Follow us

Malaysia Tingkatkan Kawalan Keselamatan Terhadap Pemimpinnya

Oleh Hata Wahari
2015-04-24
E-mel
Komen
Share
Anggota polis Malaysia memeriksa kenderaan dalam sekatan jalan raya dalam satu operasi yang dikenali sebagai "Op Cantas Khas" pada awal pagi 21 Ogos 2013 di Kuala Lumpur.
Anggota polis Malaysia memeriksa kenderaan dalam sekatan jalan raya dalam satu operasi yang dikenali sebagai "Op Cantas Khas" pada awal pagi 21 Ogos 2013 di Kuala Lumpur.
AFP

Malaysia telah mempertingkatkan tahap keselamatan terhadap pemimpin negara selepas mendapat maklumat risikan ancaman bunuh dari kumpulan militan Negara Islam (IS), kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamid kepada Berita Benar pada Jumaat.

Beliau mengesahkan mendapat maklumat daripada bahagian risikan bahawa kumpulan IS telah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara murtad dan mengancam untuk membunuh pemimpin negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low pada Khamis mendedahkan laporan risikan, di mana IS telah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara murtad dan pemimpinnya tidak patut hidup serta mengancam untuk “berurusan” dengan Malaysia.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menjelaskan langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan keselamatan pemimpin negara itu.

“Saya ada mendapat maklumat risikan seperti yang didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low, dan kerajaan telah mempertingkatkan tahap keselamatan terhadap semua pemimpin negara termasuk pembangkang,” katanya dalam mesej pesanan ringkas kepada Berita Benar di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Low membuat pendedahan itu semasa berucap pada Persidangan Masyarakat Asean Bertamadun di Kuala Lumpur, ketika cuba menjelaskan mengenai perlunya Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) yang diluluskan di Parlimen Malaysia baru-baru ini.

POTA antara lain membenarkan pihak berkuasa menahan suspek keganasan untuk tempoh yang tidak terhad tanpa perbicaraan, dalam usaha menangani sebarang kemungkinan ancaman.

Rang Undang-undang itu telah dikecam oleh pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia kerana dilihat sebagai tamparan terhadap kebebasan awam.

Ahmad Zahid minggu lalu berkata pihak polis sedang memantau terhadap beberapa individu dan kumpulan yang disyaki terlibat dalam IS melalui sosial media dan alam maya yang menjadi saluran komunikasi antara ahli-ahli kumpulan militan itu.

"Kita menghantar pasukan risikan untuk memantau kegiatan mereka..kita tidak boleh tangkap mereka begitu sahaja tanpa menyiasat mereka,” katanya.

Setakat ini seramai 95 orang telah ditahan kerana menyertai IS, termasuk dua remaja berusia 14 tahun, telah ditahan pada Feb dan awal bulan ini sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan militan itu.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar baru-baru ini berkata kumpulan 17 individu yang ditahan, awal bulan ini, dipercayai merancang serangan bom dan juga penculikan beberapa tokoh terkemuka di Malaysia.

Katanya mereka mendapat inspirasi daripada kumpulan jihad IS di Syria dan Iraq, telah berpakat untuk merompak bank, menyerbu balai polis dan pos tentera sebagai usaha mendapatkan wang dan senjata untuk melaksanakan rancangan mereka itu.

“Tujuan mereka adalah untuk membentuk sebuah negara Islam seperti IS di Malaysia” kata Khalid.

Ahmad Zahid semasa mengulas mengenai penahanan 17 individu sebelum ini berkata mereka juga rancangan membuat bom kerana terdapat nota yang memperincikan proses pembuatan bom yang diperolehi daripada Imam Samudra dari Indonesia serta pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Sulawesi.

Sementara itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebuah agensi kerajaan yang mentadbir hal ehwal agama Islam kini aktif memberi penjelasan mengenai maksud jihad sebenar melalui khutbah solat Jumaat, dalam usahanya menangani propaganda jihad kumpulan IS.

Khutbah bertajuk “Tuntutan Jihad Semasa” telah mula dibacakan oleh khatib di semua masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan menegaskan bahawa jihad bertempur melawan musuh di medan perangan sahaja adalah tidak menepati dengan kehendak jihad yang sebenar kerana pengertian jihad adalah begitu luas.

Khutbah itu menegaskan bahawa jihad mengikut ulama di dalam agama Islam, mempunyai pengertian yang lebih luas daripada maksud peperangan dan meliputi seluruh aspek perbuatan manusia dalam mendokong agama Islam.

“Jihad juga meliputi menuntut ilmu, memperkasa ekonomi, menghapuskan kemiskinan, memperkukuh kesatuan ummah, memerangi nafsu dan syaitan serta memastikan umatnya mendapat kebahagian di dunia dan akhirat.

“Akibat pengertian jihad yang sempit, maka khalimah jihad telah disalahgunakan oleh mereka yang bertindak sebagai pengganas seperti yang muncul hari ini, kumpulan militan IS,”  antara sebahagian teks khutbah itu.

“IS memberi tafsiran berbeza mengenai jihad dan menolak hakikat jihad yang sebenar berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah. Kumpulan itu membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam dan bukan Islam, menghalalkan tindakan yang lebih agresif serta musnah harta benda walaupun melibatkan hak saudara seagama mereka sendiri.

“Justeru, perjuangan IS untuk menubuhkan negara Islam secara kekerasan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar dan perlembagaan negara. Sebagai umat Islam yang cintakan keamanan dan berpegang dengan prinsip kesederhanaan, menjadi kewajipan kepada kita untuk menolak gerakan ini,” kata teks khutbah berkenaan.

Lihat Laman Penuh