Di Malaysia, Iftar adalah Masa untuk Jalin Semula Silaturahim dengan Bekas Militan

Muzliza Mustafa dan Ali Nufael
2019.05.21
Kuala Lumpur
190521-MY-iftar-620.jpg Ketua unit antikeganasan Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) berbual dengan bekas militan di majlis berbuka puasa anjuran polis di Kuala Lumpur, 18 Mei 2019.
Ihsan Polis Diraja Malaysia

Berpakaian tradisional baju umat Islam – abaya atau niqab bagi wanita, kopiah bagi lelaki – mereka yang memasuki dewan bankuet sebuah hotel di Kuala Lumpur pada suatu petang baru-baru ini kelihatan seperti kumpulan lain yang berhimpun untuk iftar, majlis makan malam untuk berbuka puasa ketika Ramadan.

Bagaimanapun ini bukan kumpulan biasa. Ia terdiri daripada bekas anggota Jemaah Islamiyah, Darul Islam, Abu Sayyaf, al-Qaeda dan juga Negara Islam – mereka yang disabitkan dengan kesalahan keganasan dan mereka yang ditahan di bawah undang-undang keselamatan, yang hadir bersama saudara mara mereka – 122 orang semuanya.

Majlis itu adalah anjuran tahunan selama 16 tahun oleh Polis Diraja Malaysia bagi membantu pihak berkuasa kekal berhubung dengan mereka yang pernah terlibat atau disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan.

“Kami juga mempunyai program lain, namun ia bukan sesuatu yang kami lakukan secara besar-besaran seperti inni. Yang lain mungkin kunjungan satu dengan satu, dan kadangkala kami mengadakan ceramah. Sukar untuk mengadakan kunjungan ke rumah dengan setiap orang namun kami akan pastikan bahawa kami sentiasa boleh dihubungi pada bila-bila masa sahaja mereka memerlukan kami,” kata ketua unit antikeganasan Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay kepada BeritaBenar.

Tujuan kesemua usaha ini adalah untuk mengekalkan hubungan yang erat dengan mereka yang mungkin terdedah untuk kembali kepada aktiviti keganasan dan ideologi radikal, katanya.

“Mereka terpaksa berdepan dengan banyak persepsi umum antaranya, penerimaan keluarga dan juga bantuan kewangan. Jadi kami telah bercakap dengan keluarga mereka, kerana penerimaan keluarga adalah penting. Sebaik sahaja mereka mempunyai sokongan itu, mereka akan mampu kekal fokus dan menangani tekanan,” kata Ayob.

Beliau menyifatkan majlis berbuka puasa sebagai satu perhimpunan semula di mana bekas pengganas dan bekas tahanan bukan hanya berpeluang untuk bertemu anggota polis malah orang yang pernah mereka temui dalam kumpulan pengganas.

Ditanya sama ada beliau bimbang menganjurkan sebuah majlis di mana individu sedemikian boleh berinteraksi, Ayob berkata tidak.

“Mereka yang ada di sini telah bertaubat. Mereka bukan lagi satu ancaman,” katanya.

Hanya tujuh daripada lebih 700 individu yang ditahan sejak 2001 bagi aktiviti berkaitan keganasan telah mengulangi semula kesalahan mereka, katanya merujuk data polis.

“Program deradikalisasi kami berjaya. Kebanyakannya telah kembali ke dalam masyarakat an menjalani kehidupan normal. Sesetengahnya telah mengulangi semula kesalahan mereka malah mereka telah melarikan diri ke Syria untuk menyertai khalifah namun ia adalah kes terpencil,” kata Ayob.

“Ramai yang menyesali tindakan mereka dan percaya bahawa keganasan dan ekstremisme bukanlah caranya,” kata beliau.

‘Kami satu-satunya negara’

Mereka yang menghadiri majlis itu kelihatan tidak selesa dengan pemberita dan menolak untuk bercakap kepada media.

Seorang lelaki, penjawat awam yang ditahan polis selama 28 hari pada 2014, memberikan temu bual ringkas kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Lelaki berusia 32 tahun itu telah ditahan selepas beliau dipercayai cuba melarikan diri untuk menyertai militan di selatan Filipina. Beliau telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa didakwa.

Beliau kemudiannya dibebaskan kerana kekurangan bukti.

“Saya pernah ditahan di bawah SOSMA. Saya melihat undang-undang itu boleh mengekang aktiviti militan terutama apabila ia melibatkan keselamatan negara. Mungkin kerajaan boleh memperbaikinya,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata namanya telah disenaraikan di bawah pemantauan polis, yang mengkehendakinya untuk meminta kebenaran daripada polis sebelum berkunjung ke mana-mana negara lain.

“Saya tidak tahu berapa lama saya akan berada dalam senarai itu. Saya tidak mempunyai komen lain berhubung perkara ini,” kata lelaki itu.

Ahmad El-Muhammady, seorang pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata polis Malaysia menggunakan pendekatan individu untuk menderadikalisasikan golongan ekstremis.

“Majlis berbuka puasa adalah antara program yang dianjurkan polis untuk melibatkan diri dengan mereka,” katanya.

Ahmad, yang mengambil bahagian dalam usaha rehabilitasi itu, mendakwa bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara yang menggunakan pendekatan ini untuk rapat dengan bekas pengganas.

“Kita adalah satu-satunya negara. Semasa Ramadan kita menjemput mereka untuk berbuka puasa, semasa Aidilfitri kita mengunjungi mereka dengan membawa hadiah, dan apabila anak mereka memasuki sekolah kita akan membantu mereka dengan kasut atau beg sekolah.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.