UMNO Mahu PRU Diawalkan Selepas Menang Besar di Melaka

sh: Jika PRU diawalkan, Najib Razak mempunyai peluang untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10, kata penganalisis politik.
Hadi Azmi dan Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur
2021-11-22
Share
UMNO Mahu PRU Diawalkan Selepas Menang Besar di Melaka Pemimpin Barisan Nasional termasuk Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) pada sidang media di Seri Cendana di Ayer Keroh, Melaka, 20 Nov 2021.
[S.Mahfuz/BenarNews]

Ahli parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang memerintah Malaysia mahu pilihan raya umum (PRU) negara itu diadakan lebih awal supaya mereka boleh memanfaatkan momentum kemenangan besar parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hujung minggu lepas, kata Timbalan Presidennya.

Penganalisis politik pula percaya kejayaan UMNO memberi isyarat bahawa bekas Perdana Menteri Najib Razak, juga bekas pemimpin yang memimpin kempen parti itu di Melaka, mungkin membuat penampilan semula dalam politik menjelang PRU yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2023.

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan berkata beliau telah memaklumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa pilihan raya awal adalah peluang terbaik untuk parti itu mendapat kemenangan berdasarkan sentimen semasa orang ramai terhadap gabungan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO.

"Saya bercakap dengan Perdana Menteri semalam bahawa kita perlu pertimbang untuk segerakan PRU15," kata Mohamad kepada pemberita ketika menghadiri satu majlis pada Ahad. Beliau menambah jika keputusan itu berada di tangannya, beliau akan mengadakan PRU seawal ‘esok.’

Beliau berkata kemenangan BN dalam PRN Melaka pada Sabtu adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kerajaan yang stabil.

"Itu isyarat yang boleh saya baca. Saya bersyukur atas kemenangan tersebut tetapi ini satu amanah yang besar diberikan kepada BN agar Kerajaan Negeri Melaka yang baharu mengurus tadbir dengan baik," katanya.

Gabungan BN berjaya mencatat kemenangan bergaya dengan memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRN itu selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri. Daripada jumlah itu, UMNO memenangi 18 kerusi, dua dimenangi Persatuan Cina Malaysia (MCA) manakala Kongres India Malaysia (MIC) pula memenangi satu kerusi .

Susulan kemenangan itu, Sulaiman Md Ali sekali lagi dipilih sebagai Ketua Menteri dan beliau telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka pada awal pagi Ahad, beberapa jam selepas keputusan rasmi pilihan raya itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan (PH) pula hanya memenangi lima kerusi dan Parti Keadilan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim yang menerajui blok itu bagaimanapun mengalami kekalahan di semua 11 kerusi yang ditandinginya.

Perikatan Nasional (PN), sebuah lagi gabungan politik yang menyokong UMNO di peringkat Kerajaan Persekutuan namun menentang parti itu dalam PRN Melaka, hanya memenangi dua kerusi daripada keseluruhan 28 yang ditandingi. Kedua-dua kerusi dimenangi parti Bersatu yang dipimpin bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Bersatu, parti utama dalam PN, adalah serpihan UMNO yang diasaskan bersama oleh Muhyiddin dan pemimpin veteran Mahathir Mohamad pada 2016.

Sementara itu, Najib yang telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan jenayah dikaitkann dengan skandal kewangan 1MDB, memuat naik status bernada gembira mengenai kejayaan UMNO di laman Facebooknya yang popular.

"Rakyat telah bersuara dan membuat pilihan. Rakyat juga telah menghantar mesej jelas," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu telah mengambil tanggungjawab memimpin kempen di Melaka kerana Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi ke luar negara untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

PRN Melaka diadakan selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan kepada Sulaiman, yang menyebabkan beliau kehilangan majoriti. Yang Dipertua Negeri Melaka kemudian bertindak membubarkan dewan itu sehingga menyebabkan pilihan raya terpaksa diadakan.

Anwar kemudian mengambil dua ahli dewan itu, yang dipecat UMNO, sebagai calon PH meskipun berdepan bantahan kuat penyokong akar umbi gabungan pembangkang itu.

Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Mokhtar berkata peraturan ketat terhadap aktiviti berkempen dan kadar pengundi keluar yang rendah antara faktor yang menyebabkan PH hanya mampu memenangi lima kerusi daripada 28 yang ditandingi.

"PH bergantung kepada kemampuan mereka untuk memanipulasi isu yang selalunya disebarkan melalui perhimpunan besar. Faktor ini telah hilang disebabkan kekangan [kepada aktiviti berkempen]," katanya kepada BenarNews.

Susulan kekalahan teruk yang dialami PH, ramai menyalahkan Anwar berkaitan strategi gabungan itu dan membuat gesaan di media sosial agar Ketua Pembangkang itu berundur daripada politik.

"Anwar Ibrahim patut meletak jawatan. Bersama-sama dengan mereka yang menjadi penasihatnya," kata Azrul Hamid melalui akaun Twitter @azrul_hamid.

Meskipun keputusan tidak memberangsangkan di pihak PH dilihat sebagai mengejutkan, penganalisis James Chin dari Universiti Tasmania berkata UMNO telah berjaya membuktikan bahawa parti itu masih menjadi pilihan utama pengundi Melayu yang merupakan penduduk majoriti dan menunjukkan bahawa ia tidak memerlukan Bersatu pimpinan Muhyiddin untuk memenangi pilihan raya.

"Jalinan kerjasama semula antara PN dengan UMNO dan BN adalah sesuatu yang mustahil. Dalam kerajaan, hanya satu sahaja parti Melayu yang dominan," katanya kepada BenarNews.

"Sekiranya apa yang berlaku ini berulang dalam PRU yang akan datang dengan Bersatu hanya memenangi sebilangan kecil kerusi, mereka terpaksa kembali kepada UMNO," kata Chin.

Bagaimanapun, Muhyiddin telah menolak cadangan supaya Bersatu dibubarkan dan kembali menyertai UMNO.

"Ia tidak akan berlaku," kata beliau.

Sh: Pilihan raya awal?

Meskipun pemimpin kedua tertinggi dalam UMNO berkata PRU patut diadakan lebih awal, Kerajaan Persekutuan masih terikat dengan perjanjian kerjasama yang ditandatangani dengan blok pembangkang iaitu mereka bersetuju bahawa pilihan raya tidak akan diadakan sebelum akhir Julai 2022. Bahagian itu telah dimasukkan dalam persetujuan mereka bagi meredakan ketegangan politik di Malaysia dan memberikan kestabilan selepas 18 bulan Malaysia ditadbir oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Pakar politik Malaysia Wong Chin Huat bagaimanapun berkata terdapat pimpinan UMNO dan PH yang mahukan perjanjian yang ditandatangani pada September itu dibatalkan.

"Terdapat individu di kedua-dua belah pihak yang mahu menamatkan perjanjian ini. Sekiranya mereka mengundi untuk menolak Bajet 2022 di peringkat jawatankuasa, ia akan memulakan pertelingkahan mengenai perjanjian itu," katanya.

Perjanjian itu antara lain mengandungi janji bahawa pembangkang tidak akan menghalang pembentangan belanjawan kerajaan, atau ia akan dianggap terbatal.

Wong berkata ia juga sesuatu yang tidak berfaedah kepada Ismail Sabri untuk mengadakan pilihan raya lebih awal. Menurut penganalisis itu, walaupun Ismail Sabri adalah Perdana Menteri, beliau hanya seorang Naib Presiden dalam UMNO dan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan calon parti itu dalam pilihan raya.

"Sekiranya beliau bijak, Ismail Sabri tidak akan tunduk kepada gesaan agar pilihan raya diadakan lebih awal. Mengadakan pilihan raya awal mungkin membawa kepada berakhirnya kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri kerana Ahmad Zahid akan menentukan senarai calon manakala Najib mungkin kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10," katanya.

Tunku Mohar pula berkata tidak mustahil untuk Najib kembali sebagai calon Perdana Menteri yang akan datang.

"Kita tidak boleh menolak kemungkinan ini. Tetapi pertama sekali, beliau harus meyakinkan kepimpinan akar umbi UMNO bahawa dirinya adalah bersih dan tidak bersalah dalam semua pertuduhan terhadapnya. Saya rasa walaupun beliau seorang yang popular dalam parti, pemimpin UMNO mempunyai percanggahan pendapat mengenai beliau sebagai pemimpin parti itu untuk pilihan raya akan datang," katanya.

Najib berdepan pertuduhan jenayah berkaitan salah guna kuasa, rasuah dan pecah amanah. Beliau telah disabitkan atas tujuh pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan anak syarikat 1MDB iaitu SRC International.

Beliau juga sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan termasuk salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion (AS$550 juta) yang hilang daripada 1MDB.

Sama ada Najib dinamakan sebagai calon Perdana Menteri atau tidak, Tunku Mohar berkata satu perkara adalah pasti.

"Kejayaan UMNO-BN di Melaka akan menaikkan semangat mereka untuk menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

Selepas Melaka, Sarawak dijadual mengadakan pilihan raya negeri pada Disember ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh