Akta Hasutan Malaysia Diperluas Bagi Mengelakkan ‘Masalah dan Huru-hara'


2015.03.12
MY-sedition-620-Mar2015 Peguam-peguam Malaysia berhimpun bagi menunjukkan bantahan terhadap Akta Hasutan di Kuala Lumpur, 16 Oktober 2014.
Photo: Benar

Kerajaan Malaysia akan mencadangkan pindaan kepada Akta Hasutan 1948 semasa sesi persidangan Dewan Rakyat untuk membantu melindungi kesucian agama Islam dan juga agama-agama yang lain, dan bertindak terhadap mereka yang menghasut negeri-negeri Timur Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata pada hari Khamis.

Dalam ucapan bulanan kementeriannya, Zahid, yang juga Naib Presiden parti pemerintah di Malaysia iaitu Umno, memberi amaran bahawa tanpa Akta (Hasutan), "masalah dan huru-hara" boleh terjadi dan negara ini boleh dimusnahkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan berani menghina agama Islam, lapor The Malay Mail.

"Selagi saya selaku Menteri Dalam Negeri, saya akan memastikan pindaan undang-undang ini, Akta Hasutan, akan mempertahankan kedudukan agama Islam, raja dan pemerintah, dan orang Melayu di bawah tanggungjawab saya," kata beliau.

Merujuk kepada kontroversi baru-baru ini tentang program pengambilan anjing terbiar di negeri Pulau Pinang, terdapat satu gambar yang menunjukkan seorang wanita Islam memegang seekor anak anjing, Zahid berkata kejadian seperti itu tidak akan berlaku sebelum penyebaran liberalisme, yang kini telah mencapai satu tahap "keterlaluan".

Ahli parlimen pembangkang, aktivis sosial dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan telah berulang kali menyeru pemansuhan Akta tersebut, dengan alasan bahawa akta itu telah digunakan untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyekat perbezaan pendapat.

Beberapa individu, termasuk seorang profesor perundangan Universiti Malaya, telah didakwa di mahkamah kerana melakukan pelbagai 'kesalahan' di bawah peruntukan Akta semasa.

Usaha untuk dapatkan perubahan tidak berjaya

Dalam usaha beliau untuk  mendapatkan pembaharuan dan perubahan, Perdana Menteri Najib Razak telah berikrar dari dulu lagi iaitu pada bulan Jun 2012 untuk memansuhkan Akta Hasutan, yang pada asalnya diperkenalkan oleh British pada tahun 1948 untuk menangani pemberontak komunis tempatan.

Beliau mencadangkan agar Akta tersebut digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, peruntukan yang akan diteliti oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional.

Walau bagaimanapun, beliau menghadapi tentangan dan perbezaan pendapat daripada ahli-ahli parti beliau sendiri dan juga pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang tegar.

Malah, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, berkata pemansuhan Akta itu secara keseluruhannya merupakan satu kesilapan.

Pemansuhan Akta itu akan membuka jalan kepada rakyat Malaysia untuk menghina dan mempertikaikan kedudukan orang Melayu, raja dan pemerintah, agama Islam dan bahasa Melayu, Malaysian Insider memetik Hamid sebagai berkata.

Hamid, bagaimana pun, juga menyatakan bahawa satu klausa dalam Akta Hasutan, yang menyatakan rakyat Malaysia melakukan kesalahan jika " membawa kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak puas hati" terhadap kerajaan, adalah tidak demokratik.

"Jika kerajaan mahu membuat pindaan yang mungkin boleh mendapat sokongan orang lain, kerajaan harus mengambil kira tahap kesalahan hasutan terhadap kerajaan. Pada masa ini, melakukan hasutan terhadap kerajaan adalah salah. Tetapi ini tidak selari dengan demokrasi," kata beliau.

Akhirnya, dalam Perhimpunan Agung Umno pada bulan November 2014, Najib mengumumkan bahawa Akta itu akan dikekalkan dan diperkukuhkan dengan dua peruntukan tambahan: melarang penghinaan terhadap semua agama dan melarang ceramah tentang Sabah dan Sarawak berpisah dari Malaysia, The Malay Mail melaporkan.

Akta Hasutan telah dipinda lima kali iaitu kali terakhir pada tahun 1975.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada media tempatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.