Singapura Tahan Dua Remaja Dibawah ISA

Oleh Nani Yusof
2015.05.27
150527-MY-SIN-IS620 Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) ditahan dalam satu operasi polis anti-jihad. 8 April 2015
AFP

Dua orang remaja Singapura ditahan pihak berkuasa dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan militan dan mempunyai tahap radikal yang esktrim.

Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu berkata, pelajar pos-menengah M Arifil Azim Putra Norja'i, 19 tahun, ditahan April lepas.

Baru-baru ini seorang lagi remaja berusia 17 tahun yang namanya tidak didedahkan ditahan mengikut akta itu.

Kedua-dua mereka ditahan mengikut ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara, menurut kenyataan itu.

Kenyataan kementerian itu turut menyebut bahawa M Arifil, bercadang menyertai kumpulan militan negara Islam (IS) di Iraq dan Syria selepas melihat propaganda kumpulan itu di laman web.

Remaja itu turut menyokong taktik ganas kumpulan militan serta berkawan melalui talian dengan mereka yang boleh membantu beliau menyertai kumpulan berkenaan, kata kenyataan itu.

Lancar serangan

“Arifil menyatakan dia tidak boleh menyertai IS di Syria dan bercadang melancarkan serangan keganasan di Singapura, termasuk kemudahan kerajaan yang utama serta berniat untuk membunuh pemimpin kerajaan.

“Arifil adalah rakyat pertama Singapura yang radikal serta berhasrat untuk melancarkan serangan keganasan di negara ini,

“Manakala remaja 17 tahun itu pula ditahan untuk siasatan lanjut kerana didapati menpunyai tahap radikal yang ekstrim" menurut kenyataan itu

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Teo Chee Hean berkata Singapura turut menghadapi ancaman radikal sama seperti negara-negara lain.

"Pemimpin masyarakat telah bekerja keras untuk menangkis ideologi radikal dan memerlukan sokongan daripada semua kaum di Singapura.....Setiap orang memainkan peranan masing-masing dan jika anda  mengetahui sesiapa yang mempunyai pendirian radikal, sila memaklumkan kepada pihak berkuasa,

"Anda semua boleh turut membantu menyelamatkan individu tersebut dari mencederakan dirinya dan juga orang lain. Agensi-agensi keselamatan juga akan mengambil tindakan untuk mengesan dan menghalang sebarang tindakan pengganas." kata Teo.

Kementerian itu dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa tiga anggota Jemaah Islamiyah (JI) telah dibebaskan pada bulan Februari dan Mei tahun ini, setelah mereka "dinilai sebagai tidak lagi menjadi ancaman keselamatan atau memerlukan tahanan pencegahan".

Ketiga-tiga anggota JI itu ialah Sahrudin Mohd Sapian, Mohamed Rafee Abdul Rahman dan Mohamed Rashid Zainal Abidin, menurut kenyataan itu.

Sahrudin dan Mohamed Rafee adalah anggota JI dan pernah menjalani latihan pengganas di Afghanistan manakala Mohamed Rashid, menjalani latihan pengganas di selatan Filipina.

Kesemua mereka ditahan di bawah ISA sejak beberapa tahun dan dibebaskan daripada tahanan. Bagaimanapun pergerakan mereka akan terus dipantau dibawah Perintah Sekatan, menurut kenyataan itu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.