Malaysia Selar Artikel Akhbar AS Berkaitan Kem Uyghur di China

Muzliza Mustafa
2019.10.02
Kuala Lumpur
191002-my-ch-uyghur-620.jpg Penujuk perasaan membawa poster di hadapan pejabat Kedutaan China di Kuala Lumpur semasa protes perpaduan bagi komuniti Uyghur di Xinjiang, 5 Julai 2019.
AFP

Malaysia meluahkan “ketidaksenangan yang serius” pada Rabu berhubung satu laporan berita asing yang memetik seorang diplomat negara itu sebagai mengkritik kem tahanan bagi etnik Uyghur di wilayah Xinjiang, China.

Kementerian Hal Ehwal Luar Malaysia merujuk kepada sebuah artikel New York Times minggu lepas yang menyiarkan "kenyataan sulit" seorang diplomat Malaysia yang melawat beberapa kem di dua bandar di  Xinjiang.

China telah dikritik hebat kerana menempatkan lebih sejuta etnik Uyghur dan minoriti Islam lain di rangkaian kem-kem tahanan yang besar sejak April 2017, dan menuduh negara itu sebagai melindungi “pandangan keagamaan yang keras” dan idea-idea politik yang salah.

Beijing telah menggelarkan kesemua kem ini sebagai sekolah berasrama dan pusat vokasional.

“Para perwakilan boleh merasai ketakutan dan kekecewaan para pelajar di sini,” kata seorang diplomat Malaysia selepas mengadakan lawatan pada bulan Disember dengan berpuluh-puluh diplomat lain yang kebanyakannya adalah dari negara Islam, lapor New York Times.

“China mungkin mempunyai alasan yang sah untuk melaksanakan dasar yang bertujuan menghapuskan ancaman keganasan, terutama di Xinjiang. Bagaimanapun, berdasarkan pendekatannya, ia menangani isu itu secara salah dan tidak sah, contohnya menghalang golongan bawah umur umat Islam daripada mempelajari al-Quran,” kata diplomat itu dalam laporannya.

Diplomat itu merujuk kepada bandar-bandar Kashgar dan Hotan di Xinjiang yang sebelum ini sesak dan sibuk, sebagai “pekan zombie,” dengan menyatakan bahawa jalan-jalannya lengang dan China mungkin “menggunakan ancaman keganasan sebagai alasan untuk membersihkan umat Islam Uyghur sehingga mereka menjadi rakyat China yang boleh diterima.”

Kementerian Luar Malaysia berkata dalam satu kenyataan bahawa laporan New York Times "kelihatan seolah-olah mempunyai niat jahat,” sambil menambah bahawa ia “melahirkan ketidaksenangan yang serius terhadap dan tidak bersetuju” dengan artikel itu.

“Kementerian tidak mengulas komunikasi dalamannya secara spesifik, yang merupakan isu kerahsiaan yang ketat,” menurut kenyataan itu sambil menegaskan hubungan rapat antara Malaysia dan China.

“Kesemua komunikasi ini bukan untuk didedahkan kepada umum.”

Dalam laporannya yang bertajuk “China wants the world to stay silent on Muslim camps,” New York Times membangkitkan persoalan terhadap dakwaan China bahawa kem tahanan itu, yang dikelilingi tembok tinggi dan menara kawalan, adalah penting dalam usahanya bagi memerangi ektremisme terhadap umat Islam.

Beijing telah menggelarkan ia sebagai sekolah berasrama dan berkata para tahanan dalam kem itu adalah secara sukarela, lapor New York Times yang menjelaskan bagaimana China akan memilih pelawat termasuk pemberita dari negara yang bersahabat dan sering dipetik oleh media rasmi China sebagai memberikan komen yang memberangsangkan.

Bagaimanapun, lawatan sedemikian “tidak selalunya berjalan seperti yang dirancang,” menurut artikel itu. Ia memetik dua laporan – satu daripada pegawai Kesatuan Eropah dan satu lagi daripada seorang diplomat Malaysia yang melawat bandar-bandar Kashgar dan Hotan di Xinjian tahun lepas dengan berpuluh-puluh diplomat lain yang kebanyakannya adalah dari negara Islam.

Laporan itu memetik Malaysia sebagai berkata bahawa para perwakilan dalam lawatan tersebut “boleh merasai ketakutan dan kekecewaan pelajar-pelajar” di kem tahanan terbabit.

Pada Julai, Menteri Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menerima kritikan keras selepas menyifatkan sebuah kem tahanan Uyghur yang dikunjunginya di China sebagai sebuah “pusat latihan dan vokasional,” yang bercanggah dengan kenyataan pegawai AS dan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan fasiliti sedemikian sebagai kem tahanan.

“Pusat itu menjalankan aktiviti-aktiviti latihan industri dengan pelbagai kemahiran seperti jahitan, perundangan, kesenian, gubahan bunga dan sebagainya,” kata kapsyen foto-foto yang dimuat naik dalam laman Facebook Menteri Mujahid Yusof Rawa pada 26 Jun. Beliau enggan mendedahkan lokasi kem Uyghur yang dikunjunginya di China.

Pihak berkuasa China melabel kem-kem itu sebagai pusat bagi “transformasi menerusi pendidikan” namun banyak pihak merujuknya sebagai “kem pembelajaran semula,” menurut Amnesty International.

Perdana Menteri disoal mengenai isu Uyghur

Kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra pada Rabu dibuat beberapa hari selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad memberitahu BeritaBenar semasa satu temu bual di New York, bahawa kuasa diplomatik dan ekonomi China mungkin telah menghalang negara-negara Islam daripada mengkritik tindakannya yang menindas etnik minoriti Uyghur.

Wisma Putra adalah nama lain yang sering digunakan yang merujuk kepada Kementerian Hal Ehwal Luar Malaysia.

Mahathir, pejuang isu-isu yang menjejaskan komuniti Islam, secara relatif mendiamkan diri terhadap penindasan Beijing di Xinjiang, di mana ia telah dituduh menahan lebih 1.5 juta etnik Uyghur dan minoriti Islam lain dalam satu rangkaian kem tahanan yang besar dan mempunyai pengawasan sistematik sejak April 2017.

Ditanya mengenai percanggahan ketara itu dan keengganan dunia Islam secara umum dalam mengkritik Beijing berhubung isu Uyghur, Mahathir merujuk apa yang disifatkannya sebagai kuasa yang dimiliki China.

“Ini adalah kerana China merupakan sebuah negara yang amat berkuasa,” kata pemimpin berusia 94 tahun itu kepada BeritaBenar. “Anda tidak boleh cuba dan melakukan sesuatu yang pada akhirnya akan gagal, jadi adalah lebih baik mencari jalan lain yang kurang ganas agar kelihatan tidak terlalu menentang China kerana China memberi manfaat kepada kami.”

Tindakan China menahan etnik Uyghur secara besar-besaran telah mencetuskan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia, yang telah mengkritik Mahathir serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 50 negara kerana tidak memperjuangkan nasib Uyghur ketika negara-negara seperti Amerika Syarikat menyifatkan tindakan Beijing di Xinjiang sebagai “noda abad ini.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.