Tiga Warga Indonesia Didakwa Miliki Bahan Berkaitan Keganasan di Sarawak

Ketiga mereka termasuk sepasang suami isteri adalah yang pertama didakwa di Sarawak melibatkan aktiviti keganasan, kata pihak berkuasa Malaysia.
Ali Nufael
2019.10.02
Kuala Lumpur
191002-MY-suspect-620.jpg Warga Indonesia Ardiana Rashid diiringi pegawai polis wanita di Mahkamah Sesyen Miri di Sarawak, Malaysia. 2 Okt 2019.
Gambar ihsan Polis Diraja Malaysia

KEMASKINI pada 4.30 petang waktu tempatan - 2019-02-10

Tiga warga Indonesia termasuk pasangan suami isteri didakwa di sebuah Mahkamah Sesyen di Sarawak pada Rabu atas pertuduhan memiliki bahan propaganda keganasan, yang pihak berkuasa Malaysia sifatkan sebagai kes pertama membabitkan kesalahan keganasan yang didakwa di negeri yang terletak di Kepulauan Borneo itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu BeritaBenar pendakwaan keatas ketiga-tiga tertuduh yang dikenali sebagai Abdan Syakur, 32, Sandi Saputra, 26, dan isterinya, Ardiana Rashid, 23, adalah yang pertama di Sarawak membabitkan kesalahan berkaitan keganasan.

“Sebelum ini kita ada membuat tangkapan di Sarawak, dan yang kami tangkap itu juga warga asing tetapi mereka diusir keluar manakala dua rakyat tempatan yang ditahan bersama dibebaskan,” kata Ayob tanpa memaklumkan kenapa kesemua mereka yang ditangkap di negeri berkenaan sebelum ini dibebaskan.

Ketiga-tiga tertuduh dibawa ke Mahkamah Syesen Miri pada kira-kira pukul 11 pagi, menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Steve Ritikos. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Menurut kertas pertuduhan, Abdan ditangkap di kawasan pembinaan lebuh raya Pan Borneo pada 14 Sept lalu kerana memiliki material berkaitan kumpulan militan Daesh yang disimpan di dalam telefon bimbitnya manakala Sandi dan Ardiana pula ditahan di kawasan Projek Pembinaan Lumber juga di Miri pada hari yang sama, atas kesalahan memiliki bahan berkaitan Daesh.

Daesh adalah merujuk nama dalam bahasa Arab bagi kumpulan militan Negara Islam [IS]

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(A) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mohamed manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 3 Dis sebagai sebutan semula kes dan mengarahkan agar kesemua tertuduh ditahan di penjara Miri sementara menunggu tarikh perbicaraan..

Menurut Ayob lagi, ketiga-tiga warga Indonesia itu adalah antara 16 individu yang ditahan Bahagian Anti Keganasan Bukit Aman sepanjang bulan Julai hingga pertengahan September lalu, dengan baki mereka yang ditahan bersama-sama tertuduh akan didakwa kemudian nanti. Kesemua mereka yang ditangkap itu tidak termasuk wanita warga India yang ditahan pada awal bulan Ogos.

“Kami sedang melengkapkan kertas siasatan, yang lain akan menyusul, manakala warga India yang ditahan itu pula sudah diusir keluar,” kata Ayob.

Sebanyak 25 plot serangan pengganas berjaya dipatahkan sejak 2013, kata Ayob seperti yang dipetik agensi berita nasional Bernama pada Selasa selepas menghadiri pelancaran Kolokium berkaitan rehabilitasi dan radikalisasi anjuran Jabatan Penjara Malaysia.

Menurut beliau, plot itu termasuk serangan berskala besar ke atas penganut Kristian dan Hindu serta rumah ibadat bagi agama Buddha selain pusat hiburan di Lembah Klang.

Beliau juga berkata dalam tempoh tujuh tahun, sejumlah 74 individu yang didakwa sebagai pengganas telah ditahan pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan berkaitan keganasan, termasuk percubaan melancarkan serangan dan mengutip dana untuk melancarkan serangan.

Bercakap kepada Bernama, Ayob mendedahkan bahawa antara serangan yang dirancang ialah meletupkan Kuil Sri Maha Mariamman, yang merupakan rumah ibadat bagi penganut Hindu, di Subang Jaya, Selangor.

Seorang lelaki dari Terengganu turut ditahan kerana disyaki merancang untuk melakukan serangan secara sendirian dengan polis berjaya merampas objek peranti letupan daripada suspek.

Statistik Polis Diraja Malaysia mendedahkan bahawa dari Januari hingga September, seramai 56 orang telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam pelbagai aktiviti berkaitan keganasan.

Warga Indonesia antara yang teramai ditahan iaitu 15 orang diikuti Filipina (14 orang) dan Malaysia (12) manakala bakinya adalah dari Mesir, Myanmar, Tunisia, Pakistan, Bangladesh serta India.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.