Bekas menteri kewangan didakwa gagal isytihar harta
2024.01.29
Kuala Lumpur
Bekas Menteri Kewangan Malaysia Daim Zainuddin pada Isnin didakwa di mahkamah dengan pertuduhan gagal mengisytihar harta, ketika kerajaan Anwar Ibrahim yang berusaha menentang korupsi dikritik sebagai bermotifkan politik oleh blok pembangkang dan pemerhati.
Daim, 85 tahun, yang merupakan sekutu rapat bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dibenar ikat jamin selepas dihadapkan di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur susulan kegagalannya mengisytihar harta termasuk puluhan syarikat, kereta mewah, hotel dan kediaman di beberapa negeri.
Bekas Ahli Parlimen Merbok itu yang menggunakan kerusi roda susulan pembedahan pemindahan buah pinggang, menyatakan bahawa pertuduhan terhadapnya bersifat politik selepas kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menggandakan usaha menentang rasuah yang dilakukan oleh individu berprofil tinggi.
Hartawan itu didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000(AS$21,119).
"Saya minta dibicarakan," katanya ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyesn Kuala Lumpur, Azura Alwi, pada Isnin.
Pertuduhan tersebut membabitkan beberapa aset termasuk satu akaun bank Amanah Saham, beberapa kenderaan mewah seperti Austin Morris Austin dan Jaguar XJS HE, selain hartanah resort dan hotel di beberapa negeri di Malaysia.
Hakim Azura kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM280,000 (AS$59,190) dengan seorang penjamin dan Daim tidak perlu menyerahkan pasport antarabangsa atau melapor diri ke ibu pejabat SPRM, seperti yang dimohon oleh pendakwa raya, berikutan keadaan kesihatan semasa beliau.
Pihak peguam Daim memberitahu mahkamah bahawa anak guam mereka menghidap angin ahmar dan jangkitan kulat di mata selain turut menerima rawatan lanjutan di hospital kerana pemindahan buah pinggang.
Hakim kemudian menetapkan 22 Mac untuk pendengaran kes itu.
Turut menemani Daim ke mahkamah ialah pakar ekonomi terkemuka, Muhammed Abdul Khalid, dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Daim antara nama yang dikaitkan dalam Kertas Pandora dan Kertas Panama, yang mana Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) mendedahkan sekumpulan individu dari seluruh dunia menyimpan kekayaan dalam akaun bank luar pesisir.
Minggu lalu, isterinya Na'imah Abdul Khalid, telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan sama.
Daim, yang tiba pada 8.30 pagi di mahkamah itu, dibawa masuk ke kamar menggunakan kerusi roda oleh ahli keluarganya dan sempat melambai kepada wakil media yang hadir untuk membuat liputan kes itu.
'Musang berbulu ayam'
Selepas prosiding pendakwaan itu, beliau tidak bercakap dengan media namun peguamnya mengedarkan kenyataan berkaitan kes tersebut.
Dalam kenyataan itu, Daim menyifatkan pemimpin negara sebagai ‘musang berbulu ayam’.
"Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya. Demi mencapai jawatan perdana menteri, Anwar melantik seorang individu berdepan pertuduhan rasuah sebagai timbalan perdana menteri.
"Tidak lama kemudian, seperti silap mata, sebanyak 47 pertuduhan rasuah timbalan perdana menteri itu digugurkan," katanya merujuk kepada keputusan lepas tanpa bebas Ahmad Zahid Hamidi dalam kes membabitkan salah guna kuasa dan rasuah Yayasan Akal Budi yang dimiliki Ahmad Zahid.
Daim turut melempar kritikan berhubung nilai ringgit yang merosot selain keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan di bawah pimpinan Anwar, yang menerima sokongan Daim dan Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada akhir tahun lepas telah menyita Menara Ilham milik keluarga Daim. Menurut laporan media, pada Jun 2023, agensi itu membekukan 192 akaun bank membabitkan RM32 juta (US$6.7 juta) yang mana turut mengaitkan Daim.
Minggu lalu, Na’imah berkata keluarganya dan pasukan pembelaan tidak menerima notis bahawa Daim akan didakwa di mahkamah. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, agensi itu tidak dapat meneruskan pendakwaan terhadap Daim susulan keadaan kesihatannya.
"Daim bersedia untuk menghadapi sebarang pertuduhan, di mana-mana pun, dan akan bersungguh-sungguh mempertahankan dirinya mengikut lunas undang-undang.
“Beliau telah dimasukkan ke wad dan sedang menjalani rawatan. Bergantung kepada kebenaran daripada pihak hospital dan perubatan, Daim bersedia untuk menghadapi tuduhan politik ini sendiri di hospital itu," kata Na'imah.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Ahad menegaskan tiada campur tangan kerajaan berhubung siasatan dan pendakwaan mana-mana individu.
"Arahan kita itu menyeluruh, siapa sahaja yang dikesan memunggah kekayaan secara haram, menggondol kekayaan berbilion dahulu apa lagi sekarang, tanggungjawab badan penguatkuasa mestilah bertindak dengan tegas dan berani, dan kita akan pertahankan mereka," katanya dalam ucapan Konvensyen Kerajaan Perpaduan peringkat negeri Perak 2024.
Daim dilantik menjadi Menteri Kewangan pada 1985 menggantikan Tengku Razaleigh Hamzah dalam kabinet yang diketuai Mahathir Mohamad iaitu Perdana Menteri Malaysia ke 4 dan berkhidmat sehingga 1991. Beliau dilantik kali kedua pada 1999 sehingga 2000 selepas krisis politik 1998 yang menyaksikan Anwar selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipecat ketika itu.
Dalam afidavit sokongan yang dikemukakan beliau untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan SPRM pada 10 Jan lepas, Daim menegaskan bahawa beliau menjadi ahli perniagaan yang kaya sebelum menyandang jawatan kerajaan serta menceburi bidang perniagaan sektor pembangunan hartanah sejak 1969.
Beliau berkata nilai pegangan saham cair miliknya sahaja bernilai RM50 bilion (AS$10.5 bilion) jika kekal dalam perniagaan.
Selain Daim, SPRM turut merakam percakapan dua anak Mahathir iaitu Mirzan dan Mokhzani bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.