Ketua Menteri Pulau Pinang Label Tuduhan Rasuah Sebagai 'Serangan Politik'

S. Adie Zul
2016.06.30
Pulau Pinang
160630_MY_LGE_620.jpg Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (tengah, bertali leher merah) tiba di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di George Town dengan diiringi para pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 30 Jun, 2016
S. Adie Zul/BeritaBenar

Mahkamah Malaysia pada Khamis mendakwa tokoh pembangkang terkemuka dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan pertuduhan berkaitan rasuah, yang disifatkan beliau sebagai bermotifkan politik dan partinya pula mengisytiharkan bahawa ia tidak akan meminta beliau meletakkan jawatannya.

Lim, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP),  yang lantang mengkritik Perdana Menteri Najib Razak berhubung dakwaan rasuah dalam skandal yang dikaitkan dengan dana pelaburan disokong kerajaan, hadir  di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di mana beliau didakwa dengan dua pertuduhan rasuah.

Pertuduhan itu bertujuan menghancurkan kerjaya politiknya, kata Lim dalam sidang media yang dihadiri ramai, selepas beliau membayar wang jaminan sebanyak RM1 juta (US$250,000) yang ditetapkan oleh mahkamah itu yang terletak di George Town.

"Hari ini, kita lihat bahawa semua ini adalah suatu serangan politik terhadap saya sebagai ketua menteri," kata Lim sambil disambut dengan sorakan para penyokongnya.

Susulan satu mesyuarat tergempar, Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, kepimpinan parti itu di negeri berkenaan sebulat suara memutuskan bahawa "Lim tidak perlu meletakkan jawatannya sebagai Ketua Menteri atau mengambil cuti daripada tugas-tugasnya."

Di luar bangunan mahkamah, kira-kira 1,000 orang berkumpul sebagai tanda memberi sokongan kepada Lim. Semasa beliau mengambil alih jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada  2008, Lim berjanji bahawa beliau akan mentadbir negeri itu secara bersih dan membuktikannya  dengan mengisytiharkan aset-asetnya.

Lim ditahan pada Rabu oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lim, penjual banglo dituduh di mahkamah

Lim, yang memakai sut hitam dan bertali leher merah, tiba di mahkamah pada kira-kira 10 pagi.

Di dalam mahkamah, beliau dituduh melakukan rasuah berhubung kelulusan yang diberikannya pada Julai 2014 bagi permohonan penukaran zon sebidang tanah  daripada Magnificent Emblem Sdn Bhd (MESB), dengan kapasitinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan negeri.

Secara khususnya, beliau didakwa melakukan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo berharga RM2.8 juta  (AS$693,000) yang dikatakan  dijual di bawah nilai pasaran dan salah guna kuasa kerana didakwa melakukan penukaran zon bagi  sebidang tanah daripada kawasan pertanian kepada kediaman. Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali jumlah dakwaan rasuah, atau RM10,000 ringgit (AS$2,500), yang mana lebih tinggi.

Beliau juga didakwa menerima sogokan sebagai penjawat awam dengan membeli banglo itu daripada Phang Li Koon pada 28 Julai, 2015, dengan nilai pasaran sebenarnya adalah RM4.270 juta (AS$1 juta), yang didakwa sebagai ganjaran bagi  kelulusan permohonan penukaran zon itu. Kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

Lim mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Selepas menetapkan jumlah ikat jamin, mahkamah mengarahkan Lim untuk memberikan notis dua hari kepada pejabat Peguam Negara dan mahkamah jika beliau merancang ke luar negara.

Phang, yang turut hadir di mahkamah, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat kerana didakwa menjual banglo itu di bawah nilai pasaran sebenar. Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM200,000 (AS$ 50,000-).

Perbicaraan berikutnya bagi pertuduhan itu ditetapkan pada 22 Sept.

'Kerelaan pembeli dan penjual'

Lim menafikan dakwaan bahawa beliau membeli banglo itu pada harga diskaun kerana meluluskan permohonan penukaran zon sebidang tanah daripada MESB, sebuah syarikat di mana Phang merupakan ahli lembaga pengarahnya. Permohonan itu tidak diluluskan.

"Saya telah menerangkan berulang kali bahawa rumah itu dijual berdasarkan kepada 'kerelaan pembeli dan penjual' di antara Phang dan saya," kata Lim pada sidang media itu. "Beliau tidak menikmati apa-apa hak istimewa kerana tidak ada konflik kepentingan dengan kerajaan negeri, dan beliau hanyalah rakan isteri saya [Betty Chew], dan bukannya seorang pemaju."

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa jika MESB berjaya menukar status tanah itu, ia bermakna bahawa syarikat itu telah mendapat manfaat daripada saya, tetapi saya ingin menjelaskan bahawa syarikat itu tidak berjaya dalam permohonannya dan status tanah itu tetap sama. Oleh itu, saya ingin bertanya, apakah keistimewaan yang dinikmati oleh syarikat itu daripada saya? " kata beliau.

'Inilah politik'

Pertuduhan terhadap Lim menunjukkan  contoh terbaru pendakwaan terhadap pemimpin pakatan pembangkang di Malaysia, kata peguam jenayah yang berpejabat di Pulau Pinang, K. Prabhakaran, yang nampaknya merujuk kepada pemimpin pembangkang yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim, bagi sabitan liwat.

"Inilah politik, pastinya politik kerana ada orang lain yang tidak didakwa, dengan kes-kes mereka adalah lebih teruk daripada ini. Bagi saya, ini adalah agenda politik Barisan Nasional (BN) untuk menyekat mana-mana pemimpin pembangkang. Dari segi politik, saya menjangka lebih banyak (pendakwaan terhadap tokoh pembangkang) akan dilakukan," kata Prabhakaran kepada BeritaBenar, dengan merujuk kepada gabungan parti pemerintah Malaysia itu.

Lim, anak pemimpin pembangkang veteran Lim Kit Siang, menerajui satu daripada tiga negeri yang diperintah pembangkang,  yang menentang parti pimpinan perdana menteri Najib, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang merupakan ahli pengasas BN.

Parti Lim, DAP, telah menyerang Najib berhubung dakwaan penglibatannya dengan skandal kewangan  yang berkaitan dengan dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sejak Julai 2015, Najib berdepan dengan gesaan supaya meletakkan jawatannya berikutan dakwaan hampir $700 juta yang berkaitan dengan 1MDB dimasukkan  ke dalam akaun bank peribadinya. Najib enggan  berundur, dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadi. Peguam Negara Malaysia telah membersihkan Najib daripada semua dakwaan salah laku itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.