Terengganu laksana hukuman sebatan di khalayak ramai meskipun terima bantahan
2024.12.27
Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu
Dengan memakai pelitup muka dan tangan disilangkan di atas meja, seorang tukang rumah berumur 42 tahun selesai menjalani hukuman enam sebatan syariah dalam tempoh dua minit di dewan sebuah masjid di negeri pantai timur, Terengganu pada Jumaat, meskipun ia menerima bantahan pelbagai pihak yang menganggap hukuman di khalayak ramai menjatuhkan maruah pesalah.
Tertuduh, Mohd Affendi Awang merupakan pesalah khalwat berulang pertama dikenakan hukuman sebat di khalayak ramai mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) setelah melalui proses pindaan pada 2002.
Dalam prosiding hukuman di Dewan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu tertuduh yang berdiri dengan sedikit membongkok, hanya berdiam diri apabila satu persatu sebatan 'singgah' di belakang badannya sehinggalah selesai hukuman yang dijalankan oleh pegawai sebatan terlatih dari Penjara Marang.
Pelaksanaan hukuman itu disaksikan seramai 90 individu membabitkan pegawai Jabatan Kehakiman Syariah, jabatan agama dan kakitangan masjid serta petugas media terpilih.
BenarNews bagaimanapun, tidak mendapat akses untuk masuk ke dewan tersebut.
Menurut saksi, suasana di dalam dewan tersebut sepi ketika prosedur sebatan dilaksanakan apabila individu yang hadir memerhati dengan teliti proses pelaksanaan hukuman itu yang sebelum ini didakwa sebagai melanggar hak asasi manusia.
Kumpulan peguam sivil mendakwa hukuman sebat di khalayak ramai itu melangkaui had bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti termaktub dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang membenarkan sebatan tetapi ia tidak menetapkan secara jelas peruntukan hukuman secara terbuka selain melanggar prinsip hak asasi manusia antarabangsa.
Bagi kerajaan Terengganu yang dikuasai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) setelah ia menyapu bersih 32 kerusi dalam pilihan raya negeri 2023, hukuman sebat di khalayak itu dapat memberikan pengajaran kepada orang ramai agar tidak mengulangi kesalahan sama selain menunjukkan perbezaan sebatan syariah yang tidak menyakitkan atau mencederakan tubuh berbanding sebatan sivil.
Sebatan tidak mencederakan
Terdahulu, tertuduh yang berpakaian penjara berwarna merah dalam keadaan bergari tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 2.30 petang dengan menaiki van Jabatan Penjara dan diiringi pegawai penjara serta anggota polis masuk ke dalam dewan.
Menurut saksi, tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan selama 20 minit dan mendengar waran hukuman dibacakan kepadanya sebelum hukuman sebat dilaksanakan.
“Mengikut prosedur operasi standard, sebatan tidak dilakukan dengan tangan diangkat. Ia tidak mencederakan dari segi fizikal.”
“Tertuduh hanya berdiam diri ketika sebatan dilakukan. Rotan yang digunakan mempunyai diameter 1.2 inci dan lebih lembut berbanding yang digunakan dalam kes sivil,” katanya.
“Hukuman sebat dilaksanakan oleh pegawai terlatih menggunakan kaedah sederhana yang tidak mencederakan atau menyebabkan lebam pada kulit atau tubuh pesalah,” kata Muhammad Hariz Md Yusoff, timbalan presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) pada sidang media di luar masjid.
Keseluruhan proses hukuman itu tamat sekitar 30 minit apabila tertuduh kemudian diiring keluar dari dewan pada pukul 3 petang dan segera dihantar semula ke Penjara Marang.
Pelaksanaan hukuman sebat itu menarik tumpuan ratusan jemaah daripada pelbagai latar belakang umur yang kekal menunggu selepas solat Jumaat bagi menanti ketibaan tertuduh.
Seramai kira-kira 40 anggota polis turut ditugaskan untuk mengawal keselamatan bagi memastikan kelancaran proses hukuman tersebut.
Mohd Affendi yang juga duda anak lima dijatuhkan hukuman enam sebatan selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan khalwat mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu.
Hakim Kanan Kamalruazmi Ismail menetapkan hukuman sebat itu dijalankan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada 6 Disember sebelum ia ditangguhkan susulan terdapat permohonan semakan.
Mahkamah Rayuan Syariah yang bersidang pada 11 Disember lalu mengekalkan hukuman tersebut dan menetapkan ia dilaksanakan pada 27 Disember di lokasi sama.
Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM4,000 [AS$895] atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda dikenakan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita berusia 52 tahun di sebuah rumah di daerah Kemaman pada pukul 1.40 pagi, 16 Jun lalu.
Tertuduh pernah didenda RM2,700 [AS$604] atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Dia sekali lagi melakukan kesalahan sama pada 25 Januari lalu, sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 [AS$671].
Pelaksanaan hukuman sebat syariah di khalayak umum sebelum ini pernah dilaksanakan di dewan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada Ogos 2018 melibatkan pasangan lesbian masing-masing berusia 32 dan 22 tahun kerana cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan di dalam sebuah kereta di daerah Dungun.
Kedua-duanya dijatuhi hukuman denda RM3,300 [AS$738] dan enam sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah (perlakuan seks wanita sesama wanita).
Selain Terengganu, pelaksanaan sebatan di khalayak ramai menjadi sebahagian daripada amalan undang-undang syariah di Aceh, Indonesia dengan laporan media pada 2020 menyebut seorang lelaki tumbang ketika dihukum sebat sebanyak 100 kali berikutan kesalahan zina.
Pasangan wanitanya turut dikenakan hukuman sebatan 100 kali yang dilaksanakan secara terbuka di sebuah masjid di Aceh Besar.
Menjatuhkan maruah
Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai itu dibantah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menyatakan ia melampaui bidang kuasa undang-undang Persekutuan, khususnya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
“Undang-undang tersebut hanya membenarkan hukuman sebat, bukan sebat di tempat awam,” katanya pada 19 Disember lalu.
Menurut Suhakam, Perkara 125(3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001, yang membenarkan Mahkamah Syariah menentukan tempat pelaksanaan hukuman sebat di hadapan khalayak ramai, tidak diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah.
Justeru itu, kata suruhanjaya itu, pelaksanaan hukuman sebat di hadapan khalayak melampaui atau ultra vires terhadap Akta Mahkamah Syariah.
Presiden Majlis Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab pula menggesa kerajaan Terengganu dan Persekutuan menyemak undang-undang yang membenarkan sebatan di khalayak ramai sebaliknya memastikan hukuman yang bersifat pemulihan dan menghormati maruah.
“Hukuman seperti itu menjatuhkan maruah individu,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan G25 yang melibatkan pesara pegawai tinggi kerajaan turut menggesa hukuman sebat di khalayak ramai dihentikan dan menegaskan bahawa penghinaan awam adalah tidak selari dengan nilai Islam.
“Pesalah khalwat bukanlah penjenayah kerana pelanggaran mereka dalam tingkah laku peribadi tidak mengancam nyawa dan harta benda mahupun keamanan dan keselamatan negara,” kata kumpulan itu.
Beri pengajaran
Sementara itu, Exco Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.
"Pelaksanaan hukuman sebatan takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah. Kerajaan berharap proses pelaksanaanya berjalan lancar," katanya dalam kenyataan pada 16 Disember lalu.
Wan Mohd Yusof Wan Chik, profesor madya Fakulti Pengajian Islam Kontemporari Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu berkata hukuman sebatan di khalayak ramai memang terdapat di dalam al-Quran membabitkan hukuman zina atau persetubuhan di luar pernikahan.
“Kita buat sekadar termampu, asalnya 100 kali sebatan bagi kesalahan zina. Ini khalwat tetapi ia ada elemen (kesalahan syariah) ... Islam tekankan bukan kepada pesalah tetapi kepada pencegahan, isunya kalau undang-undang moden melihat kepada pesalah, impak kepada masyarakat, yang nak buat tak jadi buat (maksiat),” katanya ketika ditemui BenarNews.
Malah Mohd Yusof menyatakan hukuman sebat sivil lebih menyakitkan pesalah berbanding sebatan syariah.
“Sebatan syariah, ayat al-Quran sebut “sebatlah mereka” (pesalah zina), sakitnya sekadar pada kulit, bukan isi. Kalau awak sebat sampai keluar isi awak kena hukum qisas (hukuman balas balik),” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dalam kenyataan pada Jumaat berkata pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai itu tidak melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan sebaliknya sejajar dengan Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.
"Pelaksanaan hukuman sebat yang dilaksanakan di dalam dewan masjid, berpakaian menutup aurat, lebih berperikemanusiaan serta mengikut hukum syarak adalah dengan jelas tidak melanggar mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 5," ujarnya.
PPMM turut menyangkal dakwaan bahawa sebatan syariah adalah kejam atau melanggar prinsip hak asasi manusia sebaliknya ia dilaksanakan dengan penuh adab dan tertib.
“Hukuman ini dilaksanakan tanpa melibatkan elemen penghinaan kepada pesalah, malah dengan penuh tertib dan pengawasan pihak berkuasa,” jelasnya.