UMNO Beri Tempoh 14 Hari Untuk Kerajaan Buka Semula Parlimen

Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-06-21
Share
UMNO Beri Tempoh 14 Hari Untuk Kerajaan Buka Semula Parlimen Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan penggulungan presiden pada Perhimpunan Agong UMNO 2020 di WTC Kuala Lumpur pada 28 Mac 2021.
[Foto Ihsan UMNO]

Presiden parti terbesar dalam gabungan Kerajaan Malaysia pada Isnin memberitahu perdana menteri negara itu supaya membuka semula Parlimen dalam tempoh dua minggu atau berdepan risiko dilihat sebagai menderhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan Parlimen bersidang secepat mungkin.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa beliau perlu memastikan “tiada masalah yang akan timbul di kemudian hari” akibat pembukaan segera Parlimen dan beliau tidak berniat untuk mengingkari titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu berpendirian bahawa amat mustahak untuk sidang Parlimen diadakan supaya segala tuntutan dan harapan rakyat yang sedang dalam kesempitan akibat wabak COVID-19 dapat dibincangkan selain memastikan wujudnya akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan.

“UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini.

“Kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah,” katanya.

Parlimen Malaysia masih belum bersidang pada tahun ini dan kali terakhir badan perundangan negara itu mengadakan persidangan ialah pada 14 Dis 2020 sebelum ia digantung pada 12 Jan 2021 apabila Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, mengisytiharkan darurat berikutan pandemik koronavirus.

Pada 24 Feb lepas, Istana Negara mengeluarkan kenyataan dengan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat. Bagaimanapun, kerajaan masih enggan membenarkan persidangan Parlimen diadakan.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, susulan persidangan kedua mereka mengenai isu pandemik COVID-19 pada Khamis lepas, menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu disegerakan.

“UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata UMNO adalah sebuah parti yang diasaskan dengan tujuan membela Institusi Raja-Raja Melayu dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi memuktamadkan tindakan lanjut dalam isu itu.

Bukan soal sanggah kerajaan

Ahad lepas, Muhyiddin memberitahu media bahawa beliau mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tidak ada masalah yang akan timbul susulan pembukaan semula Parlimen dan tidak berniat untuk melanggar kemahuan Raja-Raja Melayu.

“Saya harap rakyat faham, ini bukan soal hendak menafikan hak Ahli-Ahli Parlimen atau menyanggah kenyataan Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja. Saya faham tanggungjawab sebagai Perdana Menteri adalah besar.

“Tapi saya kena berlaku adil supaya jangan nanti timbul isu-isu dan masalah kemudian yang menyebabkan kerajaan tidak boleh hendak menguruskan soal sebegitu. Jadi, ini satu perkara yang harapnya rakyat akan faham dan menunggu,” katanya kepada media ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Muhyiddin turut menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melambat-lambatkan pembukaan Parlimen kerana takut akan kemungkinan berlaku undi tidak percaya terhadap kepimpinannya.

“Saya tidak pernah takut. Saya sudah dekat 40 lebih tahun dalam Parlimen, itu semua Allah menentukan sama ada kita menang atau kalah, jadi kerajaan atau tidak jadi kerajaan. Apa penting kita hendak tumpu sekarang ini ialah menyelesaikan masalah yang kita hadapi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu memperhalusi semua perkara dan satu jawatankuasa telah dibentuk bagi meneliti aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Katanya jawatankuasa itu, yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang, akan menilai sama ada sidang Parlimen sudah sedia untuk diadakan atau tidak.

“Saya minta jawatankuasa yang dianggotai wakil-wakil kerajaan dan pembangkang untuk nilai perkara berkenaan dan selepas itu, barulah mereka maklumkan kepada saya sama ada sudah bersedia atau tidak untuk memulakan sidang Parlimen.

“Sama ada persidangan akan dibuat secara hibrid atau fizikal, ini akan dirujuk kepada peraturan tetap yang ada sekarang,” katanya seperti dilaporkan agensi berita kerajaan BERNAMA.

UMNO perkukuh pengaruh

Azmi Hassan, seorang pakar geostrategis Universiti Teknologi Malaysia yang baru bersara, berpendapat kenyataan parti itu membolehkan UMNO mengambil kredit jika Perikatan Nasional bertindak membuka Parlimen dalam tempoh 14 hari.

“Dan jika Perikatan Nasional mengambil tindakan untuk tidak mempedulikan kata dua UMNO ini, maka UMNO boleh juga mengatakan bahawa kerajaan Perikatan Nasional ingkar terhadap saranan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada BenarNews.

Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata beliau tidak pasti sama ada kata dua UMNO itu akan diambil maklum secara serius oleh kerajaan.

“Akan tetapi sekiranya Parlimen masih tidak bersidang selepas 14 hari atau tiada tarikh ditetapkan kerajaan atau tarikh itu tidak dapat diterima UMNO, maka Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan perlu membuat keputusan dan ia adalah sesuatu yang menarik untuk melihat di manakah terletaknya kesetiaan para menteri dan timbalan menteri UMNO,” kata beliau.

Bagi Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, UMNO telah memanfaatkan ruang yang terbuka itu untuk meningkatkan popularitinya dan menjangkakan parti itu akan terus memainkan isu tersebut demi kepentingan mereka.

“Ini ruang terbaik UMNO dengan mengambil kira kesesuaian objektif dan matlamat penubuhannya untuk mempertahankan institusi diraja. Maka akar umbi UMNO dan pihak luar sukar mengkritik tindakan, langkah serta pendirian UMNO dan ini seterusnya akan mampu meningkatkan populariti UMNO di mata rakyat.

“Umno akan terus memanaskan situasi ini sementara isu itu masih hangat dan pastinya akan mendapat manfaat terbesar daripada situasi ini,” katanya.

 

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh