Follow us

Kartunis Malaysia Zunar Didakwa Dengan Sembilan Pertuduhan Mengikut Akta Hasutan

Oleh staff Berita Benar
2015-04-03
E-mel
Komen
Share
Zulkifli Anwar Ulhaque bergambar dengan pakaian penjara dan satu set gari olok-olok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 3 April, 2015.
Zulkifli Anwar Ulhaque bergambar dengan pakaian penjara dan satu set gari olok-olok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 3 April, 2015.
AFP

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kartunis berusia 53 tahun yang lebih dikenali sebagai Zunar itu, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua sembilan pertuduhan keatas beliau mengikut akta berkenaan.

Selepas membayar wang jaminan AS$6,147 (RM22,500), Zunar ditahan semula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur, untuk menghadapi siasatan lain di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Malaysia.

Penahanan selama beberapa jam itu berkaitan posting yang dimuat naik melalui Facebook.

Sementara itu, Peguam Zunar, Latheefa Koya menyifatkan pendakwaan terhadap anak guamannya itu, sebagai satu rekod dalam sejarah perundangan Malaysia dan berkata “Kami sedang mengkaji pernyataan atau ungkapan yang dibuat oleh Zunar, yang berkisar kepada  penghakiman atau kes penahanan Anwar Ibrahim, suka atau tidak, ini tidak seperti kata-kata hasutan”.

"Zunar telah menggunakan Twitter untuk meluahkan apa yang beribu orang lain rasakan, dan kini didakwa sembilan kali bagi sebab itu ... menghadapi sembilan pertuduhan bermakna dia menghadapi 43 tahun di penjara. Berdasarkan itu sahaja, anda boleh melihat bagaimana melampaunya Akta Hasutan itu disalahgunakan,"kata peguam wanita itu.

"Kita akan melawan. Hasutan digunakan dalam cara yang paling tidak masuk akal,"katanya.

Pertuduhan terhadap kartunis itu berkaitan posting dalam Twitter yang didakwa dimuat naik melalui akaunnya, lalu menyebabkan Kerajaan dan badan kehakiman menjadi cemuhan berikutan pensabitan bulan lepas terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dengan tuduhan liwat.

Pertuduhan itu, dikenakan terhadap individu yang menghasilkan penerbitan menghasut.

Berikutan tweet Zunar, polis merampas sebuah cache kompendium kartun terkini beliau, yang menumpukan kepada Anwar, dakwaan kerajaan menerima rasuah, dan gaya hidup mewah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, yang menjadi sasaran kegemaran Zunar.

Sebelum dihadapkan di mahkamah Hakim Zainol Rashid Hussain, Zunar memberitahu media: "Saya tidak fikir ada berbuat salah, tweet hanyalah ekspresi saya dan itulah yang setiap rakyat Malaysia fikirkan tentang badan kehakiman dan sistem di Malaysia.”

"Cara pihak berkuasa melakukannya,  adalah untuk menghalang saya daripada mengkritik kerajaan, dan bermotifkan politik. Ia amat mudah,  jika saya melukis kartun tentang bagaimana baiknya kerajaan, saya pasti tidak berdepan perkara seperti ini (bingkas bangun dan menunjukkan kepada gari olok-olok dan pen penanda yang dibawanya bersama-sama). Mereka tidak akan mendakwa saya untuk apa-apa ,” katanya.

Selepas dibebaskan dengan ikat jamin,  Zunar mencatatkan kartun terbarunya di Twitter dan berikrar untuk "melukis sehingga ke titik terakhir dakwat." Kartun itu menunjukkan Zunar yang digari, dan dengan rantai logam pada lehernya, tetapi masih melukis dengan berus dalam mulutnya.

Kumpulan Hak Asasi di Malaysia menganggap kes Zunar adalah sebahagian daripada tindakan dan serangan kerajaan untuk menjadikan "kritikan aman” sebagai satu perbuatan jenayah yang boleh mengancam negara.

Ramai pihak termasuk ahli politik pembangkang, aktivis, ahli akademik dan wartawan sedang disiasat atau didakwa di bawah Akta Hasutan sejak tahun lepas, kebanyakannya kerana mengkritik kerajaan atau pegawai kerajaan.

Mereka bagaimanapun, dibebaskan tidak lama selepas itu, sementara menunggu prosiding mahkamah.

Awal minggu ini, polis mendakwa ketua kumpulan portal berita bebas serta empat editor kerana hasutan. Kumpulan media itu, telah menerbitkan siri laporan yang mendakwa adanya penipuan dalam syarikat pelaburan milik kerajaan yang dilancarkan oleh Najib, dengan kehilangan sejumlah besar wang dana.

Najib Razak berkata kerajaan merancang untuk menghapuskan Akta Hasutan, yang diperkenalkan pada 1949 semasa pemerintahan kolonial British. Tetapi menarik balik rancangan itu selepas pilihan raya 2013.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai pertuduhan ke atas Zunar, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata kartunis itu yang “memintanya”.

Katanya, Zunar sepatutnya tahu bahawa beliau perlu berhati-hati semasa membuat komen di internet, kerana boleh mencetus kemarahan serta menjejaskan ketenteraman awam.

"Beliau yang memintanya. Anda minta untuk itu, anda akan mendapatnya. Kita tidak akan mengabaikan apa-apa tindakan menghasut dan kesat dalam Internet," katanya.

Khalid berkata adalah menjadi tugas polis untuk menguatkuasakan undang-undang. Mereka dengan sengaja tidak mematuhi undang-undang serta "meminta tindakan diambil terhadap mereka".

Berikutan kritikan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad terhadap isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ketua Polis itu berkata “Bagi saya, ia bukan (hasutan)," seperti yang dilaporkan oleh akhbar berbahasa Inggeris The Star.

"Sebelum ini, ramai orang telah membincangkan mengenainya (isu-isu yang sama), dan ia bukan hanya Mahathir yang bercakap tentang mereka,” kata beliau yang telah dikritik hebat berhubung siasatan berterusan polis terhadap ahli-ahli politik pembangkang dan aktivis.

Khalid juga mengesahkan polis tidak menerima sebarang laporan terhadap Mahathir mengenai posting blog beliau.

Akta Hasutan merupakan suatu akta undang-undang di Malaysia yang digubal untuk menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut. Akta ini sebenarnya digubal oleh penjajah British pada tahun 1948. Akta ini menjadikan ucapan yang "mempunyai kecenderungan menghasut" sebagai suatu kesalahan jenayah.







Lihat Laman Penuh