UNESCO Puji Usaha Malaysia-Indonesia untuk Membanteras Ekstremisme di Sekolah
2015.04.16
Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova menyambut baik langkah Malaysia untuk bekerjasama dengan Indonesia dalam membentuk strategi pendidikan bersama bagi memerangi ekstremisme agama, di tengah-tengah ancaman oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS).
Penglibatan cendekiawan dan ulama Islam dari kedua-dua negara berjiran itu dalam merangka strategi adalah satu langkah yang positif, katanya kepada Berita Benar dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada muzakarah di Jakarta minggu lepas, yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin, ulama dan cendekiawan Islam terkemuka dari Malaysia dan Indonesia menubuhkan sebuah sekretariat bersama untuk memerangi ideologi ekstrem menerusi usaha mengalakkan jenama sederhana Islam.
"Dalam menghadapi peningkatan sikap tidak bertoleransi yang merupakan ancaman kepada semua masyarakat, saya puji inisiatif Malaysia untuk bekerjasama dengan Indonesia, negara penduduk Islam terbesar di dunia, dalam memimpin cerminan ajaran Islam dalam masyarakat mereka," kata Bokova.
Beliau "menyambut baik” penglibatan pemimpin agama dalam usaha itu dan bersetuju pada naratif yang sama."
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB itu juga bersedia membantu negara anggotanya menangkis ekstremisme dengan mengajar anak-anak muda untuk mengamalkan toleransi dan tanpa keganasan melalui pelajaran sekolah dan kurikulum, kata Bokova.
"Tiada apa yang dapat mewajarkan keganasan. Pendidikan adalah cara yang paling berkesan untuk memerangi pandangan yang menyimpang tentang agama dan memupuk persefahaman, nilai toleransi dan menghormati maruah dan kepelbagaian manusia, "ujar beliau.
Peranan lebih besar
Bokova memberi komen sedemikian selepas Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, bertemu dengannya di ibu pejabat UNESCO di Paris minggu ini.
Menurut satu laporan dalam akhbar New Straits Times (NST), Timbalan Perdana Menteri berkata kemudian bahawa agensi PBB itu mahukan
Malaysia dan negara jirannya untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam membanteras fahaman ekstremisme dan Islamofobia.
"UNESCO mahu Malaysia dan Indonesia menunjukkan kepada dunia tentang pendidikan Islam yang sebenarnya dan bukannya yang digambarkan oleh Negara Islam," NST memetik beliau sebagai berkata.
Dalam pertemuannya dengan Bokova, Ketua Pengarah UNESCO itu "mencadangkan supaya Malaysia dan Indonesia menerajui usaha menunjukkan pendidikan Islam yang sebenarnya," kata beliau.
Menteri itu ke Paris sebagai sebahagian daripada kempen Malaysia untuk melobi UNESCO bagi menduduki kerusi lembaga eksekutifnya, demikian laporan agensi berita nasional Bernama pada Khamis.
Keperluan untuk mengamalkan wasatiyyah
Dalam ucapannya di Jakarta minggu lepas, Muhyiddin menggesa umat Islam Indonesia dan Malaysia untuk "berdiri teguh atas prinsip wasatiyyah - seperti yang dikehendaki oleh ajaran Islam yang sebenar - dengan menolak amalan agama yang ekstrem"
Malaysia dan Indonesia bergabung tenaga untuk memerangi ekstremisme melalui pendidikan agama dengan kerajaan kedua-dua negara berkata mereka kini berdepan ancaman IS yang semakin meningkat.
Sejak tahun lepas, kedua-dua kerajaan itu bekerjasama untuk menangkap mereka yang disyaki ahli-ahli dan penyokong IS di negara-negara mereka, serta menghalang kumpulan jihad itu daripada merekrut anak muda Islam untuk tujuan perjuangannya menerusi bilik darjah dan media sosial.
Menurut pihak berkuasa Malaysia, seramai 119 orang rakyatnya dipercayai terlibat dengan IS. Angka itu termasuk 95 rakyat Malaysia yang telah ditangkap kerana disyaki menjadi ahli IS. Empat puluh enam rakyat Malaysia masih berada di Syria atau Iraq, dan 10 orang lagi dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di sana.
Bilangan warga Indonesia yang dipercayai telah menyertai IS di Timur Tengah adalah lebih tinggi – iaitu seramai 540 orang.