Wanita mengaku tidak bersalah hina Islam ketika persembahan komedi
2022.07.13
Kuala Lumpur
Seorang wanita Malaysia yang ditahan pihak berkuasa awal minggu ini kerana didakwa menghina Islam di sebuah kelab komedi mengaku tidak bersalah di mahkamah pada Rabu.
Pengakuan itu dibuat selepas Siti Nuramira Abdullah didakwa menyebabkan suasana tidak harmoni dengan menghina agama, satu kesalahan yang boleh dihukum penjara antara dua hingga lima tahun.
Siti Nuramira, 26, yang dibebaskan dengan jaminan, telah ditahan polis pada Ahad lepas kerana persembahannya semasa sesi komediri di sebuah kelab di Kuala Lumpur di mana dia telah memperkenalkan diri sebagai seorang Muslim dan mengaku pernah menghafal separuh daripada kitab al-Quran sebelum menanggalkan tudung serta baju kurung yang dipakainya di hadapan penonton untuk menunjukkan skirt pendek serta baju tidak berlengan yang dipakai di bahagian dalam.
"Saya faham, saya tidak mengaku bersalah," katanya kepada Hakim Siti Aminah Ghazali sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.
Menurut sistem keadilan Malaysia, pengakuan tidak bersalah bermakna seorang tertuduh mahu dirinya dibicarakan atas kesalahan yang didakwa.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti Nuramira didakwa melakukan perbuatan itu pada kira-kira 6 petang 4 Jun lepas di Restoran Crack House Comedy Club yang terletak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Dia didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman bagi kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci- membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan atas sebab-sebab agama. Jika sabit kesalahan, Siti Nuramira berdepan hukuman penjara minimum 2 tahun dan maksimum 5 tahun.
Prosiding mahkamah pada Rabu menyaksikan Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang mencadangkan supaya Siti Nuramira tidak diberikan sebarang ikat jamin oleh mahkamah, namun dibantah oleh peguam R.Sivaraj atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa semasa siasatan.
Selain itu, Sivaraj berkata Nuramira telah kehilangan pekerjaannya di sebuah firma perhubungan awam susulan pandemik COVID-19 dan kini bekerja di sebuah syarikat IT dengan gaji RM3,000 (AS$676). Peguam itu kemudian mencadangkan supaya mahkamah membenarkan anak guamnya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 (AS$901.50).
Najihah kemudian memaklumkan hakim bahawa sekiranya mahkamah memutuskan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan jumlah yang tinggi iaitu RM50,000 (AS$11,268).
"Ini berikutan kes ini mendapat perhatian masyarakat awam secara meluas dan boleh jejaskan pandangan masyarakat terhadap badan kehakiman dan sistem kehakiman sekiranya wang jaminan yang rendah diberikan kepada tertuduh," katanya.
Siti Aminah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika Siti Nuramira berjaya membayar jumlah itu atau terpaksa bermalam di lokap kerana setakat 4 petang Rabu, wanita itu masih belum dilihat meninggalkan bangunan mahkamah.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, seorang lelaki yang dikatakan teman lelaki Siti Nuramira turut didakwa atas kesalahan berkaitan aksi wanita tersebut.
Menurut laporan media tempatan, V.Alexander Navin, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan memuat naik video jelik di laman Twitter dan YouTube. Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 5 Jun lepas di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Selangor.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Alexander dilaporkan turut mengaku tidak bersalah. Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.