Tragedi Batang Kali: Pasukan penyelamat jumpa mayat lelaki peluk anjing
2022.12.21
Kuala Lumpur
Angka korban tragedi tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan tidak berlesen di Malaysia meningkat kepada 26 pada Rabu selepas pasukan mencari dan menyelamat menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan memeluk seekor daripada anjingnya di bawah timbunan tanah.
Malam sebelumnya, pasukan penyelamat menjumpai mayat seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berusia lingkungan enam hingga 10 tahun pada kedalaman kira-kira 17 meter, iaitu mangsa ke-25 yang maut dalam insiden minggu lepas. Menurut pihak berkuasa, tujuh lagi daripada 94 orang yang berkhemah di lokasi itu ketika berlaku insiden tanah runtuh di Batang Kali pada awal pagi Jumaat masih hilang dan usaha mencari mereka diteruskan.
Menurut polis, mayat lelaki itu bersama dua ekor anjing peliharaannya dijumpai pagi Rabu pada kedalaman 1.5 meter di Sektor B zon pencarian dan seekor lagi anjing mangsa dipercayai telah ditolak oleh runtuhan tanah ke kawasan lebih rendah di tepi sungai iaitu Sektor C zon pencarian.
“Daripada maklumat yang kita dapat, mangsa mempunyai tiga ekor anjing peliharaan dan seekor daripadanya adalah yang dipeluk mangsa ketika mayatnya dijumpai manakala seekor lagi berada berhampiran mayat mangsa. Anjing ketiga masih belum ditemui,” kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Suffian Abdullah yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat.
Suffian bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mangsa sehingga bedah siasat dan proses pengecaman dilakukan.
Beliau juga berkata pasukan mencari dan menyelamat sudah selesai melakukan pencarian di Sektor B dan akan menumpukan usaha mereka di Sektor A dan C di mana mereka percaya mangsa lain berada.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan media bahawa mayat kanak-kanak perempuan yang dijumpai pada lewat malam Selasa pula telah tertimbus pada kedalaman kira-kira 17 meter dan hanya ditemukan selepas pasukan pencarian mendapatkan bantuan daripada sebuah agensi yang memiliki peralatan khas untuk mengira kedalaman tanah.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Hafisham Mohd Noor berkata sebelum itu, mereka telah melakukan penggalian sehingga pada kedalaman 8 meter namun gagal menemukan mangsa.
“Kami telah menggali lokasi berkenaan sedalam 7 hingga 8 meter. Bagaimanapun, dengan bantuan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), pasukan mencari dan menyelamat dapat menggali lebih dalam di kawasan berkenaan sebelum menemukan mayat mangsa.
“Sebelum ini, kita dah korek 7 hingga 8 meter, rupa-rupanya ia berada di bawah lagi sebab itu bantuan daripada JUPEM yang membuat kiraan kedalaman tanah membantu kita,” katanya kepada media pada Rabu.
Susulan penemuan mayat kanak-kanak perempuan itu, Hafisham berkata pasukan pencarian mungkin mula melakukan pencarian di kawasan timbunan tanah lebih dalam dan berharap dapat menjumpai mangsa lain secepat mungkin.
Tragedi yang berlaku pada kira-kira 3 pagi Jumaat lepas menyaksikan puluhan individu termasuk kanak-kanak yang sedang berkhemah di sebuah ladang di Batang Kali ditimbus runtuhan tanah dari bukit berhampiran. Ladang itu merupakan antara tempat perkhemahan popular bagi kawasan luar bandar dan ketika kejadian, dilaporkan terdapat 94 orang di lokasi itu.
Menurut pakar geologi, insiden itu adalah yang terburuk pernah dicatat selepas kejadian tanah runtuh yang meragut 16 nyawa termasuk 13 pelajar sebuah sekolah agama di Hulu Langat, Selangor pada 21 Mei 2011.
Elak tragedi berulang
Kerajaan Negeri Selangor pada Rabu mengumumkan bahawa ia telah mengenal pasti keperluan merangka garis panduan khusus untuk aktiviti perkhemahan bagi mengelakkan tragedi seperti itu berulang.
Ng Sze Han, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas agensi pihak berkuasa tempatan di Selangor, berkata pemantauan harus dibuat terhadap aktiviti sampingan yang dijalankan oleh pengusaha hotel dan resort termasuk mengendali tapak perkhemahan.
“Selama ini, setiap perniagaan telah pun dikawal secara rapi melalui lesen perniagaan, Kebenaran Merancang dan pelan bangunan serta penguatkuasaan. Namun, Pihak Berkuasa Tempatan tidak mempunyai syarat khusus bagi aktiviti tapak perkhemahan kerana aktiviti tersebut merupakan aktiviti sampingan yang dijalankan oleh pemilik hotel dan resort.
“Oleh itu, kerajaan negeri kini dalam usaha untuk menyegerakan bancian terhadap jenis dan jumlah aktiviti perkhemahan dan seumpamanya yang masih tidak dinyatakan serta diklasifikasi secara jelas dalam kategori perniagaan.
“Bancian juga akan mengenal pasti lokasi aktiviti tersebut dalam melihat kawasan-kawasan sensitif alam sekitar dan tempat yang tidak sesuai atau berisiko bagi aktiviti rekreasi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Selangor juga akan mendapatkan maklum balas daripada operator aktiviti rekreasi dan perkhemahan serta pihak berkepentingan lain bagi membantu merangka garis panduan itu.
“Semua dapatan ini akan membantu kerajaan negeri merangka garis panduan supaya aktiviti perkhemahan dan rekreasi dapat dijalankan dengan selamat dan tidak memudaratkan mana-mana pihak. Hanya pengusaha yang patuh kepada garis panduan akan diperakui oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan Tourism Selangor untuk menjalankan aktiviti tersebut.”