Follow us

Kartunis Zunar Ditangkap, Pameran Dibatalkan

SC Lei
George Town
2016-11-26
E-mel
Komen
Share
Polis membawa keluar karya seni Zunar dari ruang pameran di George Town, Malaysia, 26 November 2016.
Polis membawa keluar karya seni Zunar dari ruang pameran di George Town, Malaysia, 26 November 2016.
Foto Ihsan Zunar

Polis di negeri Pulau Pinang, Malaysia pada Sabtu menahan kartunis satira Zunar untuk siasatan di bawah Akta Hasutan negara, dan merampas karya seninya yang dipamerkan.

Kartunis itu, penyumbang kepada BeritaBenar, juga berdepan dengan larangan perjalanan yang dikenakan pada Jun lalu selain menghadapi sembilan pertuduhan hasutan kerana didakwa menghina badan kehakiman dalam tweet yang ditulisnya mengenai sabitan bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015.

"Saya boleh mengesahkan Zulkiflee Anwar Ulhaque - @Cartoonist Zunar, 54 - [telah] ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut," kata Penolong Pesuruhjaya Polis Mior Faridalatrash Wahid kepada pemberita dalam satu kenyataan menerusi WhatsApp.

Beliau berkata, tangkapan dibuat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 dan kerana melanggar keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan mengadakan pameran, yang bermula sehari sebelum itu.

Dalam satu kenyataan, Zunar berkata, beliau ditahan di ibu pejabat polis daerah di ibu negeri Pulau Pinang, George Town, dan polis telah merampas "semua karya seni pameran awam saya. Perintah tahanan reman hanya akan diketahui esok. "

Kumpulan serbu pameran

Pada Jumaat, pameran tiga hari karya seni Zunar dibatalkan serta merta atas sebab-sebab keselamatan, kata polis, tiga jam selepas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) merasmikan acara itu.

Sekumpulan kira-kira 30 orang yang diketuai Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim menyerbu ruang pameran itu di Komtar – bangunan pencakar langit yang turut menempatkan sebuah pusat beli-belah dan ibu pejabat kerajaan negeri - pada kira-kira 2.45 dan menuntut Zunar mengeluarkan lukisan-lukisan beliau dari situ.

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah sebahagian daripada gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) yang berkuasa sejak 1957.

Portal media Malaysia, MalaysiaKini, melaporkan bahawa Zunar telah ditumbuk dan beberapa anggota kumpulan itu menarik kolarnya semasa kekecohan itu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu Mohd Norhiesam Ismail kemudian membuat laporan polis, dengan menuduh Zunar "mengganggu ketenteraman rakyat Malaysia" menerusi karya kartun beliau.

Peguam Zunar R.S.N. Rayer berkata Zunar akan dibawa ke Mahkamah Majistret George Town pada Ahad di mana polis boleh memohon untuk menahannya untuk disoal siasat tanpa pendakwaan sehingga 14 hari.

"Beliau baik-baik saja. Belau bersemangat tinggi," katanya kepada BeritaBenar.

Zunar telah dipanggil ke balai polis untuk siasatan berhubung kejadian pada Jumaat itu dan sebaik sahaja tiba, beliau ditahan polis, kata Rayer.

Polis kemudian membawa Zunar kembali ke tempat pamerannya, di mana mereka merampas karya-karya seni beliau, kata peguam itu.

Zunar telah mengadakan pameran yang sama di Petaling Jaya, Selangor dari 3 hingga 10 September tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Subjek yang ditampilkan dalam karyanya, kata Zunar, termasuklah tentang skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pemenjaraan Anwar, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), rasuah, Akta Hasutan, serta Najib dan isterinya, Rosmah Mansor.

Najib telah menafikan dakwaan salah laku lebih hampir AS $700 juta wang berkaitan 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau pada 2013.

'Perusuh berkuasa'

Seorang Ahli Parlimen pembangkang yang bersama-sama dengan Zunar di balai polis, telah menyuarakan kebimbangannya bahawa suara masyarakat sivil sedang ditindas di Malaysia.

"Ia seperti perusuh yang berkuasa. Seolah-olah mereka begitu terancam dengan lelaki yang mempunyai pena," kata Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bayan Baru di Pulau Pinang kepada BeritaBenar.

Sim berkata adalah satu ironi bahawa kartunis itu disiasat kerana didakwa menghasut dan mengganggu ketenteraman awam selepas menerima Anugerah Kartun untuk Keamanan 2016 daripada bekas Setiausaha Agung PBB Kofi Annan di Geneva pada Mei lalu.

Sebulan kemudian, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengarahkan larangan perjalanan Zunar, menurut seorang pegawai Imigresen. Zunar mengetahui perkara itu ketika mahu menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Singapura pada 17 Okt lalu.

"Ini sama seperti apa yang berlaku kepada Maria (Chin Abdullah)," kata Sim, merujuk kepada pengerusi Bersih yang sedang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Malaysia (Langkah-Langkah Khas)  atau SOSMA, undang-undang yang diperkenalkan pada 2012 untuk mengatasi ancaman keselamatan dan ekstremis .

Chin telah ditangkap pada 18 Nov, sehari sebelum perhimpunan pro-demokrasi Bersih 5, yang menghimpunkan berpuluh-puluh ribu orang di jalan-jalan di Kuala Lumpur bagi menggesa supaya mendukung demokrasi berparlimen dan mengkritik dakwaan rasuah yang membelenggui  Najib.

Khalid pada Rabu menafikan dakwaan bahawa Chin telah dilayani dengan kasar semasa dalam tahanan, tetapi mengesahkan bahawa beliau telah ditahan kerana dokumen-dokumen yang ditemui dalam serbuan di pejabatnya "mengancam keselamatan negara."

Zunar pernah dipenjarakan dua kali sebelum ini iaitu dua hari pada September 2010 dan selama tiga hari pada Februari 2015. Lima daripada buku beliau telah diharamkan dan beribu-ribu lagi dirampas dari pejabatnya di Kuala Lumpur, katanya kepada BeritaBenar tahun lepas.

161126_MY_ZUNAR_SELANGOR_620.jpg

Zunar menjelaskan tentang satu daripada karya kartunnya pada majlis perasmian pameran luar beliau di Petaling Jaya, Selangor, 3 September, 2016. [HaireezAzeemAzizi/BeritaBenar]

Lihat Laman Penuh