Balu Pejuang IS Malaysia Ceritakan Kisah Hidupnya di Syria

Muzliza Mustafa
2019.05.24
Terengganu, Malaysia
190524-MY-aisyah-620.jpg Aisyah, balu seorang pejuang Negara Islam yang terbunuh di Syria, menceritakan pengalamannya di bawah “khalifah” Negara Islam semasa satu temu bual dengan BeritaBenar di rumah ibunya di Terengganu, Malaysia, 22 Mei 2019.
S. Mahfuz/BeritaBenar

Apabila bom kereta meletup dan menggegarkan bangunan pangsapurinya di Idlib, Aisyah berkata beliau berasa takut pada mulanya. Selepas itu, beliau sudah terbiasa dan lama-kelamaan menjadi lali dengan letupan itu.

Aisyah, balu seorang pejuang Negara Islam di Syria dari Malaysia, berkata anak bongsunya akan meluru ke arahnya sambil menangis setiap kali mendengar bunyi letupan itu. Bagaimanapun, sebelum kematian suaminya, beliau nekad untuk tinggal di negara yang terjejas akibat peperangan itu.

“Saya tidak cukup kuat (untuk tinggal di sana). Jika suami saya masih hidup, mungkin saya akan terus tinggal di sana,”katanya. “Saya tidak mempunyai kekuatan untuk terus berada di sana tanpanya.”

Aisyah, 32, bercakap kepada BeritaBenar di rumah ibunya pada Rabu di negeri pantai timur Terengganu, semasa satu temu bual yang menyaksikan beliau menceritakan kisah hidupnya selama dua tahun di Syria, dalam wilayah luas yang sebelum ini pernah didakwa oleh Negara Islam (IS) sebagai “khalifahnya.”

Beliau menggunakan dan memilih untuk dikenali dengan nama samaran demi keselamatannya apabila dibawa pulang ke tanah air oleh pihak berkuasa Malaysia pada bulan Oktober 2018. Para pegawai berkata beliau adalah rakyat Malaysia pertama yang berjaya dibawa pulang selepas mengalami kekejaman pemerintahan IS.

Di kemuncak kekuasaannya, IS menguasai lebih 8 juta orang di sebuah kawasan luas yang merentasi sempadan Iraq dan Syria, serta memaksa orang ramai berdepan tafsiran melampaunya terhadap undang-undang Islam.

Pada Mac, selepas hampir lima tahun bertempur, tentera yang disokong AS memusnahkan kubu kuat terakhir IS di Baghuz, sebuah pekan oasis kecil di tebing Sungai Euphrates.

Akibatnya, perhatian tertumpu kepada isu kompleks yang menyelubungi ekstradisi  – atau prosiding perundangan – bagi pejuang asing yang ditawan serta isteri dan anak-anak mereka. Kebanyakan kerajaan barat enggan menerima kepulangan mereka.

Sedikit gambaran mengenai kehidupan di bawah IS

Aisyah berkata beliau tidak pernah terfikir untuk kembali ke tanah air – tidak pernah sekalipun – meskipun beliau merindui keluarganya, terutama ibunya namun beliau bimbangkan keselamatan nyawa kedua-dua anaknya selepas suaminya meninggal dunia pada awal 2018 semasa berjuang untuk IS di Syria.

Segalanya bermula apabila suaminya, seorang juruteknik minyak dan gas yang berusia 34 tahun, merancang untuk mereka berhijrah ke Syria, kata Aisyah. “Dia ingin mati syahid,” katanya.

Aisyah berkata beliau sedang mengandung lapan bulan pada 2016 ketika memasuki Syria melalui Turki bersama anak perempuannya yang berusia tiga tahun, selepas membayar sebanyak AS2,000 kepada seorang rakyat Syria untuk menyeludup mereka masuk.

Sekurang-kurangnya 102 rakyat Malaysia telah berhijrah ke Syria dan Iraq sejak 2013 dengan harapan untuk menyertai IS. Daripada jumlah itu, 40 orang telah terkorban dalam pertempuran atau situasi lain, termasuk sembilan dalam pengeboman bunuh diri, kata para pegawai keselamatan Malaysia kepada BeritaBenar. Sebelas telah kembali ke tanah air, kata mereka.

Dan, daripada sejumlah 65 rakyat Malaysia yang ditahan di Syria sejak kubu terakhir IS tumbang, 39 orang telah menghubungi polis di tanah air meminta bantuan agar membawa mereka pulang, kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua cawangan khas polis antikeganasan Malaysia, kepada pemberita pada hujung minggu lepas ketika beliau berbuka puasa pada bulan Ramadan dengan sekumpulan bekas militan yang telah disabitkan, menurut laporan berita tempatan.

“Mereka telah menghubungi kami dan berkata mereka ingin pulang ke Malaysia. Bagaimanapun, perkara ini membabitkan banyak pihak dan kami perlu mengumpulkan mereka di satu tempat,” kata Ayob, menurut Bernama, agensi berita rasmi Malaysia.

“Kami percaya ini hanya sejumlah kecil daripada mereka yang ingin pulang, dan bilangannya akan bertambah,” katanya.

Apabila suaminya terpaksa menyeberang ke Syria dengan sekumpulan lelaki seminggu sebelum itu, Aisyah dan anak perempuannya menempuh perjalanan yang sukar bersama 15 wanita dan kanak-kanak termasuk rakyat Indonesia, Amerika dan Afrika Selatan.

Beliau mengimbau kenangan terpaksa berjalan kaki selama lima jam melalui bukit ketika mereka menyeberang dari Turki ke Syria.

“Kami berlepas dari Turki selepas sembahyang Asar … dan tiba di puncak sebuah bukit pada pukul 10 malam. Kami mendaki turun bukit yang curam untuk tiba di sebelah sana. Saya membawa sebuah beg kecil mengandungi beberapa helai baju, lampin untuk anak perempuan saya dan biskut,” katanya.

“Ketika kami tiba, jurupandu melepaskan tembakan ke udara dan meminta kami berhenti. Seorang tentera kerajaan Syria menahan kami sebentar tetapi membenarkan kami pergi selepas itu,” kata Aisyah.

Aisyah berkata beliau dan keluarganya tinggal di barat laut pekan Idlib, Syria berbanding destinasi asal mereka di Raqqa, sebuah bandar di timur laut tebing Sungai Euphrates. Ia pernah menjadi sebuah taman yang subur menghijau serta tempat tinggal golongan pertengahan yang padat.

Mereka adalah satu-satunya keluarga rakyat Malaysia dalam komuniti itu, katanya. Yang lain adalah rakyat Indonesia.

“Saya mendengar terdapat rakyat Malaysia di Raqqa, tetapi saya juga mendengar bahawa tiada siapa yang tinggal di situ lagi kerana ketika saya tiba di Syria, kawasan itu sedang diserang. Kami sepatutnya pergi ke situ namun kami tidak boleh berbuat demikian, jadi kami mengambil keputusan untuk tinggal di Idlib, katanya.

Raqqa ketika itu dikuasai IS manakala Idlib adalah di bawah kerajaan Syria, katanya. Raqqa kini adalah sebuah kawasan terbiar yang dipenuhi konkrit yang berserakan serta bangunan yang musnah dalam peperangan.

“Keadaan di Idlib ok seperti juga bandar lain. Orang ramai hidup seperti biasa. Cuma anda boleh lihat kaum lelaki dan tentera di jalanan membawa senjata,” katanya.

Aisyah bergambar di luar rumah ibunya di Terengganu, Malaysia, 22 Mei 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]
Aisyah bergambar di luar rumah ibunya di Terengganu, Malaysia, 22 Mei 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bantuan kewangan dari pada IS

Aisyah berkata keluarganya menerima elaun bulanan sebanyak AS$150 daripada IS.

“Jumlah itu akan berubah setiap bulan, bergantung kepada dana yang mereka ada,”katanya. “Kadangkala kami menggunakan duit sendiri.”

Sebahagian daripada wang itu digunakan untuk membayar sewa, bakinya untuk makanan dan barangan dapur, katanya sambil mengingati bagaimana beliau terpaksa berpindah ke pangsapuri lain beberapa kali untuk meneruskan kehidupan.

“Sewa rumah yang dikenakan terhadap warga asing adalah mahal. Penduduk tempatan hanya membayar separuh daripadda jumlah yang kami bayar. Jadi kami terpaksa tinggal dengan keluarga lain untuk mengurangkan kos,” katanya.

Aisyah membesar dengan memakan nasi, makanan paling penting di Asia Tenggara namun bijirin itu sukar didapati di Syria, dan ini memaksa beliau makan gandum. Buah-buahan dan sayur-sayuran senang diperoleh, katannya.

“Untuk membeli daging juga mahal,” katanya sambil menambah bahawa akses kepada bekalan elektrik juga adalah terhad, biasanya antara pukul 6 petang dan 11 malam setiap hari. Bekalan elektrik tidak ada pada waktu siang.

Bunyi letupan bom dan tembakan sentiasa menakutkan anak bongsunya, kata beliau.

“Apabila perkara itu berlaku, dia akan berlari memeluk saya dan menangis,” katanya. “Yang sulung ok sahaja.”

Kali terakhir Aisyah melihat suaminya adalah ketika beliau meninggalkan rumah mereka untuk menjalani latihan ketenteraan.

Meskipun lebih mudah memasuki kawasan yang dikuasai IS ketika Aisyah tiba, saksi melaporkan kepada kumpulan hak asasi manusia bahawa adalah amat berbahaya untuk melarikan diri kerana kumpulan militan itu telah menanam periuk api di jalan-jalan dan menghukum mereka yang cuba melarikan diri.

Anak lelaki Aisyah dilahirkan di Syria. Beliau berjaya kembali ke tanah air selepas pasport kecemasan dikeluarkan kepada mereka oleh kerajaan Malaysia memandangkan semua dokumen mereka telah dimusnahkan. Aisyah berkata anak lelakinya tidak mempunyai negara kerana kelahirannya tidak pernah direkodkan.

 

“Tiada dokumen untuk menunjukkkan bahawa dia telah dilahirkan di Syria dan kami tidak mendaftarkan kelahirannya,” katanya.

Sumber polis berkata tempoh yang agak lama diperlukan untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak  Aisyah meskipun ibunya adalah rakyat Malaysia.

“Ia adalah isu dokumentasi. Remeh dan proses yang panjang,” kata sumber itu.

Lapan bulan selepas kepulangannya ke tanah air, kehidupan kini kembali “normal,” kata Aisyah merujuk kepada hidupnya di kampung di mana beliau akan mendengar kicauan burung berbanding bunyi letupan.

Meskipun dikelilingi anggota keluarga yang penyayang, termasuk ibunya, Aisyah berkata beliau berat hati untuk meninggalkan Syria.

“Ada sedikit rasa kesal,” katanya. “Ia seperti saya tidak taat kepadanya. Dia membawa kami ke sana (Syria) dan tiba-tiba saya pulang ke tanah air.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.