Asean Perlu Beri Tekanan Kepada Myanmar Tangani Krisis Rohingya

Oleh staff Berita Benar
2015.04.22
150422-MY-ROHINGYA620 Pelarian etnik Rohingya memegang sepanduk semasa protes di luar Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur pada 11 Mac 2015
AFP

Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean), yang sehingga kini masih patuh kepada prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggotanya, perlu memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar menangani punca krisis etnik Rohingya.

Itu adalah saranan kumpulan Ahli Parlimen Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (APHR) dalam laporanya yang dikeluarkan pada Rabu, empat hari sebelum berlangsung Sidang Kemuncak Asean ke-26 di Kuala Lumpur dan Langkawi.

“Peningkatan risiko jenayah kekejaman di Myanmar merupakan ancaman secara langsung kepada negara-negara ASEAN, kerana risiko keselamatan dan kekangan ekonomi boleh mengancam kesemua negara anggota ASEAN, serta menjejaskan komitmen untuk melindungi rakyat daripada penindasan dan keganasan” kata Charles Santiago, pengerusi APHR.

“Kita sedang berdiri di atas jurang tragedi besar dan Asean sebagai sebuah kumpulan dan setiap pemimpin negara anggota mempunyai tanggungjawab, dari segi moral dan undang-undang antarabangsa, dalam bertindak untuk mencegah kekejaman dan jenayah kemanusiaan daripada berlaku, " katanya

Keluar laporan dan surat terbuka

Kumpulan parlimen hak asasi manusia itu mengeluarkan satu laporan dan surat terbuka kepada kesemua pemimpin negara anggota Asean di Kuala Lumpur dalam usaha menyelesaikan masalah etnik Rohingya.

Satu misi mencari fakta ke Myanmar oleh APHR telah dibuat pada awal April dengan hasil daripadanya satu laporan bertajuk “Krisis Rohingya dan Risiko Kekejaman di Myanmar: Satu Cabaran Asean serta Tindakan”.

“Delegasi kami telah mengenal pasti beberapa tanda anti-Muslim retorik yang boleh mewujudkan keganasan,” kata Santiago, yang juga seorang ahli parlimen dari Malaysia dalam surat terbuka.

“Pada kesimpulan lain, kerajaan Myanmar telah membenarkan penganiayaan yang sangat bahaya dan sistematik terhadap Rohingya serta minoriti etnik lain, yang telah melanggar secara langsung undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Tanggungjawab Malaysia

Malaysia kini adalah pengerusi Asean dan sidang kemuncak itu akan dihadiri ketua negara negara anggotanya iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kerajaan Malaysia perlu menggunakan pengaruhnya sebagai pengerusi Asean untuk menangani krisis kemanusian etnik Rohingya pada Sidang Kemuncak Asean, kata Santiago, seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Sun.

Malaysia mempunyai tanggungjawab moral dalam membangkitkan isu itu kerana negara berkenaan merupakan salah satu negara yang membawa masuk Myanmar ke dalam Asean.

“Malaysia juga perlu menyediakan kemudahkan kepada kanak-kanak pelarian Rohingya yang berada di negara ini, selaras dengan hak asas seperti kemudahan pendidikan yang sempurna, perawatan kesihatan sebagai contoh kepada negara lain yang turut mempunyai pelarian Rohingya ini,” kata Santiago.

Sementara itu Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mahu peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean, menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan anggota dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di manfaatkan sepenuhnya dengan memberi pengaruh kepada Myanmar agar menghentikan pemusnahan bangsa yang berterusan ke atas kaum minoriti di negara itu.

Siasatan bebas

Beberapa laporan sebelum ini, menyatakan bahawa sebahagian besar 1.1 juta Rohingya dinafikan kerakyatan oleh kerajaan Myanmar, dengan ramai daripada mereka yang tinggal di kem-kem pelarian dan tidak dibenarkan keluar, diberi pendidikan dan pekerjaan.

Satu siri insiden keganasan telah dilaporkan antara etnik Rakhine Buddha dan Rohingya Islam sehingga menyebabkan ramai mati, kejadian itu dikenali sebagai '2012 Rakhine Negeri Rusuhan'.

APHR dalam laporannya itu juga menggesa satu siasatan bebas ke atas krisis etnik Rohingya yang semakin meruncing itu sangat diperlukan.

Kumpulan itu turut mengesa kerajaan Myanmar mematuhi hak asasi serta standard kemanusiaan serantau dan antarabangsa.

PBB sebelum ini telah menggesa Myanmar untuk memberikan rakyat Rohingya akses yang sama dengan kewarganegaraan serta mahu keganasan Buddha terhadap etnik itu dan umat Islam dihentikan.

Menurut laman web Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia, sehingga November tahun lepas, terdapat kira-kira 150,460 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar di Malaysia, dengan etnik Rohingya seramai 40,070 orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.