Menteri Malaysia Diarah Kuarantin Setelah Pegawai Disahkan Positif COVID-19

Ray Sherman
Kuala Lumpur
2020-05-22
E-mel
Komen
Share
Perdana menteri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas mengadakan mesyuarat kabinet pertama beliau di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 11 Mac 2020.
Perdana menteri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas mengadakan mesyuarat kabinet pertama beliau di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 11 Mac 2020.
S. Mahfuz/BeritaBenar

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari bermula Jumaat setelah seorang pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-kabinet pada hari sebelumnya, disahkan positif COVID-19 demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri(PPM).

Menurut kenyataan itu yang dikeluarkan petang Jumaat, Muhyiddin yang telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada hari yang sama dan disahkan negatif telah diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumah pihak berkuasa kesihatan.

Turut diminta berbuat demikian ialah semua mereka yang hadir pada mesyuarat tersebut pada Khamis.

"Menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), YAB Perdana Menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini.

"Semua ahli mesyuarat tersebut juga telah diarahkan agar menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini," kata kenyataan tersebut.

Menurut PPM, setiap mesyuarat yang diadakan di pejabat Perdana Menteri sentiasa mematuhi peraturan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat.

Terdahulu, Muhyiddin tampak sihat dan ceria dalam sebuah sesi sidang video dengan petugas barisan hadapan negara, yang berlangsung selama kira-kira 30 minit.

Dalam sesi tersebut, perdana menteri bertanya khabar dan mendengar keluhan dan permintaan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak COVID-19, dan menitipkan kata-kata semangat kepada mereka.

Beliau mengucapkan tahniah atas usaha dan kegigihan yang ditunjukkan kerana selepas lebih kurang dua bulan, segala usaha itu membuahkan hasil.

“Hampir dekat 60 hari usaha yang saudara saudara lakukan telah cukup berkesan diberikan pengikhtirafan bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa. Ini sesuatu yang perlu dibanggakan,” kata Muhyiddin.

Kes kematian meningkat

Pada Jumaat, Malaysia mencatatkan 78 lagi kes baru COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan kepada 7,137.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata terdapat pertambahan satu lagi kes kematian daripada COVID-19, membawa jumlah kumulatif kes kematian daripada wabak itu kepada 115.

Menurut beliau daripada 78 kes baru, 40 melibatkan bukan warganegara Malaysia, di mana 25 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.

“Sejumlah 25 kes baru COVID-19 dikesan dalam kalangan tahanan di Depoh Imigresen Bukit Jalil sehingga Mei 22, menjadikan jumlah kumulatif kes di kluster depoh itu kepada 60 kes.

“Tahanan yang disahkan positif wabak itu sehingga kini merupakan warga asing yang ditahan sebelum dan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa di Malaysia,” katanya.

Menurut Noor Hisham lagi, jumlah 25 yang terbaru itu adalah dari kalangan migran yang ditahan di kawasan yang diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan kementerian dalam usaha menyaring kesemua tahanan seramai 1,400 orang yang ditahan di depoh tersebut.

Seramai 114 kakitangan depoh juga telah menjalani pemeriksaan dan mereka telah disahkan negatif COVID-19.

Sambutan Aidilfitri dalam norma baru

Penularan wabak COVID-19 bakal menyaksikan sambutan Hari Raya Aidlfitri yang bakal tiba pada Ahad ini disambut dalam suasana yang berlainan berikutan langkah kerajaan mengenakan sekatan perjalanan rentas sempadan dan peraturan ketat bagi sembahyang sunat Aidilfitri seluruh negara.

Pihak polis telah mengadakan ratusan sekatan jalan-raya di seluruh negara, terutamanya di sempadan negeri untuk memastikan tiada aktiviti merentas negeri menjelang perayaan.

Bagi mereka yang gagal mematuhi arahan bakal berdepan dengan kompaun dan rumah mereka akan turut dilawati oleh pihak berkuasa yang akan menjalankan operasi pemeriksaan terhadap mereka yang ingkar.

Sebelum ini, pengguna jalan raya yang didapati cuba merentasi sempadan negeri tanpa permit yang sah daripada polis akan disuruh berpatah balik ke rumah masing-masing, tetapi berkuatkuasa Jumaat, pesalah tersebut juga akan didenda dengan kompaun RM1,000(AS$229) serta merta.

Lihat Laman Penuh