Top Glove Diarah Tutup 28 Kilang, Lebih 1,000 Pekerja Dijangkiti COVID-19

Noah Lee dan Nisha David
Kuala Lumpur
2020-11-23
Share
201123_MY_COVID_TOPGLOVE_620.jpg Pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Klang memasuki Taman Daya Maju untuk menjalankan ujian COVID-19 terhadap penduduk dan penghuni asrama pekerja Top Glove di Meru, Klang pada 17 Nov 2020.
S.Mahfuz/BeritaBenar

Malaysia pada hari Isnin mengarahkan syarikat pembuat sarung tangan getah terbesar dunia Top Glove menghentikan operasi 28 kilangnya selepas lebih 1,000 jangkitan baharu coronavirus dikesan dalam kalangan pekerjanya di Klang, yang terletak 36 kilometer dari Kuala Lumpur.

Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan merangkap Menteri Pertahanan Malaysia memberitahu sidang media pada Isnin bahawa kerajaan memutuskan untuk menutup kilang Top Glove secara berperingkat selepas mendapat nasihat dan syor daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berdasarkan nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, mesyuarat khas hari ini telah bersetuju bahawa 28 kilang Top Glove ditutup secara berperingkat untuk membolehkan pekerjanya disaring dan melalui proses kuarantin,” katanya.

Keputusan itu dibuat pada hari sama KKM mengumumkan bahawa sebanyak 1,067 jangkitan COVID-19 dikesan dalam kalangan pekerja Top Glove. Peningkatan mendadak itu telah melonjakkan kes membabitkan syarikat tersebut kepada 2,524 kata Ketua Pengarah KKM Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kenaikan itu adalah berikutan keputusan ujian secara bersasar terhadap pekerja yang menghuni asrama yang terletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sehingga kini 1,067 kes dikesan dalam kalangan pekerja berkaitan dengan kilang itu dan jumlah setakat ini ialah 2,524. Daripada jumlah itu, 2,453 atau 97.2 peratus adalah pekerja kilang manakala selebihnya adalah kontak rapat,” kata Noor Hisham dalam sidang media di Putrajaya.

Menurutnya jangkitan dalam kalangan pekerja asing adalah yang tertinggi dengan 2,360 kes manakala 164 melibatkan pekerja tempatan dan ahli keluarga mereka.

Mengulas perintah kerajaan untuk menutup sementara kilang milik Top Glove, beliau berkata pihaknya menyasarkan untuk menjalankan ujian COVID-19 terhadap 13,000 pekerja syarikat itu.

“Apa yang lebih penting ialah situasi di kilang-kilang tersebut terkawal dan kami berharap untuk selesaikan proses saringan terhadap semua 13,000 dan mengasingkan kes positif,” katanya.

Peningkatan mendadak kes positif dalam kalangan pekerja Top Glove telah melonjakkan jumlah jangkitan harian di Malaysia kepada 1,884. Sebelum ini, kes tertinggi harian ialah pada 6 Nov iaitu 1,755.

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di dua kawasan di Meru yang menempatkan beberapa asrama pekerja selama 14 hari bermula 17 Nov sehingga 30 Nov bagi membendung penularan COVID-19 yang ketika itu menjangkiti 215 pekerja.

Arahan kerajaan itu melibatkan 5,000 pekerja yang menghuni asrama dan 1,200 penduduk setempat.

Top Glove dalam kenyataannya hari ini memaklumkan ia akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan untuk melaksanakan arahan itu secara berperingkat.

Menurut syarikat itu, mereka sudahpun menutup operasi di 16 premis sejak 18 Nov manakala 12 lagi beroperasi dengan kapasiti yang amat rendah.

“Dengan bimbingan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, kami sudahpun menyempurnakan saringan penuh terhadap 5,700 pekerja di asrama kami. Kami komited untuk meneruskan rekomendasi ujian saringan COVID-19 untuk pekerja dan staf  kami yang selebihnya di kilang-kilang di Meru, Klang,” katanya.

Usaha BeritaBenar untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada syarikat itu, termasuk mengenai kesan penutupan kilang terhadap pengeluaran sarung tangan yang memainkan peranan penting dalam usaha memerangi COVID-19 di peringkat global, bagaimanapun menemui kegagalan.

Hantaran mesej dan panggilan ke telefon bimbit pegawai media dan Pengarah Urusan Top Glove Lee KM tidak berjawab.

Insiden yang menimpa Top Glove bagaimanapun gagal meraih simpati Ahli Parlimen terutama bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kenyataan Ahli Parlimen Muar itu yang dimuat naik di laman Facebooknya menyelar Top Glove yang didakwa gagal melindungi pekerjanya.

“Kluster Teratai mula dikesan sejak 2 Nov tetapi kilang-kilangnya tidak ditutup langsung. Inilah sebabnya saya tidak ada rasa simpati kepada syarikat besar. Mereka dapat keuntungan besar, abaikan pekerja mereka dan mengamalkan buruh paksa,” kata Syed Saddiq merujuk kepada kluster jangkitan yang mempunyai kaitan dengan Top Glove.

Beliau turut mengulangi gesaannya yang sebelum ini dibuat di Parlimen agar kerajaan mengenakan cukai durian runtuh sebanyak RM4.8 bilion (US$1.17 bilion) terhadap Top Glove dan mendakwa syarikat itu meraih keuntungan luar biasa ketika penularan COVID-19 dalam negara.

“Mereka membuat keuntungan di Malaysia, jadi mereka ada tanggungjawab untuk membantu negara terutama pada ketika ini. Saya tidak akan mempertahankan syarikat kaya. Mereka telah menikmati keuntungan berbilion-bilion ringgit tetapi hanya menderma RM400 juta (US$97.74 juta) kepada negara,” katanya.

Kerajaan turut memutuskan pada Jumaat bahawa sejumlah 1,615,834 juta pekerja asing di enam negeri dan wilayah persekutuan iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan wajib menjalani ujian COVID-19 setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Sumber Manusia dan KKM dalam mesyuarat sebelum ini.

Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) akan membiayai 50 peratus daripada kos ujian bagi mereka yang mendaftar dengan organisasi itu manakala separuh lagi ditanggung oleh majikan dan bagi yang tidak mendaftar, kos perlu dibiayai sepenuhnya oleh majikan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh