Follow us

Rusuhan Kuil Hindu Turut Disiasat Dibawah Cubaan Membunuh, Menteri Dalam Negeri

Zam Yusa & Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2018-11-29
E-mel
Komen
Share
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bercakap kepada pemberita di Bangunan Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam petang tadi, 29 November, 2018.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bercakap kepada pemberita di Bangunan Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam petang tadi, 29 November, 2018.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Pihak berkuasa Malaysia membuka lapan kertas siasatan jenayah termasuk cubaan membunuh terhadap kejadian rusuhan di kuil Hindu di Subang Jaya yang berlaku pada Isnin lepas dengan setakat ini, seramai 30 individu telah ditahan demikian kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Menteri itu yang bercakap di Parlimen pada Khamis berkata, tujuh kertas siasatan yang dibuka adalah di bawah kanun keseksaan iaitu melakukan khianat dengan menggunakan api, rusuhan bersenjata, menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata, pencerobohan kawasan, memiliki senjata merbahaya, mendatangkan khianat dan juga siasatan ke atas kenyataan yang boleh menggugat keamanan.

“Polis sudahpun mengenalpasti beberapa individu yang memainkan peranan dalam kejadian tersebut dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan.

“Motif kejadian sudah dikenalpasti dan kertas siasatan sedang dilengkapi,” katanya sambil menambah bahawa siasatan ke atas kecederaaan yang menimpa anggota bomba sehingga berada dalam keadaan kritikal dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Menurut siasatan, keadaan huru-hara di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya tercetus berikutan krisis di antara pihak pengurusan kuil dan pihak pemaju One City Development tentang pemindahan ke tempat baru kuil tersebut.

One City pada tahun 2014 telah membeli tanah di mana kuil itu berada dan menafikan penglibatannya dalam kejadian huru-hara itu yang menyebabkan gangguan dan menggugatkan keharmonian di antara kaum di Malaysia.

“Polis telah menahan 30 orang individu dan telah merakamkan kenyataan 34 orang. Turut dirampas sebagai barang bukti di tempat kejadian termasuklah 21 buah kereta dan 6 motosikal yang terbakar, sebilah pisau dan dua bilah parang,” katanya ketika menerangkan fakta kes tersebut di Parlimen pagi Khamis.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad dalam sidang media di Parliament turut berkata kes tersebut cumalah kes yang melibatkan samseng.

“Kes ini cuma melibatkan samseng yang tidak mematuhi undang-undang jadi kita perlu berdepan dengan samseng,” kata Mahathir merujuk kepada kejadian di kuil Sri Maha Mariamman.

“Kita akan memastikan bahawa kejadian seperti itu, di mana kuil di bina di atas tanah yang bukan milik mereka, tidak berlaku lagi.”

Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor dalam kenyataannya kepada media pada hari yang sama berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan semua parti yang terlibat sebelum Selasa minggu depan untuk mencari penyelesaian bagi semua pihak.

“Kerajaan negeri sanggup menjadi perantara untuk memastikan semua yang terlibat dapat mencapai kata persetujuan termasuklah beberapa cadangan yang sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri,” kata beliau kepada pemberita.

“Perbincangan itu akan diadakan selepas sesi persidangan DUN negeri atau pada Selasa minggu hadapan,” kata Amirudin.

Beliau turut memberikan jaminan bahawa kuil itu tidak akan dimusnahkan atau dipindahkan sehingga keputusan mahkamah dikeluarkan pada 11 Januari tahun hadapan.

Amirudin turut menolak cadangan bahawa kerajaan negeri menggunakan duit pembayar cukai untuk membeli tanah kuil itu kerana ia akan merugikan kerajaan negeri pada masa hadapan.

“Sehingga kita dapat berbincang, semua yang terlibat termasuklah pihak One City dan jawatankuasa kuil dilarang untuk melakukan sebarang aktiviti. 

“Kita akan berbincang dengan mereka semua termasuk kedua-dua kumpulan pengurusan kuil tersebut. Kita tidak akan mengecualikan sesiapa,” kata beliau.

Peguam Negara dalam kenyataan yang dikeluarkan pada petang Khamis turut menawarkan bantuan dalam kes kuil tersebut dan turut memberikan jaminan bahawa beliau sendiri akan meminta fakta kes tersebut diberikan terus kepada beliau untuk diteliti.

“Oleh kerana isu tersebut sangat sensitif, Ketua bahagian pendakwaan akan melaporkan terus kepada Peguam Negara Tommy Thomas,” kata kenyataan media itu.

“Pejabat Peguam Negara turut ambil maklum bahawa perbalahan tersebut berpunca daripada keputusan mahkamah dalam kes sivil. Dengan itu saya amat berbesar hati untuk berjumpa dengan semua peguam yang mewakili pihak yang terbabit untuk menyelesaikan pertelingkahan ini di Pejabat Peguam Negara mengikut Seksyen 9 Akta Tindakan Undang-Undang Kerajaan 1956,” Beliau berkata Pejabatnya turut mengambil maklum tentang keperluan untuk menyegerakan proses menangani perkara ini yang boleh menggugat keselamatan negara.

Sejumlah 61 peratus daripada 32.4 juta penduduk di Malaysia beragama Islam, manakala 1.6 juta daripada jumlah itu beragama Hindu. Malaysia pernah mengalami rusuhan kaum, dan ini termasuklah rusuhan selepas Pilihan Raya Umum 1969.

Lihat Laman Penuh