Follow us

Malaysia Kesan Sindiket Seludup Haiwan Liar, Tangkap Pemburu Haram Vietnam

Ali Nufael
Kuala Lumpur
2019-04-16
E-mel
Komen
Share
Hempedu beruang yang dirampas dalam satu serbuan di Taman Negara Terengganu, Malaysia 16 April, 2019.
Hempedu beruang yang dirampas dalam satu serbuan di Taman Negara Terengganu, Malaysia 16 April, 2019.
Gambar Ihsan: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) mengesan kewujudan sindiket penyeludupan haiwan liar antarabangsa susulan penangkapan dua pemburu haram rakyat Vietnam dan rampasan organ haiwan yang bernilai kira-kira RM600,000(AS$145,101) di kawasan Taman Negara Terengganu pada Isnin.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar berkata, dua lelaki berkenaan masing-masing berusia 25 dan 29 tahun ditangkap dalam serbuan di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara, Terengganu pada 6.45 pagi oleh pasukan taktikal khas PERHILITAN.

“Dalam serbuan itu, antara bahan yang ditemui bersama-sama suspek dan dirampas termasuk bahagian badan haiwan liar disyaki spesies harimau belang dan kumbang (kuku dan taring), beruang matahari (hempedu, taring dan kuku) serta babi hutan (taring).

“Turut dirampas ialah peralatan memburu termasuk jerat dawai, parang, lembing, kapal dan pelarik kayu selain pasport dan telefon bimbit suspek,” kata Xavier pada sidang berita di Putrajaya pada Selasa.

Malaysia adalah antara negara Asia Tenggara yang menjadi tumpuan pemburu haram kerana mempunyai spesies haiwan terpelihara seperti Harimau Malaya, Harimau Akar, Harimau Kumbang, Gajah serta beruang mentari selain dakwaan bahawa penguatkuasaan yang agak lemah.

Aktiviti pemburuan haram di negara-negara itu telah menjejaskan populasi haiwan berkenaan termasuk Harimau Malaya dan Beruang Madu.

Xavier berkata, dua suspek itu didapati tinggal di dalam hutan Taman Negara sejak lebih empat bulan lalu berdasarkan rekod dokumen perjalanan memasuki negara ini pada Disember 2018.

Beliau berkata, mereka direman tiga hari bermula Selasa bagi membantu siasatan mengikut Enakmen  39 Taman Negara Terengganu kerana menceroboh Taman Negara, serta memburu dan menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran PERHILITAN di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 29 Akta 716 kerana memiliki jerat,” katanya.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 (AS$12,094) atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Guna pas pelawat

Xavier memberitahu bahawa kedua-dua warganegara Vietnam itu dikesan memasuki Malaysia menggunakan pas pelawat dan dipercayai  sebahagian daripada sindiket yang disyaki memburu dan menjual spesies terancam seperti harimau dan beruang yang terkenal sebagai ubat tradisional dalam pasaran seperti Vietnam dan China.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga sedang mengesan dua lagi suspek yang dipercayai sebahagian daripada kumpulan rakyat Vietnam berkenaan berdasarkan siasatan awal pihak berkuasa.

“Kami mengesyaki ada dua lagi pemburu haram yang masih bebas. Mereka mungkin masih berada di hutan atau pun sudah meninggalkan kawasan Taman Negara.

“Kami akan mendapat lebih banyak maklumat daripada dua telefon bimbit yang dirampas. Kami akan mendapatkan maklumat yang diperlukan,” katanya.

Xavier berkata, Malaysia akan memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan dan menumpaskan sindiket itu.

Beliau juga akan meminta bantuan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi mengekang kegiatan pemburuan haram di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Langkah itu penting memandangkan spesies terancam seperti Harimau Malaya kini semakin berkurangan dan perlu dilindungi daripada  kepupusan, katanya.

Kementerian Pertahanan menaungi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala Kementerian Dalam Negeri berkuasa terhadap pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Kerajaan serius dalam memastikan haiwan liar tidak mengalami kepupusan terutamanya Harimau Malaya yang ketika ini terdapat kurang daripada 200 ekor di hutan seluruh Semenanjung,” katanya.

Xavier berkata, PERHILITAN akan menjalankan ujian Asid Deosiribonukleik (DNA) terhadap semua barang kes untuk mengesahkan spesies haiwan liar terbabit.

Ujian forensik itu dijangka mengambil masa tiga hari untuk dijalankan di Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan milik PERHILITAN.

Modus operandi pemburu haram itu adalah dengan memasang jerat dawai di laluan haiwan liar tersebut.

Xavier berkata, operasi itu dapat dilakukan hasil maklumat daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Sumber PERHILITAN pula memberitahu BeritaBenar bahawa terdapat lebih daripada 70 jerat ditinggalkan di kawasan hutan Taman Negara berkenaan.

Beliau berkata pasukan penguatkuasaan PERHILITAN sedang berusaha untuk menyahaktif jerat yang menjadi perangkap haiwan tersebut.

"Ini adalah kali pertama kami melakukan rampasan barang sebanyak itu. Kami gembira kerana dapat menangkap mereka tetapi pada masa yang sama, kami sedih kerana ada haiwan yang terbunuh," kata sumber itu yang turut bekerjasama rapat dengan beberapa NGO.

Permintaan tinggi dalam pasaran gelap

Spesies haiwan liar sering mendapat permintaan tinggi dalam pasaran gelap.

Harga seekor Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis/Panthera tigris jacksoni), yang turut tertera pada jata negara Malaysia, dianggar bernilai RM600,000 (AS$145,101) hingga RM1 juta (AS$241,895) di pasaran gelap, menurut laporan PERHILITAN Malaysia.

Menurut laporan itu, yang dikeluarkan pada 2018, haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya sering diburu secara haram bagi mendapatkan kulit, daging, kuku dan taringnya.

Selain itu, tulang dan tengkorak harimau turut menjadi bahagian paling bernilai berbanding kulit harimau di pasaran gelap.

Terdapat permintaan yang tinggi terutamanya untuk organ dan tulang harimau di kalangan pembuat arak selain pengeluar produk ubat-ubatan tradisional.

Tulang haiwan karnivor itu didapati menjadi bahan utama dalam penghasilan arak yang amat popular di Vietnam, Laos dan China selain ia turut dieksport hingga ke Amerika Syarikat.

Laporan itu juga menyatakan bahawa Tabung Hidupan Liar Sedunia atau WWF Malaysia turut meramalkan bahawa haiwan berstatus spesies terancam itu akan pupus dalam tempoh kurang 10 tahun sekiranya tiada usaha pemuliharaan diambil segera.

Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP), yang dilancarkan pada 2008, menyasarkan untuk mempunyai 1,000 ekor Harimau Malaya di habitat asalnya di seluruh Semenanjung menjelang 2020, sesuatu yang nampaknya hampir mustahil dilakukan pada masa ini.

Dalam usaha mengekang aktiviti pemburu haram, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan rondaan di bawah Program Perlindungan Harimau dan Rondaan (TP3) pada bulan lalu.

Pasukan petugas itu terdiri daripada 2,000 kakitangan Jabatan PERHILITAN, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), ATM dan PDRM.

Xavier juga mengisytiharkan 'perang' terhadap pemburu haram sebagai agenda nasional dalam komitmennya untuk memastikan spesies Harimau Malaya tidak pupus.

Radzi Razak turut menyumbang kepada artikel ini.

Lihat Laman Penuh