Larikan RM1.6 Juta: Dua Pegawai Kanan Polis Antara Enam Ditahan

Nisha David
2020.11.25
Kuala Lumpur
MY_900.jpg Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika merasmikan Jerayawara Autisme: Garis Panduan Polis Diraja Malaysia di Maktab Polis di Cheras, Kuala Lumpur pada 29 Julai 2019.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Enam anggota polis termasuk dua pegawai kanan berpangkat Asisten Superintenden ditahan awal minggu ini kerana disyaki melarikan wang tunai RM1.6 Juta (US$391,494) milik warga China yang disiasat atas kesalahan penipuan dalam talian, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin pada Rabu.

Mereka ditahan pada Isnin selepas mangsa melaporkan kehilangan wang tunai serta ugutan jenayah terhadapnya kepada pihak polis. Kesemua suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah Sentul dibebaskan dengan jaminan polis sehari kemudian tanpa digantung tugas kerana siasatan masih berjalan.

“Dua pegawai kanan terbabit berpangkat Asisten Superintenden manakala empat lagi adalah anggota masing-masing seorang sarjan, seorang koperal dan dua lans koperal.

“Mereka ditahan pada 23 Nov dan dibebaskan sehari kemudian. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan curi dalam bangunan dan Seksyen 384 kanun yang sama atas kesalahan peras ugut,” katanya kepada BeritaBenar.

Menurut Saiful, mereka tidak direman kerana memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk tindakan susulan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika dihubungi BeritaBenar melahirkan rasa sedih atas perlakuan keenam-enam anggotanya.

"Saya amat sedih. Mereka tidak akur kepada nasihat saya dan mereka patut berhadapan dengan tindakan undang-undang. Biar saya beri peringatan... jangan terbabit dengan jenayah. Tiada lagi amaran selepas ini... polis akan tahan polis," katanya.

Sebelum ini, ketika mula-mula menyandang jawatan pada Mei 2019, Abdul Hamid sudah memberi amaran kepada semua pegawai dan anggota polis yang beliau tidak akan memberi ruang kepada mereka yang bersekongkol melindungi kegiatan dilakukan sindiket atau kartel jenayah, terbabit dalam jenayah, dadah dan rasuah.

"Tidak ada belas kasihan bagi mereka yang berani mencemarkan imej pasukan polis dan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh mereka tidak akan ditoleransi," katanya ketika ditemu bual agensi berita Bernama.

Serbu rumah, larikan wang tunai

Menurut sumber polis, pada 12 Nov  lepas, enam anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Sentul, Kuala Lumpur menyerbu sebuah rumah selepas menerima maklumat berkaitan kes penipuan dalam talian.

"Ketika serbuan, mereka menemui wang tunai sebelum merampasnya daripada warga China terbabit. Mereka melakukannya seperti serbuan biasa namun rampasan wang tunai RM1.6 juta itu tidak dilaporkan.

"Malah warga China itu juga tidak ditahan dan anggota polis terbabit dipercayai melarikan wang tunai milik mangsa," katanya.

Sumber memberitahu warga China itu kemudian membuat laporan di IPD Sentul pada 18 Nov dan kesemua suspek ditahan secara berperingkat pada Isnin oleh sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur.

"Sebahagian wang tunai yang dilarikan pegawai dan anggota berkenaan ditemui di rumah masing-masing namun jumlah penemuan wang yang dilarikan itu dilaporkan hanya RM500,000 (US$122,175)," katanya.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard  (JIPS)  Bukit Aman Zamri Yahya berkata buat masa ini, siasatan masih dijalankan oleh D9.

"JIPS masih menunggu laporan penuh siasatan berkenaan. Bagi JIPS, apa yang paling penting ialah melihat semula prosedur operasi standard (SOP) operasi berkenaan sama ada pegawai dan anggota terbabit mematuhi arahan yang ditetapkan semasa serbuan," katanya kepada BeritaBenar.

Zamri berkata antara SOP dalam setiap operasi serbuan ialah merekodkan setiap barangan berharga yang dirampas dengan disaksikan individu yang diperiksa atau ditahan.

"Selepas itu, individu terbabit akan tandatangan borang senarai barang dirampas bagi memastikan tiada kehilangan barang berharga," katanya sambil menambah JIPS Bukit Aman akan mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti pegawai dan anggota terbabit melakukan kesalahan.

Beliau berkata mereka bukan sahaja boleh dibuang kerja atau digantung tugas tetapi turut berdepan tindakan mengikut Kanun Keseksaan.

Sejak 2016, JIPS Bukit Aman sudah mengambil tindakan terhadap 6,000 pegawai dan anggotanya kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan serta masalah disiplin.

"Secara purata, jumlah yang ditahan pada setiap tahun dianggarkan 1,200 orang. Mereka ini terbabit dalam pelbagai kesalahan seperti rasuah, pelanggaran disiplin selain terbabit dalam kegiatan jenayah namun saya percaya itu hanyalah sebahagian kecil dan masih ramai lagi yang terbabit dalam pelbagai kesalahan belum dikesan selain kes mereka tidak dilaporkan.

"Antara kesalahan utama mereka ialah tidak hadir bertugas, gagal mengisytiharkan aset atau harta dan berkahwin lebih daripada satu," katanya sambil menambah pelbagai tindakan telah diambil terhadap anggota yang melakukan kesalahan seperti penangguhan dan pengurangan gaji serta digantung tugas.

Sementara itu, Bekas Presiden Transparency International (TI) Malaysia Akhbar Satar berkata punca penguatkuasa undang-undang terbabit dalam jenayah dan rasuah adalah kerana mereka tiada integriti.

"Mereka mahu hidup mewah dengan menggadai maruah. Ada tiga punca mereka melakukannya. Pertama ialah peluang. Penguatkuasa ini ada kuasa dan peluang untuk menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan diri. Kedua ialah tekanan. Antara faktornya ialah penguatkuasa ini terbabit dengan judi dan dadah selain berhutang. Ketiga ialah rasionalisasi. Ia bermaksud menghalalkan perbuatan yang salah dan haram," katanya kepada BeritaBenar.

Beliau berkata sekiranya isu integriti seperti rasuah dan salah guna kuasa berterusan umpama tiada penghujung selain yang bersalah seolah-olah dibiarkan, pasukan penguatkuasa berkaitan pasti tidak akan dihormati masyarakat.

Pada Khamis, Pelan Tindakan Antirasuah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilancar bagi menangani gejala rasuah dalam kalangan warga pasukan keselamatan itu dengan lebih tegas.

Memetik laporan Bernama, pelan itu akan menjadi rangka tindakan kepada pasukan polis dalam memerangi gejala rasuah bagi tempoh empat tahun sehingga 2024.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.