Malaysia beri pengecualian visa kepada pelancong China, India mulai 1 Dis

Menurut Putrajaya, polisi itu bertujuan membantu merangsang ekonomi dan sektor pelancongan negara.
Iman Muttaqin Yusof dan Ili Shazwani
2023.11.27
Kuala Lumpur
Malaysia beri pengecualian visa kepada pelancong China, India mulai 1 Dis Pelancong China membanjiri Dataran Putrajaya ketika melawat pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya, 13 Julai 2023.
S.Mahfuz/BenarNews

Malaysia akan memberi pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China dan India yang berkunjung ke negara itu mulai bulan depan bagi merangsang ketibaan pelancong yang masih belum kembali ke tahap seperti era prapandemik.

Bagaimanapun, pemain industri pelancongan Malaysia tidak yakin pengecualian visa yang ditawarkan sehingga 31 Dis 2024 mampu membantu negara itu mencapai sasaran menarik lima juta pelancong China untuk tahun ini ekoran baki tempoh yang singkat.

“Pada hari ini, saya umumkan untuk menyambut hubungan perkongsian strategik dengan China, mulai 1 Dis ini kita akan memberi kemudahan kepada rakyat China dan India untuk ke Malaysia (dengan) pengecualian visa selama 30 hari,” kata Perdana Anwar Ibrahim dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung pada lewat Ahad.

Beliau berkata pelancong China iaitu negara bukan ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) merupakan penyumbang terbesar industri pelancongan Malaysia selain pelancong dari Singapura dan Indonesia.

Negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran serta semua negara di Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan ketika ini telahpun menikmati kemudahan itu.

Anwar berkata pengecualian visa itu adalah tertakluk kepada tapisan keselamatan yang ketat di bawah bidang kuasa pasukan keselamatan dan Jabatan Imigresen dengan tapisan awal akan dijalankan ke atas semua pelancong serta pelawat yang berhasrat memasuki Malaysia, dan sekiranya didapati memiliki rekod jenayah atau risiko keganasan, mereka tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Pemantauan berterusan

Mengulas lanjut langkah penguatkuasaan keselamatan susulan inisiatif kemasukan tanpa visa yang diperkenal, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Isnin memaklumkan Jabatan Imigresen Malaysia akan menubuhkan pasukan khas bagi memantau pergerakan keluar pelancong dari China dan India.

“Pemantauan akan dilaksanakan pada tarikh akhir iaitu hari ke-30 mengikut tempoh keberadaan di dalam negara. Seterusnya pemantauan tersebut akan dilaporkan secara berkala sebagai mekanisme kawalan dan penguatkuasaan,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata aktiviti pemantauan akan turut dipertingkat di kawasan yang dikenal pasti sebagai tumpuan warga asing seperti Masjid India, Plaza Low Yat dan Bukit Bintang di Kuala Lumpur, bagi membendung kemasukan pendatang tanpa izin.

“Kerajaan juga akan memberikan tanggungjawab kepada syarikat penerbangan untuk menyemak dan memastikan pelancong yang masuk ke Malaysia mempunyai tiket penerbangan pulang dan tempahan hotel sepanjang keberadaan di Malaysia yang disahkan,” katanya.

Menerusi peraturan baharu itu, yang juga sebahagian daripada Pelan Liberalisasi Visa bagi menggalakkan kemasukan pelancong ke Malaysia selain merangsang pelaburan, pelancong dari kedua-dua negara dibenar memasuki dan tinggal di negara ini sehingga 30 hari tanpa visa.

Inisiatif lain

Malaysia turut menawarkan Pas Lawatan Sosial (Jangka Panjang) kepada pelajar antarabangsa dari 23 negara yang berisiko rendah yang membolehkan mereka melanjutkan tempoh keberadaan mereka di negara ini sehingga setahun selepas tamat pengajian.

“Kemudahan ini dibuka kepada 23 negara berisiko rendah dan berpendapatan tinggi seperti Australia, New Zealand, Brunei, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Jerman, United Kingdom, Perancis, Kanada, Switzerland, Belanda, Arab Saudi, Kuwait, UAE, Qatar, Oman, Bahrain, Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Amerika Syarikat,” katanya yang menambah pelajar terbabit boleh menyambung pengajian, melancong dan bekerja secara sambilan dalam sektor pekerjaan yang dibenarkan mengikut undang-undang Malaysia sepanjang tempoh itu.

Saifuddin juga mengumumkan pemberian visa masuk berulang kali sehingga 30 hari kepada semua pelancong selain visa transit umrah selama tujuh hari kepada jemaah yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Inisiatif lain termasuk penambahbaikan dari segi sah laku visa yang tempohnya dipanjangkan dari tiga bulan ke enam bulan serta kelayakan Pas Lawatan Sosial diselaras kepada minimum 30 hari bagi semua negara yang memerlukan visa untuk memasuki Malaysia.

Terlepas sasaran

Pengumuman itu disambut baik oleh pemain industri kerana ia dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.

Bagaimanapun, mereka berpendapat ia tidak mampu membantu mencapai sasaran lima juta pelancong China pada 2023 ekoran tempoh singkat sebulan yang berbaki sebelum tahun ini berakhir.

“Pengecualian visa kepada pelawat dari China dan India selain beberapa lagi negara adalah langkah bijak, ia merupakan permulaan yang baik bagi menggalakkan sektor pelancongan di negara ini,” kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Mohd Khalid Harun.

“Bagaimanapun, kita masih tidak boleh mencapai sasaran kerajaan berkaitan ketibaan pelancong China untuk tahun ini ekoran jumlah penerbangan dari China ke Malaysia masih sama. Jika kita ingin menambah jumlah ketibaan pelancong, jumlah dan kekerapan penerbangan haruslah lebih dari apa yang kita ada sekarang,” katanya kepada BenarNews.

Pada Januari, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu menarik lima juta pelancong China menjelang akhir tahun ini.

Khalid turut berpandangan kekurangan produk baharu di Malaysia antara punca pelancong luar memilih negara lain sebagai destinasi contohnya Indonesia yang memiliki kereta api berkelajuan tinggi pertama di Asia Tenggara.

Berkongsi pandangan sama, Uzaidi Udanis, Pengasas Konsortium Inbound Tourism Alliance Malaysia berkata negara memerlukan sesuatu yang baharu untuk menarik minat lebih ramai pelancong asing.

“Kami sedang menganjurkan bengkel pelancongan golf untuk pengusaha pelancongan. Kami menyasarkan pelancong dari China untuk datang ke Malaysia bermain golf pada hujung minggu memandangkan ia lebih mudah dengan polisi kemasukan tanpa visa yang ditawarkan,” katanya kepada BenarNews.

Sewaktu era prapandemik 2019, sektor pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar dengan 15.9 peratus, menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Agensi kerajaan itu menyasarkan 30 juta pelawat dan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion pada 2020 melalui kempen ‘Visit Truly Asia Malaysia 2020’ yang terpaksa dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2023, data agensi pelancongan kerajaan menunjukkan Malaysia menerima ketibaan 9.16 juta pelancong iaitu peningkatan ketara sebanyak 329.6% berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu, hanya 498,540 ketibaan pelancong yang direkodkan adalah dari China, kurang 10 peratus berbanding jumlah yang disasarkan dari negara tesebut pada 2023.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.