Dicabul, keluarga dibunuh paksa wanita Myanmar lari ke Bangladesh

Pelarian Rohingya di Bangladesh berkongsi pengalaman ngeri tentang serangan seksual dan ditembak oleh pemberontak serta pasukan junta.
Abdur Rahman dan Mostafa Yousuf
2025.02.10
Cox’s Bazar, Bangladesh dan Dhaka
Dicabul, keluarga dibunuh paksa wanita Myanmar lari ke Bangladesh Salima Khatun, wanita Rohingya yang kehilangan rumahnya akibat serangan dron oleh Arakan Army di negeri Rakhine, Myanmar mencari perlindungan bersama anaknya di kem pelarian Ukhia, Bangladesh, 17 Januari 2025.
[Abdur Rahman/BenarNews]

Seorang wanita Rohingya melalui pengalaman ngeri apabila terpaksa melarikan diri ke kem pelarian di Bangladesh setelah dia dicabul pemberontak Arakan Army (AA) di negeri Rakhine, Myanmar selain tiga ahli keluargannya mati dibunuh dengan kejam.

Wanita yang ditemui BenarNews meminta namanya dirahsiakan atas sebab keselamatan menceritakan selama ini dia sudah lali mendengar letupan bom dan tembakan namun tidak sangka kini dirinya pula menjadi mangsa keganasan.

"Pada suatu pagi Ogos, saya tersentak mendengar pintu diketuk kuat bertalu-talu. Namun sebaik sahaja saya membuka pintu, sekumpulan anggota militan Arakan Army menendang hingga saya tersembam ke tanah lalu mereka meraba dan mencabul di hadapan ahli keluarga sebelum membunuh bapa mentua serta dua ipar lelaki saya dan menyeret mereka keluar dari rumah," katanya kepada BenarNews sambil menambah suaminya berjaya meloloskan diri dalam serangan pada pagi itu.

"Kampung saya sering terperangkap dalam pertempuran antara Arakan Army dan tentera Myanmar tetapi saya tidak pernah menyangka konflik ini akhirnya menerjah masuk ke pintu rumah saya."

Wanita itu merupakan antara sekurang-kurangnya 60,000 etnik Rohingya yang telah melintasi sempadan ke ke tenggara Bangladesh sejak akhir 2023 untuk mencari perlindungan daripada tersepit dalam pertempuran antara pemberontak Arakan Army dan pasukan junta Myanmar.

Insiden pencabulan seksual dan penyeksaan lain terhadap Rohingya didedahkan dalam satu laporan yang diterbitkan minggu ini oleh Burma Task Force, sebuah gabungan 38 organisasi Muslim dari Amerika Syarikat dan Kanada yang diketuai oleh Justice for All.

Laporan itu mendakwa tentera Myanmar dan pemberontak AA telah menyasarkan etnik Rohingya berdasarkan beberapa kes pembunuhan didalangi pemberontak menjadikan golongan tersebut sebagai mangsa sedangkan etnik bukan Rohingya di kampung yang sama tidak diapa-apakan.

Selain itu, AA turut mempergunakan etnik Rohingya sebagai perisai manusia ketika mereka bertempur dengan tentera Myanmar.

"Arakan Army secara khusus menyasarkan gadis-gadis untuk diserang secara seksual. Ada wanita yang mengenali mangsa rogol namun kebanyakan mereka hanya mendengar cerita-cerita tentang kejadian itu," demikian menurut laporan tersebut berdasarkan temu bual di kem-kem pelarian di Bangladesh.

myanmar-2.jpeg
Samira, seorang wanita Rohingya yang kehilangan ahli keluarganya dalam pertempuran antara tentera Myanmar dan Arakan Army di Maungdaw, negeri Rakhine telah menetap di sebuah kem pelarian di tenggara Bangladesh sejak 5 Februari 2025. [Abdur Rahman/BenarNews]

Kisah pelarian

Wanita Rohingya yang ditemui di kem Jadimora di Teknaf, daerah kecil di Cox’s Bazar itu berkongsi pengalamannya terpaksa menempuh perjalanan getir dengan meredah bukit dan hutan selama tiga hari bagi menyelamatkan diri selepas kampungnya diserang.

"Saya pengsan semasa serangan itu. Apabila tersedar, saya melihat kampung saya telah musnah sepenuhnya dan masih terdapat kesan kebakaran di mana-mana," katanya pada hari Rabu.

"Penduduk yang masih hidup dan cedera memulakan perjalanan yang tidak pasti ke sempadan Bangladesh. Mereka membawa saya bersama mereka.

"Saya berjalan selama tiga hari melalui bukit berbatu, tanah berlumpur dan hutan. Sepanjang perjalanan, saya melihat ratusan mayat bergelimpangan dalam hutan dan ada yang terapung di dalam air."

Namun keperitan ditempuhinya sepanjang perjalanan itu terubat apabila dia ditemukan semula dengan suaminya yang lebih awal tiba di kem pelarian di sempadan Bangladesh.

Pemberontak Arakan Army

Seorang lagi wanita Rohingya yang enggan dikenali berkata dia dan keluarganya telah dipaksa keluar dari rumah mereka di Myanmar hingga terpaksa berlindung di dalam sebuah bangunan sekolah.

"Pada suatu hari pada Ogos, tentera Arakan Army datang ke kawasan sekolah, memisahkan gadis-gadis muda dan membawa mereka pergi, meninggalkan keluarga mereka tanpa sebarang maklumat di mana mereka berada," katanya kepada BenarNews.

"Keluarga saya melarikan diri dari sekolah kerana suami saya takut sesuatu yang lebih buruk boleh terjadi kepada saya," katanya sambil menambah bahawa mereka sekeluarga tiba di Kem 26 di Cox’s Bazar tiga bulan lalu.

Wartawan BenarNews berpeluang menemu bual sekumpulan wanita Rohingya yang baru tiba dalam gelombang terbaharu pelarian dari Myanmar yang terpaksa melarikan diri daripada pertempuran antara Arakan Army dan tentera junta.

Tentera Myanmar telah menguasai negara itu sejak melancarkan rampasan kuasa terhadap kerajaan demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi pada Februari 2021.

myanmar-3.jpeg
Pelarian Rohingya beratur untuk mendapatkan bekalan air bersih di kem Cox’s Bazar, Bangladesh, 22 November 2024. [Mohammad Ponir Hossain/Reuters]

Arakan Army, kumpulan pemberontak yang sedang berperang dengan tentera junta, disokong oleh majoriti penduduk Buddha di negeri Rakhine dan dituduh melakukan pelbagai pencabulan hak asasi manusia terhadap penduduk Rohingya.

Aflatun Khatun, seorang wanita Rohingya berusia 60-an yang baru-baru ini berlindung di kem Balupara di Ukhia, menceritakan bagaimana kampungnya musnah akibat serangan dron.

"Ramai penduduk kampung terbunuh dalam serangan pada September lalu. Mereka menggunakan dron untuk menyasarkan kampung-kampung orang Islam.  Serangan itu juga menyebabkan 13 ekor kerbau yang kami ternak mati akibat serangan itu," ceritanya kepada BenarNews. 

Seorang pelarian dikenali sebagai Md Yunus, 40, yang tinggal di Maungdaw, Rakhine sebelum menyeberang ke Bangladesh pada November 2024 berkata anggota AA datang pada awal bulan itu mengancam penduduk kampung keluarga agar keluar dan tidak lagi kembali ke situ.

"Beberapa hari kemudian, mereka datang semula, membakar kampung dan melepaskan tembakan ke atas penduduk yang masih berani tinggal di situ," katanya kepada BenarNews.

"Pada masa itu saya tidak fikir panjang lagi dan terus membawa isteri dan anak-anak keluar dari rumah. Kami sekeluarga terpaksa bersembunyi di dalam hutan selama tiga hari sebelum berjaya menyeberang ke Bangladesh untuk mendapatkan perlindungan."

Kurang makanan, bantuan

Laporan Justice for All menyatakan bahawa penderitaan Rohingya tidak berakhir selepas mereka berjaya menyeberang ke Bangladesh sebaliknya ramai pelarian baharu berada dalam kelaparan kerana mereka tidak mempunyai makanan atau tempat berteduh.

Kini terdapat hampir satu juta Rohingya di kem pelarian di sekitar Cox’s Bazar termasuk 740,000 yang melarikan diri daripada serangan tentera di Rakhine sejak Ogos 2017.

Seorang jurucakap Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata pihaknnya menyediakan penjagaan khas kepada mangsa serangan seksual.

"Di kem pelarian, sokongan perubatan kecemasan termasuk kesihatan mental dan sokongan psikososial disediakan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya, sama ada pelarian baharu atau mereka yang telah lama berdaftar," kata jurucakap itu kepada BenarNews.

myanmar-4.jpeg
Aflatun Khatun melarikan diri bersama suaminya yang lumpuh dan ahli keluarga daripada serangan pemberontak Arakan Army di Myanmar dan mendapatkan perlindungan di kem pelarian Rohingya di Teknaf, Bangladesh, 5 Februari 2025. [Abdur Rahman/BenarNews]

Mohammed Mizanur Rahman, pesuruhjaya Pejabat Bantuan dan Pemulihan Pelarian berkata kerajaan Bangladesh sedang berusaha untuk menentukan jumlah pelarian baharu di kem selain membuat permohonan bantuan untuk mereka.

"Kami telah memberikan data kepada Program Makanan Dunia (WFP) bagi meneruskan program bantuan makanan kepada etnik Rohingya yang baru tiba," katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.