Polis Malaysia Lumpuh Tujuh Sindiket Pemerdagangan Manusia dan Tahan 38 individu

Oleh Nani Yusof & Hata Wahari
2015.05.13
150513-TH-BILATERAL-POLICE-MY-620 Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Somyot Poompanmoung pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah ke-23 di Phuket, Thailand pada 13 Mei 2015.
Berita Benar

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan 38 orang, termasuk dua anggota polis yang dipercayai terlibat  dengan sindiket penyeludupan manusia di utara Malaysia dan selatan Thailand.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya  melumpuhkan tujuh sindiket pemerdagangan manusia, di mana 38 individu berjaya ditahan antara Mac dan April tahun ini.

“Suspek yang ditahan itu terdiri dari 21 warga Myanmar, 16 rakyat Malaysia dan seorang warga Indonesia yang merupakan ejen, ketua sindiket, mereka yang mengangkut pendatang asing tanpa izin, “ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Antara 16 rakyat Malaysia yang ditahan itu ialah dua anggota polis.

Khalid dan Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Somyot Poompanmoung sedang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah ke-23 di Phuket, Thailand. Mesyuarat empat hari itu berakhir esok.

Mesyuarat tahunan itu bertujuan meningkatkan kerjasama dan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand, khususnya aspek pengutkuasaan dan pencegahan dalam memerangi jenayah merentasi sempadan secara berkesan.

Khalid juga menegaskan bahawa kerjasama erat dan perkongsian maklumat antara PDRM dan Polis Diraja Thailand untuk mengurus dan memantau isu-isu keselamatan di sempadan bersama, telah membuahkan hasil.

Kedua-dua pasukan polis telah menjalin kerjasama yang amat baik untuk mengekalkan dan meningkatkan keselamatan di sempadan bersama ini, katanya.

Khalid berkata kebanyakkan mangsa sindiket adalah warga Myanmar dan Bangladesh, yang hanya beroperasi di utara Malaysia dan selatan Thailand.

Palsu dokumen UNHCR

“Sindiket ini juga dipercayai terlibat dalam pemalsuan dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.

"Mereka ditahan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, kata Khalid.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak melebihi satu juta atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika didapati bersalah

Pada Isnin lepas, pihak berkuasa Malaysia menahan hampir 2,000 pendatang tanpa izin dari Myanmar dan Bangladesh, di pulau Langkawi, iaitu sebuah pulau peranginan di pantai barat laut negara itu, sehari selepas nelayan di wilayah Aceh, Indonesia menyelamatkan 573 orang yang lain.

Mereka yang ditahan itu terdiri daripada 555 warga Bangladesh dan 463 rakyat Myanmar, dan beribu-ribu lagi mungkin berada di lautan selepas Thailand melancarkan tindakan tegas terhadap pemerdagangan manusia.

Hantar ke Depot Imigresen di Sik

Sementara itu, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan kesemua pendatang yang ditahan di pulau peranginan itu, telah mula dipindahkan secara berperingkat ke Depot Imigresen Belantik, di Sik, iaitu kira-kira 45 batu (72km) dari ibu negeri Kedah, Alor Star.

Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata lebih daripada 300 pendatang asing itu, dipindahkan dari pulau Langkawi ke Jeti Kuala Kedah menggunakan bot, sebelum meneruskan perjalanan mereka menggunakan trak ke Belantik lewat petang Selasa.

Sebelum ini, kesemua mereka yang ditahan itu telah tempatkan sementara di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi sebelum di bawa ke depot imigresen itu, katanya.

Menurut Mohamad Yusri, tiga bot dikesan mendaratkan pendatang asing di perairan pulau Langkawi itu, tetapi hanya sebuah daripada bot itu ditahan manakala dua lagi berjaya meloloskan diri.

Manakala agensi berita Associated Press (AP) melaporkan, sebuah bot yang penuh dengan 500 pendatang dari Myanmar dan Bangladesh dipercayai kini berada di luar perairan sekitar Pulau Pinang, Malaysia, pada Rabu.

Bot tunggu masa untuk berlabuh

Bot itu dipercayai sedang menunggu masa untuk menghampiri pantai, seperti kata kumpulan hak asasi manusia.

“Ia tidak jelas samada mereka sudah berlabuh, atau tidak di pantai Pulau Pinang, akan turut diberi perlindungan,” kata Zafar Ahmad, seorang aktivis hak asasi manusia bagi warga Rohingya di Malaysia.

Ketua Penguatkuasa Wilayah Utara Agensi Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Tan Kok Kwee seperti yang dilaporkan oleh AP pada Selasa berkata, Malaysia menolak kehadiran bot-bot asing yang membawa pendatang dari Myanmar dan Bangladesh memasuki perairan negara itu.

"Kami tidak akan membiarkan mana-mana bot asing memasuki perairan Malaysia, jika bot mereka tenggelam, agensi itu bersedia menyelamat mereka, tetapi jika didapati bot mereka layak untuk belayar, pasukan penguatkuasa itu akan membantu menyediakan keperluan supaya dapat pulang semua ke negara mereka." kata Tan

Sementara itu masyarakat antarabangsa menggesa kerajaan negara-negara di Asia Tenggara supaya membuka sempadan mereka dan meningkatkan usaha mencari serta menyelamat kerana dipercayai beribu-ribu pendatang sedang terkandas di laut tanpa sebarang makanan dan minuman yang mencukupi.

Pasukan Polis Marin Wilayah Utara Malaysia, APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia telah dikerah beroperasi siang dan malam membuat rondaan dan kawalan dari utara perairan Langkawi sehingga perairan Pulau Pinang, seperti laporan Bernama.

Akhbar The Star pula melaporkan Malaysia telah dipaksa menerima desakan lebihan kebanjiran pendatang tanpa izin secara tiba-tiba, situasi yang tidak dihadapi  Malaysia dalam masa yang lama.

Beberapa ketua jabatan dan agensi kerajaan negara itu, telah berkumpul dalam satu mesyuarat tergempar pada Rabu, membincangkan bagaimana untuk menguruskan hampir 2,000 pendatang yang ditemui dan ditahan di pantai Langkawi serta beberapa kawasan di utara negara itu, yang bersempadan dengan Thailand.

Pegawai kanan, juga telah membuat perancangan untuk menghadapi senario lebih buruk berkaitan kemasukan pendatang ke negara itu – ada laporan mengatakan bahawa 8,000 pendatang masih di dalam bot dan menunggu untuk mendarat di Malaysia dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata laporan akhbar itu.

Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Malaysia Alwi Ibrahim berkata, mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Adenan Ab Rahman dihadiri oleh wakil daripada polis, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh terus menjadi tuan rumah kepada beribu-ribu pendatang tanpa izin.

“Malaysia telah menunjukkan kejujuran kemanusiaan yang baik, sehingga menyebabkan ramai yang tergoda untuk datang ke sini," kata Wan Junaidi seperti yang dilaporkan akhbar berbahasa Inggeris itu.

Lawyers For Liberty (LFL), sebuah badan bukan kerajaan, melahirkan rasa terperanjat dengan kenyataan APMM yang ‘menghalau’ -bot yang membawa pelarian dari mendarat di Malaysia.

“Menghalau atau menolak bot-bot ini adalah seperti menandatangani surat mati terhadap pelarian yang kesemuanya kelaparan, kekurangan air, sakit dan memerlukan bantuan segera.

“Walaupun Malaysia bukan salah sebuah negara yang menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkaitan pelarian, negara itu masih terikat dengan konvensyen lain untuk melindungi hak wanita dan kanak-kanak,” kata Pengarah LFL, Eric Paulsen dalam satu kenyataan pada Rabu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.