Isteri Bekas Pemimpin Malaysia Mengaku Tidak Bersalah Lakukan Pengubahan Wang Haram
2018.10.04
Kuala Lumpur
Isteri bekas pemimpin Malaysia Najib Razak pada Khamis mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan melakukan penipuan cukai yang dikaitkan dengan skandal rasuah berbilion dolar yang menyebabkan kejatuhan kerajaan terdahulu.
Rosmah Mansor, 66, dan suaminya, Najib, menghadapi siasatan rasuah berkaitan dengan wang berjumlah berbilion dolar, yang menurut pendakwa raya telah diselewengkan daripada dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kertas pertuduhan Rosmah tidak menyatakan tentang 1MDB, tetapi para pegawai anti-rasuah menangkapnya pada Rabu selepas beliau disoal siasat buat kali ketiga di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, di mana beliau bermalam di dalam lokap tahanan.
Para peguam berkata, Rosmah telah disoal siasat berhubung dana itu.
Pendakwa raya SPRM mendakwa bahawa hampir RM7.1 juta (AS$1.7 juta) disalurkan ke akaun bank peribadinya dari 2013 hingga 2017. Mereka juga menuduh beliau terlibat secara langsung dalam urus niaga "yang melibatkan hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang", yang merujuk kepada pengubahan wang haram.
Bagi pertuduhan itu, sekiranya beliau didapati bersalah, Rosmah dijangka menghadapi hukuman penjara antara lima hingga 15 tahun dan boleh didenda.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di mana pertuduhan itu difailkan, membenarkan Rosmah diikat jamin sebanyak RM2 juta ($482,000). Beliau membayar RM500,000 ($120,690) pada Khamis dan diperintahkan membayar bakinya pada 11 Okt.
Mahkamah akan mengumumkan tarikh perbicaraan kes itu kemudian, kata peguam.
Najib, 65, turut dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada Khamis bagi prosiding sebutan semula kes berkaitan 1MDB yang dihadapinya. Beliau menafikan sebarang salah laku.
Najib, yang memuat naik catatan dalam Twitter pada lewat Rabu berikutan penahanan Rosmah, berkata bahawa beliau tidak akan berhenti berdoa dan berserah pada Allah.
Bekas perdana menteri itu menghadapi sejumlah 32 pertuduhan berkaitan dengan siasatan rasuah 1MDB. Sekiranya disabitkan kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara 20 tahun bagi pertuduhan salah guna kuasa dan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi pertuduhan melakukan pengubahan wang haram, kata peguam. Beliau dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3.5 juta (hampir $850,000).
Peguam bela utama Rosmah, Geethan Ram Vincent, memberitahu pemberita bahawa kertas pertuduhan terhadapnya tidak menyebut tentang 1MDB.
"Bagaimanapun, jika pihak pendakwa raya mahu mengaitkannya (dalam perbicaraan nanti), itu terpulang kepada mereka," katanya.
Tenang di mahkamah
Rosmah, yang memakai baju kurung berwarna jingga dan berselendang, tersenyum ketika beliau tiba di mahkamah.
Beliau kelihatan tenang apabila jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan berkenaan dan beliau memberi maklum balas dengan menggeleng atau mengangguk kepalanya.
Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, 93, mengarah siasatan 1MDB dijalankan selepas beliau mengetuai pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu. Beliau juga melarang Najib dan Rosmah daripada meninggalkan negara.
Rosmah, dengan gaya hidup mewah dan beratus beg tangan jenama Hermes Birkin dan jenama lain telah menjadi bahan kritikan ramai dan dibandingkan dengan bekas wanita pertama Filipina, Imelda Marcos, yang meninggalkan beribu pasang kasut jenama ketika beliau melarikan diri dari istana presiden dengan suaminya pada 1986.
Pertuduhan terhadap Rosmah difailkan lebih empat bulan selepas polis Malaysia menggeledah bekas pejabat dan kediaman yang dikaitkan dengan Najib serta merampas 567 beg tangan berjenama, beratus-ratus jam tangan buatan Switzerland dan berpuluh-puluh bagasi berisi wang tunai serta 12,000 bentuk barang kemas. Pihak berkuasa berkata, wang tunai yang dirampas berjumlah RM114 juta ($ 28.75 juta) manakala barangan yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM1.1 bilion ($273 juta).
Pada Ogos 2017, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia sedang mengambil tindakan jenayah terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan wang daripada 1MDB, yang diasaskan Najib pada 2009 bagi mendapatkan projek-projek yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
Mahathir Mohamad memberitahu pemberita bahawa penahanan Rosmah dan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dibuat berlandaskan peruntukan undang-undang.
"Tiada sesiapa pun berada di luar kawalan undang-undang...di sini, tiada langsung unsur membalas dendam," katanya pada pagi Khamis. "Undang-undang menyatakan jika seseorang mengambil wang (secara haram) atau mencuri wang, dia akan didakwa di mahkamah."
Najib dan Rosmah, yang tiba di kompleks mahkamah secara berasingan, kemudian beredar meninggalkan bangunan tersebut bersama-sama.