Sultan Selangor Titah Menteri Agama Hadiri Pesta Bon Obori Untuk Lihat Perbezaan

Noah Lee
2022.06.09
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Sultan Selangor Titah Menteri Agama Hadiri Pesta Bon Obori Untuk Lihat Perbezaan Seorang wanita Islam Malaysia memakai kostum tradisional kimono menari semasa sambutan festival tahunan ‘Bon Odori’ di Shah Alam berhampiran Kuala Lumpur, 22 Julai 2017.
[AFP]

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad agar menghadiri festival musim panas Jepun Bon Odori yang akan diadakan di negeri itu bulan depan selepas beliau menasihati orang Islam untuk tidak menyertai program tersebut kerana ia mempunyai unsur agama lain.

Baginda bertitah Idris patut menghadiri program itu, yang dijadualkan berlangsung pada 16 Julai ini di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), untuk memahami perbezaan antara budaya dan agama.

"Baginda tidak mahu Menteri menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi JAKIM.

"Baginda berharap supaya rakyat Selangor yang berbilang bangsa ini akan terus dapat hidup bertoleransi dalam suasana yang muhibah dan harmoni," demikian menurut kenyataan Pejabat Istana Selangor.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk hadir ke majlis itu bagi melihat sendiri apa yang berlaku ketika program tersebut berlangsung.

Titah baginda dikeluarkan selepas Idris pada Isnin menasihati umat Islam agar tidak menyertai sambutan Bon Odori atas alasan ia memiliki unsur-unsur agama lain.

"Kita kena sayang agama kita. Oleh yang demikian, JAKIM sebagai pihak penyelaras menasihati umat Islam supaya tidak sertai program seperti ini. Bukan sahaja program seperti ini malah apa apa sahaja yang membabitkan soal agama,” katanya seperti dipetik oleh akhbar tempatan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor di Rancangan Tanah Belia 1, Sungai Panjang.

Menurut laporan berita tempatan, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Nor turut memberikan pandangan sama kerana dibimbangi perkara itu membawa kepada perbuatan syirik.

Perayaan itu turut diadakan di Pulau Pinang pada 30 Julai.

Sultan Sharafuddin juga bertitah semua budaya yang diamalkan oleh setiap masyarakat di dunia ada hubung kait dengan agama tetapi seiring dengan peredaran zaman, amalan itu tidak lagi menonjolkan ciri-ciri keagamaan.

Titah baginda, program Bon Odori di Malaysia, khususnya di Selangor adalah bertujuan mengeratkan semangat muhibah antara rakyat Malaysia dengan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Festival itu menjadi popular apabila banyak syarikat Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Selangor.

"Justeru, Bon Odori menjadi platform memperkenal budaya hiburan Jepun di samping merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Baginda bertitah sambutan Bon Odori di Malaysia adalah lebih kepada festival yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi serta produk makanan tempatan.

Titah baginda, ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan keluarga dan rakan yang sudah lama tidak bertemu.

Menurut antara penganjur Kelab Jepun Kuala Lumpur, Bon Odori adalah program tahunan sejak 1977 yang pada mulanya diraikan secara kecil-kecilan oleh masyarakat ekspatriat Jepun di Malaysia bagi membolehkan anak-anak mereka mendalami budaya negara itu. Program itu kemudian terus berkembang dan kini menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan serta melibatkan kira-kira 35,000 peserta.

Menurut pakar budaya Jepun Masatoshi Soeda, perayaan itu walaupun pada awalnya mempunyai kaitan dengan agama Buddha dan pemujaan roh, unsur sedemikian tidak lagi diamalkan.

Soeda, yang merupakan Pengarah Pusat Kebudayaan Jepun Universiti Sains Malaysia-Universiti Pengajian Asing Kyoto, memaklumkan Free Malaysia Today bahawa perayaan itu kini berkembang sebagai festival budaya ketika musim panas.

“Tiada apa yang berunsur keagamaan tentang Bon Odori pada hari ini. Ia adalah masa untuk ahli keluarga dan rakan-rakan berkumpul,” katanya.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh