Penjara Menanti Lelaki Islam Tiga Kali Tidak Solat Jumaat di Kedah

Oleh staf Berita Benar
2015.05.11
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
150511-MY-SOLATJ620 Seorang lelaki Islam di Malaysia menunaikan solat tengah hari beliau, di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada 27 Ogos, 2011
AFP

Kedah akan menjadi negeri kedua di Malaysia yang bakal memenjarakan lelaki  Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid.

Berkuatkuasa mulai 1 Jun ini, mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut di Kedah, boleh dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau denda RM1,000 (USD300) atau kedua-duanya sekali, menurut Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK)

"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta,” kata Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Ahmad Fisol Omar seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Isnin.

“Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri.

"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita akan memohon waran tangkap daripada Hakim Mahkamah Syariah," kata Syeikh Ahmad Fisol

Diluluskan Dewan Undangan Negeri tahun lepas

Kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah), yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri tahun lepas.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam di sekitar Kedah, ketika waktu solat Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan meninggalkan solat itu.

Penguatkuasaan sepatutnya bermula 1 Feb lepas tetapi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam negeri itu, akan hanya mula menguatkuasakan secara sepenuhnya 1 Jun ini.

Penerangan bantu penguatkuasaan

Syeikh Ahmad Fisol berkata jabatan itu, mengadakan jelajah di 12 daerah di Kedah untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu menguatkuasakan undang-undang itu.

"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu juga diedarkan kepada 568 masjid seluruh Kedah," katanya.

Beliau berkata orang awam boleh mendapatkan borang aduan ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat pelapor akan dirahsiakan.

Kelantan merupakan negeri pertama di Malaysia menguatkuasakan Seksyen 104, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, sejak Oktober tahun lepas.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga setahun.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa di mana agama Islam adalah agama rasmi.


Oleh staf Berita Benar dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.