Gurauan Rogol: Remaja Perempuan Terima Amaran Buang Sekolah

Pegawai Kementerian Pendidikan belum menghubunginya mengenai insiden itu, kata remaja perempuan berkenaan.
Hadi Azmi dan Nisha David
Kuala Lumpur
2021-05-11
Share
Gurauan Rogol: Remaja Perempuan Terima Amaran Buang Sekolah Ain Husniza Saiful Nizam, 17, berbincang dengan bapanya mengenai komen dalam video Tik Tok yang dihasilkan di Kuala Selangor, Malaysia, 8 Mei 2021.
[Hadi Azmi/BenarNews]

Seorang remaja perempuan Malaysia berusia 17 tahun, yang mendakwa diugut kerana melaporkan perbuatan seorang guru yang mempersenda isu rogol, telah menerima amaran daripada pihak sekolah bahawa dia akan dibuang jika ibu bapanya gagal memberikan penjelasan yang munasabah mengenai ketidakhadiran beliau.

Ain Husniza Saiful Nizam berkata ibu bapanya telah menerima surat amaran itu - yang dilihat oleh BenarNews - pada hari sama bapanya bertemu dengan pengetua sekolah tersebut dan meluahkan kebimbangan beliau mengenai keselamatan anak perempuannya.

"Saya belum dibuang sekolah tetapi diancam dengan tindakan itu menerusi surat amaran pertama," kata pelajar itu dalam catatannya di Twitter.

"Saya tidak ke sekolah kerana saya berasa tidak lagi selamat," kata Ain Husniza kepada BenarNews.

Ain Husniza menerima sokongan daripada ramai pelajar, ibu bapa dan kumpulan hak asasi selepas mendedahkan perkara itu di dalam video Tik Tok pada 23 hingga 24 April dengan menyatakan bahawa gurunya telah mempersenda isu rogol. Video itu telah mencetuskan perdebatan di seluruh negara mengenai pendidikan seks dan misogini keinstitusian.

Malah katanya dia turut menerima banyak ancaman kerana membuat laporan polis mengenai perbuatan guru itu. Seorang pelajar lelaki mengancam untuk memperkosa Ain Husniza manakala rakan sekolah yang lain mula meminggirkannya.

Saiful Nizam pula berkata beliau mengadakan pertemuan dengan pengetua sekolah itu, Sarimah Mohammed Nor, pada 28 April.

"Tiada pula dibangkitkan tentang dia (Ain Husniza) tidak hadir ke sekolah pada pertemuan itu. Oleh itu, kami terkejut apabila menerima surat amaran tersebut pada hari yang sama," katanya kepada BenarNews.

BenarNews menghubungi sekolah berkenaan beberapa kali untuk bercakap dengan pengetua namun panggilan tersebut tidak berjawab.

Siasatan polis selesai

Sementara itu, Ain Husniza berkata tidak ada pegawai Kementerian Pendidikan yang menghubunginya walaupun pada 28 April lalu, Menteri Pendidikan secara umum menyatakan bahawa "kami sedang melakukan siasatan menyeluruh."

BenarNews berulang kali menghubungi Kementerian Pendidikan dan Menteri berkenaan iaitu Radzi Jidin melalui panggilan telefon, pesanan teks dan e-mel namun tidak dibalas.

Bagaimanapun, polis memaklumkan BenarNews bahawa mereka telah menyelesaikan siasatan mengenai laporan Ain Husniza berhubung guru berkenaan dan pelajar yang mengancam untuk memperkosanya. Kertas siasatan berhubung kedua-dua laporan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Polis enggan menyatakan bila kertas siasatan itu diserahkan.

Ain Husniza berkata dia tidak menyangka perkara ini akan berlaku semasa menghasilkan video Tik Tok tersebut.

"Saya hanyalah seorang remaja biasa, saya melayari media sosial dan berkongsi dengan umum tentang perkara itu dan ini, seperti hari ini, guru ini berkata sebegini, guru itu berkata sebegitu," katanya kepada BenarNews.

"Tetapi kali ini, ia meledak kerana ia sudah menjadi terlalu lazim namun tidak ada yang tampil bercakap tentang hal itu dan ramai yang marah."

Dalam video itu, Ain Husniza memetik gurunya sebagai berkata: "Nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18 tahun, rogol yang atas 18 tahun."

Guru lelaki itu membuat komen tersebut dalam kelas Pendidikan Jasmani semasa membincangkan undang-undang yang melindungi kanak-kanak di bawah umur daripada gangguan seksual, kata Ain Husniza.

Menurutnya, kejadian itu telah mengganggu pelajarannya dan dia  sedang mempertimbang untuk menukar sekolah setelah menerima ancaman itu selain tindakan rakan sekelas meminggirkannya. Namun perkara tersebut tidak akan menghalang usahanya, kata remaja itu.

Ain Husniza ingin menjadi seorang artis dan pada masa sama, menganggap dirinya seorang aktivis. Dia mahu terus memperjuangkan matlamat menjadikan sekolah di Malaysia selamat.

"Saya akan terus berjuang untuk tujuan ini, kerana pendidikan amat penting. Sekiranya kita dapat memperbaiki sistem pendidikan, hal-hal seperti rasisme, seksisme, rogol dan semua jenayah yang berlaku itu boleh diatasi," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh