Follow us

Selepas Media Kartunis Pula Bakal Ditahan

2015-04-01
E-mel
Komen
Share
Kartunis Politik Zulkifli Anwar Ulhaque mengangkat tangan yang bergari di Kuala Lumpur, Feb 14, 2015
Kartunis Politik Zulkifli Anwar Ulhaque mengangkat tangan yang bergari di Kuala Lumpur, Feb 14, 2015
APF

Kartunis politik Zunar akan didakwa di mahkamah Jumaat ini, di bawah Akta Hasutan, berkenaan kiriman Twitter mengkritik keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anuar Ul Haque berkata, beliau baru dimaklum oleh peguamnya mengenai perkara itu dan dijangka didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Akan Terus Berkarya

“Saya ingin menegaskan penggunaan Akta Hasutan tidak akan menutup mulut saya. Saya akan terus membongkar rasuah dan salah laku kerajaan BN (Barisan Nasional). 'Perjuangan Melalui Kartun' akan diteruskan dengan lebih membara dan akan melukis hingga ke titisan dakwat terakhir," tegas Zunar yang banyak menghasilkan karya kartun mengkritik pentadbiran Najib Razak, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Zunar, sebelum ini, direman tiga hari sebelum dibebaskan pada 13 Februari oleh polis bagi siasatan ‎di bawah akta itu kerana dituduh mengkritik institusi kehakiman ‎melalui Twitter. Polis turut merampas karya seni dan dua buku terbitannya yang bertajuk "Pirate of Carry BN" dan "Conspiracy to Imprison Anwar".

Dalam tweet beliau, Zunar berkata: "Barua berjubah hitam bangga jatuhkan hukuman. Habuan dari tuan politik pasti lumayan", merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar yang disabit meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau bakal didakwa di bawah seksyen 4 (1) C Akta Hasutan yang membawa hukuman maksima tiga tahun penjara dan denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Tahan Kerana Dendam Terhadap Kartun


Zunar menyifatkan keputusan mendakwanya kerana "dendam terhadap kartun” tetapi menambah beliau dinasihati peguam Latheefa Koya supaya tidak memberi apa-apa komen lanjut.

Difahamkan lebih 114 orang termasuk pemimpin pembangkang, aktivis dan orang ramai telah ditahan dibawah Akta Hasutan sepanjang bulan Mac sahaja.

Terbaru yang ditahan ialah tiga editor kanan portal berita The Malaysia Insider (TMI), iaitu Editor Pengurusan TMI, Lionel Morais; Editor Bahasa Malaysia, Amin Shah Iskandar dan Editor Analisis, Zulkifli Sulong pada Isnin lepas.

Sehari selepas itu, Ketua Eskekutif TMI Jahabar Sadiq dan penerbit The Edge yang memiliki kepentingan dalam portal berita itu, Ho Kay Tat, mengaitkan Majlis Raja-raja dengan isu hudud di Kelantan.

Tiga editor kanan yang ditahan di Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi di bebaskan pada Selasa manakala dua lagi pegawai penting portal berita itu dibebaskan pada Rabu.

Penangkapan pegawai media itu diselar pelbagai kumpulan, pemimpin masyarakat dan aktivis media di negara ini.

The Rakyat Post, sebuah lagi portal berita, melaporkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua sebagai berkata memang tidak boleh dinafikan bahawa penahanan penerbit The Edge dan ketua eksekutif portal berita itu bersifat politik.

Katanya, jelas sekali kerana selepas gagal mensasarkan pemimpin pembangkang, mereka mensasarkan aktivis pula tetapi masih gagal, dan sekarang wartawan pula menjadi sasaran.

Sementara itu, sekumpulan pengamal media memakai pakaian hitam sebagai tanda setiakawan dengan wartawan TMI yang ditahan polis sebelum ini.

Cadangan berbaju hitam itu disuarakan oleh pengarang The Sun R Nadeswaran melalui Twitter semalam.

“Gesaan kepada orang media: Pakai hitam esok untuk tunjuk sokongan pada saudara-saudara kita. Ayuh nyatakan pendirian. "Sama bersetiakawan. Kita tidak akan berjaya ditakut-takutkan,” tulisnya.

Menurut laporan Malaysiakini, wartawan dari Malaysiakini dan The Star yang terlibat dalam protes itu  turut memakai reben kuning sebagai lambang kebebasan media.

Selepas pembebasan pegawai media itu, pejabat TMI dibanjiri dengan kiriman bunga serta kad ucapan  perangsang serta sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ahli politik dan diplomat kepada mereka.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.

Lihat Laman Penuh