Laporan Ketua Audit: Malaysia rugi AS$3 juta, 93 ventilator tidak boleh digunakan
2023.02.17
Kuala Lumpur
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merisikokan nyawa pesakit selain mengalami kerugian berjuta-juta ringgit ketika pandemik COVID-19 selepas separuh daripada 130 unit ventilator yang dibeli tidak boleh digunakan.
Kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM13.07 juta (AS$3.09 juta) apabila tidak dapat menukar atau memulangkan 93 daripada 108 unit ventilator yang didapati tidak sesuai dan tidak selamat digunakan. Ini kerana perolehan mesin terbabit di antara tahun 2020 dan April 2021 melalui Pharmaniaga Logistics tidak memiliki dokumen perjanjian, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara.
Laporan itu menyebut maklum balas KKM menyatakan bahawa ventilator tersebut dipesan melalui protokol kecemasan yang membolehkan pembelian dibuat tanpa sebarang perjanjian.
“Susulan daripada itu, KKM telah memulangkan 15 daripada mesin berkenaan kepada pengilangnya tetapi KKM tidak dapat menuntut ganti rugi untuk 93 unit lagi kerana tiada sebarang dokumen pelantikan perolehan ventilator antara syarikat tersebut dengan KKM. Ia menyebabkan kerugian berjumlah RM13.07 juta.
“Tiada sebarang dokumen berkaitan urus niaga perolehan ventilator dikemukakan kepada pihak Audit. Pihak Audit juga tidak dapat mengesahkan peranan dan tanggungjawab syarikat 260790-T sebagai pihak yang menguruskan perolehan ventilator dan berurusan dengan pengeluar. Ini kerana tiada sebarang dokumen pelantikan syarikat 260790-T oleh KKM,” menurut laporan itu.
Susulan laporan itu, wakil KKM yang ditemu bual berkata proses perolehan ventilator tersebut telah dibuat “berdasarkan tanggungjawab sosial korporat syarikat.”
Semakan oleh BenarNews mendapati nombor lesen syarikat yang disebut dalam laporan itu dimiliki oleh Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Berhad iaitu sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia. Ia juga syarikat Malaysia pertama yang menjalankan pengilangan secara ‘fill and finish’ untuk vaksin Sinovac dari China.
Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia turut bergelut dengan masalah kekurangan ventilator dan katil hospital pada 2021 yang menyaksikan jangkitan COVID-19 meningkat hingga 3,000 kes sehari. Situasi itu meruncing sehingga doktor terpaksa memilih pesakit yang layak mendapat katil dan menerima kemudahan ventilator di hospital.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Mac 2020 telah bersetuju untuk Pharmaniaga Logistics membekalkan 500 unit ventilator baharu dari luar negara bagi mengatasi masalah kekurangan peralatan itu.
Kementerian Kewangan telah meluluskan perolehan secara darurat untuk mesin terbabit yang membolehkan KKM membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM30 juta (AS$6.7 juta) kepada Pharmaniaga Logistics bagi 500 unit ventilator yang dijangka menelan belanja keseluruhan sebanyak RM50 juta (AS$11.2 juta).
Bagaimanapun, Pharmaniaga Logistics hanya mampu membekalkan sejumlah 136 unit ventilator kepada fasiliti kesihatan di seluruh negara yang dilakukan secara berperingkat di antara 1 April dan 19 Mei 2020 dengan kos keseluruhan RM24.7 juta (AS$5.5 juta).
Menerusi maklum balas kepada Jabatan Audit Negara, KKM pada 7 Okt 2022 memaklumkan tiada perjanjian ditandatangani oleh kementerian itu dengan Pharmaniaga Logistics kerana mesin itu dipesan mengikut protokol kecemasan yang membenarkan perolehan dibuat tanpa sebarang perjanjian.
“Baki 93 unit yang tidak boleh digunakan selepas kerja naik taraf telah dicadangkan untuk dilupuskan kepada Pusat Latihan Teknikal bagi tujuan kemahiran dan latihan.
“KKM juga telah bersetuju dengan tawaran pihak syarikat 260790-T untuk menerima penggantian sebanyak 18 unit berdasarkan kos penyenggaraan 93 unit ventilator yang dilupuskan,” kata KKM seperti dipetik dalam laporan itu.
BenarNews menghubungi Pharmaniaga Logistics namun belum menerima sebarang maklum balas.
Seorang Ahli Parlimen Kelvin Yii telah menyelar Pharmaniaga Logistics berikutan kegagalan ventilator yang dipesan.
“Peralatan yang menyelamatkan nyawa pesakit tersebut amat penting khususnya semasa mendepani wabak COVID-19. Kecuaian tersebut bukan sahaja suatu pembaziran malah mempertaruhkan nyawa pesakit yang mungkin boleh menyebabkan kehilangan nyawa,” kata pemimpin DAP itu dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata mereka yang terbabit perlu bertanggungjawab dan perkara itu tidak boleh diambil ringan.
Perolehan ventilator itu dibuat ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan anggota pentadbiran beliau kini menjadi sasaran dakwaan menyeleweng dana negara ketika menguruskan pandemik.
Muhyiddin, yang memegang jawatan Perdana Menteri selama 17 bulan, telah menafikan dakwaan salah laku itu ketika kempen Pilihan Raya Umum November tahun lepas dan berkata semua perbelanjaan berkaitan COVID-19 dilaksanakan mengikut prosedur.
“Jika dibuktikan terdapat elemen kecuaian, tindakan harus diambil ke atas mana-mana individu yang terlibat. Kecuaian di dalam perkara ini telah menjejaskan kualiti dan kredibiliti penjagaan pesakit khususnya semasa pandemik COVID-19,” kata Yii.
Laporan itu turut mendedahkan Malaysia mempunyai bekalan vaksin COVID-19 yang berlebihan sebanyak 11.59 juta dos dengan 1.1 juta daripadanya telah melepasi tarikh luput.
Sehingga April 2022, KKM membelanjakan sejumlah RM4.462 bilion (AS$1.006 bilion) untuk mendapatkan 75.88 dos vaksin yang terdiri daripada Comirnaty, AstraZeneca, CoronaVac dan Convidecia.
“KKM mempunyai lebihan peralatan perlindungan diri yang signifikan, yang telah menyebabkan isu penyimpanan, dan vaksin tidak boleh digunakan selepas tarikh luput.
“Vaksin yang telah sampai tarikh luput telah menyebabkan kerugian dan terpaksa dilupuskan,” menurut laporan itu.
Ambil kesempatan
Berita kerugian berjuta-juta ringgit akibat kegagalan ventilator itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi bekas ketua jabatan bius di Hospital Langkawi iaitu Ahmad Fadhzil Mohamad.
Beliau mendakwa kejadian seumpama itu memang dijangka berlaku kerana banyak pihak yang mengambil kesempatan membuat untung lebih dengan apa jua cara, termasuk sektor perubatan ketika pandemik.
“Untuk membeli ventilator yang berharga antara RM150,000 (AS$33,844) hingga RM200,000 (AS$45,126) seunit bukanlah satu proses yang mudah apatah lagi membeli secara pukal. Sebab itu pemilihan pembekal yang sah amat penting.
“Kita hanya mempunyai ventilator daripada beberapa jenama dan pada masa yang sama, kita juga kekurangan bekalan serta berada dalam keadaan terdesak ketika itu disebabkan peningkatan bilangan pesakit COVID-19.
“Disebabkan itu, kementerian mungkin berada dalam keadaan tergesa-gesa untuk memilih pembekal yang menyebabkan mereka berada dalam situasi kurang baik,” katanya kepada BenarNews.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.