Sultan Perak Bimbang Rasuah Dan Pecah Amanah Berleluasa Di Malaysia

A.Ariffin
2016.12.12
Kuala Lumpur
161212-MY-sultan-620.jpg Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah menzahirkan kebimbangannya terhadap kegiatan rasuah dan pecah amanah yang semakin berleluasa di Malaysia.
Gambar ikhsan Sultan Nazrin Shah

Kegiatan rasuah dan pecah amanah yang semakin menular di Malaysia telah menarik perhatian sultan negeri Perak, Sultan Nazrin Shah, hingga menyebabkan baginda mengingatkan  semua pihak tentang akibat yang boleh berlaku sekiranya amalan negatif itu tidak dibendung.

Sambil menzahirkan rasa bimbang dengan perkembangan itu, baginda bertitah kegiatan rasuah dan pecah amanah dilakukan secara berleluasa oleh golongan berjawatan dan berpendidikan tinggi di Malaysia, titah baginda seperti dilaporkan media Malaysia.

Semasa merasmikan sambutan Maulidur Rasul 1438 Hijrah di negeri Perak pada Isnin, Sultan Nazrin bertitah, media melaporkan bahawa kegiatan rasuah dan pecah amanah kini dilakukan pada skala yang membimbangkan oleh golongan tertentu.

"Kebelakangan ini, media banyak melaporkan perbuatan pecah amanah dan rasuah yang berlaku di negara ini sehingga membimbangkan banyak pihak.

"Berdasarkan berita yang tersiar di dalam pelbagai saluran media, perlakuan rasuah dan pecah amanah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah ia turut berlaku pada skala yang sangat besar," baginda dipetik sebagai bertitah demikian dalam laporan  akhbar Berita Harian.

Agensi berita nasional, Bernama, pula melaporkan Sultan Nazrin bertitah bahawa sejarah telah menunjukkan bahawa perbuatan pecah amanah dan rasuah boleh menjurus kepada kejatuhan kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.

"Dalam sejarah kerajaan Islam, ramai kalangan pemimpin Bani Umaiyah dan Bani Abbas lupa kepada amanah Ilahi kerana terlalu asyik menikmati kemewahan dunia, lalu sanggup menggunakan kekayaan untuk mengekalkan kuasa.

"Apabila kuasa dianggap satu peluang memenuhi kepentingan diri dan bukan satu amanah, maka, rosaklah tata urusan pemerintahan yang akhirnya berkesudahan dengan kejatuhan sesebuah kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun," titah baginda.

Penganiayaan terhadap orang yang berhak

Baginda bertitah, harta yang diperoleh dengan cara yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak merupakan satu bentuk penganiayaan dan kezaliman terhadap orang yang berhak selain ia  berpotensi untuk menggugat kerukunan ummah dan kemakmuran sesebuah negara.

"Begitu jugalah apabila seseorang menguasai harta orang lain dengan cara mengupah saksi-saksi palsu atau memberi suapan kepada hakim dengan tujuan keputusan memihak kepadanya dan harta-harta itu jatuh ke tangannya," titah baginda.

Menurut Bernama, Sultan Nazrin bertitah bahawa peristiwa Abu Lahab menggambarkan betapa beratnya hukuman yang perlu dilalui oleh mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan pecah amanah dan rasuah.

"Sifat khianat terhadap amanah adalah sifat golongan orang munafik dan kerana itu, Allah menetapkan hukuman yang sangat berat kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini,”tegas baginda.

Agensi yang bertanggungjawab menangani kegiatan rasuah iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini diterajui oleh Ketua Pesuruhjaya Dzulkifli Ahmad, yang sebelum ini mengetuai pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan Negara di Jabatan Peguam Negara.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama sebelum ini, Dzulkifli berkata fokus utamanya selepas dilantik menerajui SPRM adalah untuk memastikan sektor perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat menjalani kehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, SPRM menyiasat beberapa kes berprofil tinggi di beberapa negeri di Malaysia seperti Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Kelantan yang membabitkan beberapa pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin negeri termasuk kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang kini dibicarakan di mahkamah.

Semasa di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya Abu Kassim Mohamed, SPRM telah menjalankan siasatan tentang kes yang berkaitan dengan skandal dana negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut laporan Wall Street Journal pada Jun lalu, SPRM telah meminta Peguam Negara memfailkan tuduhan jenayah terhadap Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau melalui entiti yang berkaitan dengan 1MDB.

Najib mempengerusikan lembaga penasihat dana negara yang sarat hutang itu.

Najib telah dikaitkan dengan skandal itu sejak Wall Street Journal mendedahkan dalam laporannya pada Julai tahun lepas bahawa beratus-ratus juta dolar milik 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu.

Namun, Najib menafikan perkara itu dan menegaskan beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.