Follow us

Malaysia Tumpas Sindiket Pelacuran, Selamatkan 23 Wanita Vietnam, Thailand

Nat Shu
Johor Bahru, Malaysia
2019-06-11
E-mel
Komen
Share
Dua anggota Polis Diraja Malaysia berkawal di Mahkamah Tinggi Shah Alam di luar Kuala Lumpur, 14 Dis 2018.
Dua anggota Polis Diraja Malaysia berkawal di Mahkamah Tinggi Shah Alam di luar Kuala Lumpur, 14 Dis 2018.
AFP

Polis Malaysia pada Isnin menyelamatkan 23 wanita warga asing, termasuk seorang gadis bawah umur, daripada sindiket pelacuran antarabangsa yang menjadikan sebuah pusat hiburan di Johor Bahru, selatan negara sebagai tempat operasi mereka.

Dzukhairi Mukhtar, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri berkata mangsa yang diselamatkan berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun, dan 15 orang daripada mereka adalah warga Vietnam manakala selebihnya warga Thailand.

“Operasi itu dijalankan dengan kerjasama bahagian Anti Pemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran Bukit Aman, Bahagian Perjudian dan Maksiat serta Kongsi Gelap daerah di mana kita menyerbu sebuah pusat hiburan di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri pada jam 11.35 malam.

“Semasa serbuan dilakukan di premis dua tingkat itu, ada mangsa yang bersembunyi di dalam loteng bagi mengelak dijumpai pihak berkuasa,” kata Dzulkhairi.

Menurut beliau lagi, premis dua tingkat itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan bahagian atas bangunan digunakan untuk melayan pelanggan.

Polis turut menahan lima individu berumur antara 23 dan 47 tahun termasuk pasangan dari Zambia yang dipercayai anggota sindiket pelacuran tersebut.

Polis percaya wanita warga asing yang diselamatkan itu adalah mereka yang dipaksa melacurkan diri oleh sindiket.

Siasatan awal polis menunjukkan mangsa warga Thailand tiba di Malaysia dalam tempoh seminggu sebelum diselamatkan manakala wanita warga Vietnam sudah berada di negara ini dalam tempoh sebulan hingga setahun.

“Kami sudahpun memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) bagi kesemua mangsa manakala kelima-lima suspek yang ditahan sudahpun direman untuk membantu siasatan,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Dzulkhairi berkata operasi itu dijalankan selepas mengadakan proses pemantauan dan kutipan maklumat selama sebulan.

Berdasarkan maklumat yang diterima, polis juga percaya sindiket itu yang turut menerima pelanggan dari Singapura, sudah beroperasi selama beberapa bulan.

Beliau berkata pihak berkuasa sebelum ini turut melakukan operasi di sebuah bangunan perniagaan kecil yang disyaki mempunyai kaitan dengan operasi pada Isnin.

“Kami bekerjasama dengan polis negeri untuk menyiasat rangkaian sindiket tersebut,” kata Dzulkhairi kepada BeritaBenar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 dan 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Akta 2007 dan Seksyen 6(1)( c) Akta Imigresen 1959/63.

Ketika serbuan, polis turut merampas sebuah kereta mewah, telefon bimbit, wang tunai 27,406 ringgit (AS$6,583.33) dan 420 dolar Singapura (AS$307.75), 443 kondom, tiga tiub gel pelincir, tuala mandi serta sabun.

Bekas pengarah unit ATIPSOM Bukit Aman, Maszely Minhad memberitahu BeritaBenar bahawa majoriti wanita warga asing yang diselamatkan daripada sindiket pelacuran rela menghambakan diri kepada sindiket.

“Mereka tahu. Jumlah yang betul-betul diperdaya amat kecil. Susah nak jumpa yang diperdaya. Bila kita soal, mereka tutup mulut dan mereka rela kena penjara di bawah Akta Imigresen selama enam bulan dan kemudian dihantar pulang ke negara asal.

“Kami percaya mereka ini telah ditakut-takutkan oleh sindiket. Tetapi dalam masa yang sama, mereka sudah selesa terima wang yang banyak daripada hasil pelacuran. Jadi sebenarnya ramai yang sanggup berbuat begitu (menjadi pekerja seks),” kata Maszely yang bersara daripada perkhidmatan baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, sindiket pelacuran kini menumpukan kepada warga Vietnam berbanding dahulu yang lebih kepada wanita dari China.

“China dah kurang sebab matawang kita jatuh. Manakala wanita Indonesia pula ramai di pusat urut. Banyaknya sekarang, isunya lebih kepada buruh paksa bukan pelacuran paksa,” kata beliau.

Selatan Johor, terutama Johor Bahru dan kawasan sekitarnya, dikatakan lubuk pelacuran buat warga Singapura.

Pada Julai 2017, akhbar berbahasa Cina tempatan melaporkan bahawa Johor Bahru merupakan destinasi warga Singapura yang dahagakan seks.

Laporan itu turut menceritakan secara terperinci bagaimana jalan di Johor Bahru mendapat gelaran ‘red-light district’ kerana lelaki berumur dari Singapura akan menuju ke sana bagi mendapatkan layanan seks daripada pelacur warga Vietnam dan China.

Ali Nufael di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh