Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Malaysia Tidak Sekata Dalam Isu Lambang Salib

Oleh Hata Wahari
2015.04.20
150420salib620 Sukarelawan Muslim Malaysia mengawal di hadapan Gereja St. James pada tengah malam, bagi mengelakkan berlakunya serangan ke atas gereja itu yang terletak Kuala Lumpur pada 12 Januari 2010.
AFP

Menteri Dalam Negeri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar memberi kenyataan bercanggah samada tindakan perlu diambil terhadap sekumpulan penunjuk perasaan, yang mahu lambang salib yang dipasang di sebuah gereja, diturunkan.

Ahmad Zahid berkata penunjuk perasaan di hadapan gereja di Taman Medan Petaling Jaya, yang terletak kira-kira tujuh batu dari Kuala Lumpur pada Ahad lalu, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan, yang memberi kuasa lebih besar kepada pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas kebebasan bersuara.

Manakala Ketua Polis Negara Khalid berkata tiada elemen hasutan semasa tunjuk perasaan itu, kerana mereka tidak melakukan apa-apa jenayah, dan hanya tidak berpuas hati dengan gereja yang beroperasi di kawasan mereka.

Kira-kira 50 penduduk dari sekitar Taman Medan, berkumpul di luar gereja, yang terletak di sebuah rumah kedai itu, menuntut lambang salib yang dipasang di rumah ibadat itu dibuang, pada Ahad lalu.

Seorang daripada pemimpin yang hadir pada tunjuk perasaan itu ialah Abdullah Abu Bakar, seorang ketua cawangan Umno Taman Lindungan Jaya. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) merupakan parti tulang belakang dan parti terbesar di Malaysia, yang juga abang kepada Khalid.

Penunjuk perasaan dilaporkan berkata kewujudan salib di kawasan majoriti orang Melayu itu merupakan satu cabaran kepada agama Islam dan boleh menjejaskan akidah anak muda.

Pihak gereja yang tidak mahu sebarang kejadian tidak diingin berlaku menurunkan lambang salib beberapa jam selepas protes itu.

Ahmad Zahid menegaskan, tunjuk perasaan itu, sudah tentu satu perbuatan menghasut dan tindakan harus diambil terhadap mereka.

“Sudah tentu, ya, ya, ya,” kata Zahid ketika ditanya pemberita sama ada bantahan penduduk di Taman Medan itu menghasut.

“Saya tidak kira siapa. Polis tidak kira siapa. Tindakan harus diambil terhadap mereka,” tambahnya.

Pada persidangan media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Isnin, Khalid berkata siasatan mendapati beberapa penunjuk perasaan yang membawa sepaduk dan pelekat tidak bertindak ganas atau mempunyai niat jahat terhadap orang Kristian.

"Kami tidak melihatnya sebagai menghasut kerana ia tidak menyentuh mengenai agama Kristian tetapi hanya tentang lokasi gereja dan tiada pencerobohan telah digunakan untuk menurunkan lambang salib itu" katanya.

Khalid turut menjelaskan kehadiran abangnya, seorang pemimpin penduduk di kawasan itu, adalah untuk menenangkan penduduk di situ daripada menjadi lebih agresif.

“Sebagai pemimpin masyarakat di kawasan ini, kehadiran abang saya ada adalah semata-mata untuk memastikan perkara yang tidak diingin berlaku kerana ia adalah tanggungjawab beliau untuk berbuat demikian.

“Tidak kira samada mereka adik-beradik atau anak-anak saya, yang penting saya ingin menyatakan bahawa jika terdapat apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mereka, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan, " katanya

Sementara  itu, The Malaysian Insider melaporkan Abdullah berkata "Kami bukan menentang penganut Kristian. Penduduk berasa cemas melihat salib dan mereka rasa tidak selesa dan sensitif,”

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, ketua pentadbiran negeri di mana gereja itu terletak, semasa diminta mengulas mengenai isu itu, menegaskan adalah sesuatu yang biadap menuntut pihak agama lain menurunkan lambang agama mereka.

"Jangan alihkan lambang salib kerana ia simbol suci kepada penganut Kristian dan tindakan memaksa pemindahan lambang salib dari sebuah gereja di Taman Medan tidak boleh diterima dan menghina penganut Kristian,” tegas beliau.

Manakala bagi Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) Hermen Shastri yang mengutuk protes itu berkata, CCM tidak terkejut bahawa kejadian seperti itu berlaku lagi di Selangor, yang diperintah oleh gabungan pembangkang persekutuan, Pakatan Rakyat.

“Ia adalah jelas bahawa ada agenda politik di sebalik perbuatan itu dari pihak-pihak tertentu, yang berada di luar untuk menghasut dan meningkatkan ketegangan antara agama di negeri ini," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden Badan Peguam Malaysia Steven Thiru berkata, kejadian itu menunjukkan kemerosotan kedaulatan undang-undang dengan kekurangan persefahaman, tiada sikap toleransi, kesederhanaan dan menafikan kebebasan awam.

Bagi Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian protes oleh sekumpulan penduduk Melayu terhadap sebuah gereja di kejiranan Taman Medan, menunjukkan bahawa kesederhanaan dan menghormati agama-agama lain di Malaysia berada di 'ambang kematian' .

"Jika hujah mereka adalah sah, bahawa terdapat 95% daripada penduduk di kawasan itu adalah Muslim, maka bagaimana pula keadaan di mana umat Islam menjadi minoriti penduduk. Tafsiran kebebasan perlembagaan sempit atau miopia harus ditolak, kerana ia boleh menjadikan sekeping kertas perlembagaan tidak bernilai sama sekali. Ia juga berfungsi dalam mempolarisasikan dan mengasingkan rakyat,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.