Follow us

Hakim Malaysia Tangguh Perbicaraan 1MDB, Kes Terbesar Bekas PM Najib Razak

Pihak pembelaan dan pendakwaan memohon mahkamah membenarkan mereka menyelesaikan perbicaraan kes berkaitan SRC International.
Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2019-08-19
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berjalan di luar mahkamah tinggi di Kuala Lumpur, 19 Ogos 2019.
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berjalan di luar mahkamah tinggi di Kuala Lumpur, 19 Ogos 2019.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Seorang hakim Malaysia pada Isnin menangguhkan perbicaraan kedua dan paling penting membabitkan kes rasuah bekas Perdana Menteri Najib Razak bagi membolehkan pihak pendakwaan menyelesaikan keterangan saksi mereka dalam perbicaraan pertama yang dikaitkan dengan skandal kewangan berbilion dolar 1MDB.

Najib, yang mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan, berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan menyalah guna kuasa dalam perbicaraan kedua ini. Beliau telah didakwa dengan sejumlah 42 pertuduhan dalam lima kes berasingan yang dikemukakan terhadapnya sejak kalah dalam pilihan raya umum pada Mei tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah berkata pendengaran kes itu akan bermula Isnin depan iaitu pada 26 Ogos bagi membolehkan pihak pendakwaan menyelesaikan keterangan saksi mereka dalam perbicaraan terdahulu berkaitan SRC International, anak syarikat 1MDB. Bagaimanapun, hakim itu meminta pihak pendakwaan dan pembelaan agar “menyemak semula” tarikh itu dengan beliau pada Khamis.

“Saya mengekalkan bahawa perbicaraan bermula pada Isnin. Saya boleh bertolak ansur dan menangguhkannya, mungkin setengah hari bagi membolehkan anda meneliti dokumen,” kata hakim itu.

Perbicaraaan itu merupakan kali pertama bekas perdana menteri itu bakal berdepan pertuduhan yang secara langsung timbul daripada dakwaan menggelapkan beratus-ratus juta dolar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana pelaburan negara yang ditubuhkan Najib 10 tahun lepas kononnya untuk merangsang pembangunan ekonomi di negara itu.

Dalam perbicaraan pertama, Najib berdepan tujuh pertuduhan berkaitan dakwaan mengalihkan secara haram 42 juta ringgit (kira-kira AS$10.3 juta) ke dalam akaun peribadinya daripada SRC International.

Pihak pendakwaan Malaysia menuduh beliau mencuri sejumlah $681 juta (2.85 bilion ringgit) daripada dana negara itu. Jabatan Kehakiman AS, yang turut memfailkan kes jenayah berkaitan skandal 1MDB, menyifatkannya sebagai “skandal kleptokrasi terburuk pada masa ini.”

Jika didapati bersalah, Najib berdepan hukuman berpuluh-puluh tahun penjara dan denda berjuta-juta dolar.

Lihat Laman Penuh