Gurauan Lucah: Remaja Akan Fail Saman Balas Terhadap Guru
2021.12.02
Kuala Lumpur

Seorang remaja perempuan yang disaman oleh gurunya baru-baru ini akan memfailkan saman balas atas dakwaan pengajar itu telah membuat gurauan mengenai isu rogol.
Saiful Nizam Ab Samad, bapa pelajar berusia 17 tahun, Ain Husniza, berkata peguam mereka sedang menyiapkan dokumen mengenai perkara itu dan dijangka difailkan dalam masa terdekat.
"Benar, saya sudah mengarahkan peguam untuk failkan saman balas terhadap individu tersebut serta beberapa pihak lagi seperti Pengetua, Pengarah Pendidikan Negeri Selangor dan Menteri Pendidikan.
"Saya akan memastikan bahawa kes ini menjadi pengajaran buat semua yang terlibat terutama pihak yang sepatutnya menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar agar ia tidak berulang," katanya ketika dihubungi BenarNews pada Khamis.
Menurut Saiful Nizam, tindakan itu diambil kerana guru terbabit didakwa telah dengan sengaja menyebabkan tekanan emosi kepada Ain Husniza.
Beliau berkata emosi anaknya telah terganggu selepas menerima saman guru itu minggu ini.
"Memang ia menjejaskan emosi dan pembelajaran Ain Husniza. Kesihatannya pun terganggu. Memang ada tanda-tanda trauma sejak insiden yang berlaku pada April lepas tetapi bila dapat writ saman, kesan trauma dan emosi (Ain Husniza) semakin terganggu hingga saya perlu mendapatkan sesi kaunseling dan sebagainya.
"Saya mendapatkan bantuan psikologi dan terapi untuk Ain Husniza dalam menangani isu ini," katanya kepada BenarNews.
Khairul Nizam Sanuddin telah memfailkan saman malu terhadap kedua-dua beranak di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 26 Nov lepas yang didakwa memfitnah dirinya.
Beliau menuntut sejumlah wang atas kerosakan terhadap reputasinya serta perintah agar pelajar itu memadam semua bahan di media sosial yang berkaitan dengan kes tersebut, yang didakwa bersifat fitnah dan berniat jahat terhadapnya.
Khairul Nizam mendakwa video itu telah mencalarkan imejnya dan menyebabkan beliau dilihat sebagai seorang guru tidak bermoral serta contoh yang tidak baik kepada pelajar.
Beliau juga menafikan dakwaan telah membuat lawak mengenai rogol di dalam kelas sebaliknya hanya memberikan penerangan kepada pelajar mengenai jenis tindakan yang boleh dikategorikan sebagai rogol, hukuman terhadap perogol dan bagaimana pelajar boleh mempertahan diri mereka daripada menjadi mangsa.
Pada Ogos lepas, guru itu telah menghantar notis kepada Ain Husniza, atau nama penuhnya Nurain Husniza, menuntut RM1 juta (AS$237,000).
Keluarga Ain Husniza bagaimanapun telah mengarahkan peguam mereka memfailkan saman balas menuntut RM5 juta (AS$1.18 juta).
Teguh dengan dakwaan
Menurut Saiful Nizam, walaupun menghadapi tekanan perasaan, Ain Husniza masih tidak berganjak daripada dakwaan yang dibuatnya terhadap guru itu.
"Ain tetap berdiri teguh dengan dakwaan tersebut. Tiada yang berubah," katanya kepada BenarNews.
Beliau menegaskan bahawa mereka tidak pernah menamakan guru terbabit secara terbuka sebelum ini dan oleh itu, mereka tidak melihat sebarang keperluan untuk memenuhi tuntutan Khairul Nizam melainkan jika diarah oleh mahkamah.
Saiful Nizam berkata anaknya juga telah berpindah ke sekolah lain iaitu Sekolah Cempaka di Cheras pada Mei lepas.
"Pengasas sekolah tersebut iaitu Freida Pilus telah dengan baik hati menawarkan biasiswa untuk Ain.
"Guru-Guru dan rakan sekolahnya juga menyokong penuh usaha beliau untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat," katanya.
Usaha menghubungi Khairul Nizam melalui pejabat peguamnya iaitu Tetuan Rasshidi Ema & Yung bagaimanapun tidak berjaya.
Gurauan berunsur lucah
Pada 24 April lepas, Ain Husniza menjadi perhatian masyarakat antarabangsa selepas beliau memuat naik sebuah video di laman TikTok yang mendakwa seorang guru lelaki telah membuat gurauan berunsur lucah ketika sesi kelas pendidikan jasmani.
Dalam video itu, Ain Husniza berkata guru tersebut telah mengeluarkan kata-kata “nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18, rogol yang atas 18.”
Menurut Ain, guru lelaki itu mengeluarkan kata-kata tersebut ketika membincangkan isu undang-undang yang melindungi remaja bawah umur daripada gangguan seksual.
Video itu kemudian tular dan mencetuskan perdebatan mengenai isu pendidikan seks dan sikap prejudis terhadap wanita yang menyaksikan ramai remaja perempuan tampil menceritakan pengalaman mereka berdepan insiden serupa.
Ain Husniza berkata ramai remaja perempuan menghubunginya untuk berbual mengenai perkara itu dan memberitahu bahawa mereka takut dipinggirkan oleh rakan sekolah jika membuat aduan. Ada juga yang telah melaporkan insiden berunsur seksis itu namun tidak ada tindakan yang diambil, katanya.
Pelajar itu kemudian mula dipinggirkan oleh rakan sekolahnya selepas beliau membuat laporan polis mengenai guru tersebut manakala seorang pelajar turut mengugut untuk merogolnya. Ain Husniza turut membuat laporan polis mengenai ugutan itu.
Susulan pendedahan itu, guru terbabit telah diarahkan bertukar ke pejabat pendidikan negeri sementara kes terhadapnya disiasat, menurut laporan media tempatan.
Guru buat laporan polis
Selain menyerahkan notis tuntutan kepada Ain Husniza dan bapanya, guru itu telah membuat laporan polis terhadap mereka pada Ogos lepas.
Polis kemudian memanggil Ain Husniza dan bapanya untuk merakam keterangan mereka.
Sebelum ini, pelajar itu telah membuat laporan polis terhadap guru terbabit namun tidak pernah mendedahkan namanya kepada umum.
Menurut laporan media, Timbalan Pendakwa Raya telah memutuskan bahawa kes itu diklasifikasi sebagai 'NFA' atau tiada tindakan lanjut.
Kes itu telah menarik perhatian dan sokongan banyak pihak termasuk aktivis hak asasi manusia serta Ahli Parlimen pembangkang antaranya Ahli Parlimen Petaling Jaya iaitu Maria Chin yang menawarkan sokongan kepada keluarga tersebut.
Maria sebelum ini memberitahu BenarNews "perkara ini sepatutnya diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah, yang sepatutnya mengambil tindakan terhadap guru tersebut."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.