Malaysia Lanjut Perintah Berkurung di Zon Selamat Timur Sabah

Oleh staff Berita Benar
2015.04.14
150414-MY-sabah620 Anggota polis bersenjata Malaysia sekembali daripada melakukan kawalan keselamatan di perairan Tanjung Labian berhampiran Lahat Datu di Kepulauan Borneo, Malaysia pada 3 Mac 2013.
AFP

Perintah berkurung telah dikuatkuasakan mulai jam 7 malam hingga 5 pagi itu, membabitkan jarak tiga batu nautika dari pantai hingga ke titik garisan ditetapkan yang meliputi 1,400 kilometer di pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Jalaluddin Abdul Rahman, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor iaitu bagi menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan, pelancong dan rakyat Sabah di zon itu.

Fasa pertama dikuatkuasakan sejak 19 Julai tahun lepas cegah kejadian penculikan

Fasa pertama perintah berkurung di zon itu, telah dikuatkuasakan sejak 19 Julai tahun lepas, berikutan beberapa kejadian penculikan di pelbagai lokasi di timur Sabah, dengan mangsanya terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong asing.

"Selain itu ia juga bagi memudahkan penguatkuasaan, memantau segala pergerakan bot yang cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan, menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api. Langkah ini mendapat sokongan pengusaha pelancongan dan aktiviti perikanan dalam menjamin keselamatan perairan termasuk pulau di persempadanan," kata Jalaluddin  kepada pemberita pada Selasa.

Jalaluddin berkata, kuasa telah diberikan kepada semua ketua polis daerah di zon itu, untuk mengeluarkan permit kepada pemohon bagi tujuan perikanan atau aktiviti laluan yang mendesak.

Perintah berkurung itu akan dilanjutkan setiap dua minggu, walaupun pihak berkuasa berkata mereka tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menjadikannya kekal.

Penubuhan zon itu bertujuan menyelaraskan peningkatkan kawalan keselamatan di Sabah serta memastikan insiden pencerobohan tidak berulang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.