Rakyat Malaysia Berdepan Risiko Meniti Usia Tua Dalam Kemiskinan

Menurut KWSP, ahlinya terpaksa memanjangkan tempoh bekerja jika mahu simpanan mencukupi pada usia tua.
Iskandar Zulkarnain dan Nisha David
Kuala Lumpur
2021-11-23
Share
Rakyat Malaysia Berdepan Risiko Meniti Usia Tua Dalam Kemiskinan Pekerja pejabat memakai pelitup muka ketika menyeberangi jalan berhampiran sebuah pusat perniagaan susulan penularan COVID-19 di Kuala Lumpur, 2 Jun 2020.
[Reuters]

COVID-19 telah menyebabkan rakyat Malaysia berdepan risiko meniti usia tua dalam kemiskinan susulan kemelesetan ekonomi akibat penularan pandemik, yang menyaksikan lonjakan pengeluaran daripada tabung persaraan, demikian menurut pengerusi dana itu pada Selasa.

Ahmad Badri Mohd Zahir berkata 48 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur di bawah 55 tahun memiliki kadar simpanan pada tahap kritikal – lonjakan sebanyak 28 peratus berbanding tempoh sebelum tercetusnya pandemik.

“Purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah 75 tahun dan dengan mengandaikan pencarum KWSP mula membuat pengeluaran simpanan persaraan pada usia 55 tahun, mereka perlu mempunyai simpanan yang cukup untuk sekurang-kurangnya 20 tahun.

“Mengambil kira situasi ini, jika purata simpanan kesemua ahli KWSP di bawah 55 tahun ialah RM13,000 (AS$3,105),  hanya RM54 (AS$12.90) sebulan akan diterima bagi tempoh persaraan mereka,” katanya dalam Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021.

“Simpanan median ahli KWSP pada usia 54 tahun pula ialah RM38,000 (AS$9,078) yang bermaksud RM159 (AS$37.99) sebulan untuk tempoh 20 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata bagi mendapatkan semula jumlah simpanan yang hilang akibat pengeluaran membabitkan COVID-19, pencarum perlu menambah tempoh bekerja antara empat hingga enam tahun.

Jumlah pengeluaran RM101 bilion

Ahmad Badri berkata perintah kawalan pergerakan yang berlanjutan bagi mengekang penularan COVID-19 telah menyebabkan banyak perusahaan kecil terjejas teruk dan ada yang terpaksa gulung tikar sekali gus menyaksikan ramai rakyat hilang pekerjaan.

Bagi meringankan beban kewangan dalam kalangan pencarum KWSP yang terjejas akibat pandemik itu, kerajaan Malaysia telah memperkenal skim pengeluaran dana persaraan khas melalui tiga inisiatif iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

“Sehingga 31 Okt, sejumlah RM101.1 bilion (AS$24.1 bilion) telah dikeluarkan di bawah i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, ini bersamaan dengan nilai 22 peratus daripada jumlah peruntukan RM530 bilion (AS$126 bilion) di bawah program rangsangan ekonomi oleh kerajaan bagi membantu rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata walaupun langkah yang diambil adalah perlu susulan kekangan akibat COVID-19, skim pengeluaran itu telah memburukkan keadaan pencarum kerana kebanyakan mereka berdepan risiko kekurangan simpanan untuk meniti hari-hari persaraan yang selesa.

“Sebagai dana persaraan terbesar negara, kami amat khuatir dengan situasi ini. Majoriti pencarum berdepan risiko menjadi miskin pada usia tua.

“Ini bukan sahaja merumitkan kehidupan individu, landskap sosioekonomi malah negara dan kesihatan fiskal akan turut mencabar,” katanya.

Ahmad Badri turut mengumumkan KWSP bakal melancarkan dua lagi skim menjelang tahun depan iaitu i-Lindung dan i-Sayang.

Beliau berkata i-Lindung adalah kemudahan pengeluaran simpanan dalam Akaun 2 pencarum untuk membiayai pembelian skim insurans nyawa dan penyakit kritikal melalui platform KWSP.

“Akan turut dilancarkan pada suku pertama 2022 ialah skim i-Sayang yang menawarkan pemindahan sukarela dua peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Demi kelangsungan hidup

Hafizal Ghani, 34, seorang pencarum KWSP yang memanfaatkan skim pengeluaran khas itu berkata ia langkah yang perlu dilakukan demi kelangsungan hidup dalam tempoh yang sukar ketika ini walaupun ia akan memberi kesan semasa usia persaraan kelak.

“Miskin hari tua memang tidak ada dalam fikiran saya sekarang atau sebelum ini. Bukan satu perkara yang saya risaukan… Yang dirisaukan, cukup atau tidak duit nak bayar rumah, kereta dan beli barang-barang untuk bengkel.

“Saya nak pastikan kelangsungan hidup keluarga buat masa ini. Lagipun duit yang disimpan di KWSP itu duit saya,” katanya yang mengusahakan perniagaan berasaskan automatif di Senawang, Negeri Sembilan sejak enam tahun lepas.

Beliau berkata COVID-19 telah memberi kesan yang sangat memeritkan buat golongan peniaga dan pengeluaran KWSP umpama talian hayat buat dirinya.

“Bayangkan pendapatan saya hilang 80 peratus ketika dua tahun negara dalam perintah kawalan pergerakan. Saya orang berniaga. Terpaksa buat macam-macam. Jual macam-macam.

“Wang yang dikeluarkan melalui i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra tu banyak membantu. Bolehlah bernafas sedikit,” katanya.

Ditanya perancangan pada usia persaraan, Hafizal berkata dia akan berusaha menampung semula simpanan yang telah dikeluarkan apabila keadaan ekonomi kembali pulih.

“Saya sedar simpanan berkurang dan akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada keluarga termasuk menabung secara berkala untuk masa depan,” katanya.

Pilihan terakhir

Sementara itu, pakar ekonomi menegaskan pengeluaran dana persaraan seharusnya menjadi pilihan terakhir pencarum KWSP.

Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata kerajaan perlu mengelak daripada memberikan kemudahan pengeluaran KWSP sekali lagi dalam masa terdekat.

“Ini bukan langkah terbaik… kerajaan perlu pastikan pencarum mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi. Pengeluaran KWSP ini patutnya pengeluaran wang simpanan kecemasan yang tidak boleh dilaksanakan secara berterusan atau berkala,” katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata pengeluaran berterusan akan turut memberikan kesan jangka panjang kepada operasi KWSP.

“Pengurangan dana KWSP disebabkan pengeluaran khas dalam skala yang besar akan mengecilkan saiz dana yang diuruskan oleh badan itu sekali gus menyebabkan KWSP kehilangan skala ekonomi besar terutama apabila berurusan dengan pengurus dana antarabangsa.

“Pulangan pelaburan KWSP juga akan menjadi lebih kecil apatah lagi berbanding dengan negara lain seperti Singapura, Australia dan Kanada yang mempunyai dana persaraan sama sepertinya,” ulasnya lagi.

Pendapat itu turut dikongsi oleh Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, Pensyarah Ekonomi UUM.

Beliau berkata pengeluaran simpanan KWSP adalah tidak perlu jika kerajaan memberi bantuan tunai mencukupi kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik.

“Pengeluaran khas seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra seharusnya adalah pilihan terakhir yang dilaksanakan kerajaan.

“Seandainya kerajaan boleh memberikan bantuan tunai yang mencukupi kepada golongan sasar dan secara berkala, pengeluaran dana persaraan ini sememangnya tidak diperlukan,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh