Follow us

Isu Integriti: Kemasukan Baharu PDRM Wajib Lulus Ujian Agama, Moral

Ali Nufael
Kuala Lumpur
2019-12-11
E-mel
Komen
Share
Anggota Polis Diraja Malaysia berkawad semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-61 di Putrajaya, 31 Ogos 2018.
Anggota Polis Diraja Malaysia berkawad semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-61 di Putrajaya, 31 Ogos 2018.
AP

Para pemohon yang berhasrat memasuki perkhidmatan polis sebagai kadet wajib lulus ujian agama dan moral ketika sesi pengambilan rekrut baharu tahun depan dalam usaha memperkukuh pasukan keselamatan itu dengan anggota berintegriti, kata seorang pegawai atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Rahim Jaafar, berkata langkah itu diambil selepas timbul kerisauan terhadap jumlah kes jenayah dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota polis baru-baru ini, selain kepercayaan PDRM bahawa pengetahuan asas berkaitan agama boleh membantu meningkatkan kualiti pengambilan anggota baharu.

“Bermula tahun depan, rakyat Malaysia yang mahu menganggotai pasukan polis mesti lulus ujian agama, buat yang beragama Islam, atau ujian moral bagi yang bukan beragama Islam sebelum diterima masuk untuk menjalani latihan. Ini wajib selain ujian fizikal dan sikap semasa sesi temu duga sebelum diterima masuk menjalani latihan,” katanya kepada BeritaBenar.

Rahim berkata ini kerana PDRM mahu memastikan bahawa anggota baharu mempunyai integriti dan pemahaman berkaitan agama dengan harapan ia mampu mengurangkan atau menghentikan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan anggota pasukan keselamatan itu.

Rahim turut mengakui bahawa kes jenayah dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota polis berada pada tahap membimbangkan dan pihaknya sedang berusaha memastikan trend itu tidak menjadi lebih teruk.

“(Ini) kerana kita bimbang dengan trend baru-baru ini dan kita mahu memastikan bahawa kes melibatkan anggota polis boleh dikurangkan. Kita juga mahu menaikkan standard dan integriti dalam kalangan anggota. Itu matlamat kita,” katanya.

Rahim berkata PDRM dijangka merekrut 6,000 anggota berpangkat rendah dan 500 pegawai bagi mengisi kekosongan jawatan dalam pasukan itu pada 2020.

Dilaporkan bahawa sejak 23 Sept hingga 25 Okt, PDRM menerima 5,851 permohonan daripada pemohon wanita dan 5,470 daripada pemohon lelaki untuk menyertai pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini pernah meluahkan kebimbangan berhubung kelemahan disiplin dalam kalangan anggota pasukan keselamatan itu.

Oleh itu, beliau telah mengarahkan agar anggota polis menjauhkan diri dari pusat hiburan dan tempat perjudian sebagai antara cara untuk mengelak mereka menerima rasuah.

Beliau turut mengeluarkan memo dalaman kepada Ketua Polis Negeri dan Daerah agar berhenti mengambil dana daripada orang luar untuk penganjuran sebarang majlis sebulan selepas  dilantik sebagai KPN pada Mei dalam usaha memerangi rasuah.

“Adalah lebih baik untuk menutup semua pintu yang boleh memberi peluang kepada entiti tertentu yang boleh membawa kepada rasuah atau penyalahgunaan kuasa,” kata Abdul Hamid kepada media beberapa bulan lepas.

Di bawah pengurusan beliau, Jabatan Jenayah Narkotik Bukit Aman melancarkan ‘Op Blue Devil’ mensasarkan anggota polis yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Sejak dilancarkan pada Ogos, sejumlah 211 anggota polis pelbagai pangkat telah ditahan kerana penyalahgunaan dadah.

Operasi yang dilancarkan di seluruh negara itu memfokus kepada pusat hiburan seperti pusat karaoke dan kelab malam.

Pakar kriminologi Kamal Affendy Hashim memberitahu BeritaBenar bahawa tindakan terbaru PDRM itu boleh membantu dalam penambahbaikan pasukan polis selain membuktikan keseriusannya untuk meningkatkan tahap integriti dalam kalangan anggota.

“Ia suatu langkah yang baik. Mereka yang lulus ujian itu menunjukkan bahawa mereka faham tentang asas dan prinsip integriti. Lebih mudah bagi mereka untuk mendengar arahan dan membentuk keperibadian mereka dalam pasukan.

“Ini merupakan satu perubahan paradigma dalam pasukan polis. Mereka menunjukkan mereka serius dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka dan pada masa yang sama, mereka serius dalam melakukan perubahan dalam pasukan,” kata Kamal yang juga bekas anggota polis.

Bagaimanapun, Siti Kasim, peguam hak asasi manusia dan pengasas badan bukan kerajaan Maju, melontarkan pandangan yang berbeza.

Beliau berkata pemahaman tentang Islam tidak menjamin standard moral yang tinggi dalam kalangan pegawai polis, oleh itu, adalah lebih baik jika anggota dipilih berdasarkan karakter individu.

“Secara logiknya, bagaimana pemahaman tentang Islam boleh menghentikan anda daripada melakukan jenayah. Lihat sahaja kes melibatkan guru agama dalam serangan seksual atau kes yang melibatkan penyalahgunaan wang anak yatim.

“Apa yang penting ialah mereka harus memilih anggota berdasarkan karakter dan kemahiran supaya boleh ditanam dengan benih disiplin and profesionalisme sebagai anggota polis. Badan pemantau seperti IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis) juga boleh menyumbang kepada standard kod tatalaku yang tinggi,” katanya.

Siti berkata negara barat mempunyai standard integriti yang tinggi tanpa perlu menambah agama dalam kursus latihannya.

“Pernahkah kita mendengar negara Eropah menambah aspek agama dalam SOP pengambilan anggota? Tetapi mereka ini mempunyai standard integriti yang tinggi. Lihat pula negara Islam, mereka mempunyai sikap yang buruk. Bagi saya, garis panduan itu perlu dimansuhkan dan keputusan untuk meletakkan ujian agama dan moral perlu dikaji semula untuk kesejahteraan pasukan polis,” katanya.

Penubuhan IPCMC tertangguh bertahun lamanya namun selepas peralihan kuasa susulan kemenangan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mahathir Mohamad, kerajaan berusaha untuk merealisasikannya.

Abdul Hamid turut menyatakan sokongan terhadap penubuhan badan pemantau itu.

Kertas pembentangan berkaitan badan itu, yang sepatutnya dibawa ke Parlimen pada sesi terakhir tahun ini, bagaimanapun terpaksa ditunda sehingga sesi tahun depan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew View Keong, ia terpaksa ditunda kerana memerlukan lebih banyak maklum balas daripada pihak berkepentingan.

Lihat Laman Penuh